Lambang Kesultanan Riau Lingga

Lambang Kesultanan Riau Lingga yang di buat daripada ukiran kayu sewaktu pemerintahan Yang DiPertuan Muda Riau Ke 10, Raja Muhammad Yusuf Ibni Raja Ali pada tahun 1887 masihi. Makna pada Lambang Kesultanan Riau Lingga adalah sebagai berikut:

BARIS PERTAME dalam jata يَا غَارَةَ اللهِ أَحْلِي عَقْدَ مَا رَبَطُواْ YA GHARATALLAHi AḪLI `AGDA MA RABATÛ Ertinye: Wahai Serangan Allah!!! Lucutkanlah ikatan yang telah mereke tambat… BARIS KEDUE dalam jata وَشَتِّتِي شَمْلَ أَقْوَامٍ بِنَا اخْتَلَطُواْ WA SYATTITI SYAMLA AGWÂMIN BINAKHTALAṮÛ Ertinye: Dan hancurkanlah perhimpunan bangsa-bangsa yang pasti merosakkan kami. BARIS KETIGE dalam jata اللهُ أَكْبَرُ سَيْفُ اللهِ قَاطِعُهُمْ ALLAHU AKBARU SAIFULLAHI GÂṮI`UHUM Ertinye: Maha Besarlah Allah!!! Pedang Allah pasti memenggal mereke… BARIS KEEMPAT dalam jata وَكُلَّمَا قَدْ عَلَواْ فِي أَمْرِهِمْ هَبَطُواْ WAKULLAMA GAD `ALAÛ FI AMRIHIM HABIṮÛ Ertinye: dan acapkali mereke mendaki dalam urusan mereke, make mereke pasti terhempas jatoh.

ini bahagian kedue (MAHKOTE): tertulis name Junjungan Besar, MUHAMMAD (pereke jata menggunakan kaedah, “bayang tekap”).

ini bahagian ketige (SINGA DI KIRI DAN KANAN JATA): SINGA KANAN نَصْرٌ مِنَ اللهِ وَفَتْحٌ قَرِيْبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِيْنَ NAŞRUN MINALLAHI WA FATḪUN GARĪBUN WA BASYSYIRIL MU-MINEEN Ertinye: Bantuan Dari Allah Dan Kemenangan Yang Hampir, Make Sampaikan Berite Gembire Ini Kepade Orang2 Yang Senantiase Beriman. SINGA KIRI: adelah “tekap bayang” dari singe yang kanan.

Syarikat Ahmadiah Press DiSingapura

Raja Haji Ali Bin Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) bergambar pada tahun 1927 bersama para Pegawai dan pekerja Syarikat Ahmadiah Press yang terletak di Jalan Sultan di Singapura . Syarikat Ahmadiah Press ini merupakan anak Syarikat Ahmadi & Co., Midai.

Syarikat Ahmadi & Co., Midai

Raja Haji Ali Bin Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) bergambar bersama para Pegawai dan pekerja Syarikat Ahmadi & Co., Midai yang dirikan pada tahun 1906. Raja Haji Ali yang yang memiliki tanah tanah perkebunan yang banyak dan luas didaerah Natuna (Pulau Tujuh), turut menjadikan Syarikat Ahmadi & Co., Midai sebagai syarikat yang menguruskan tanah tanah perkebunan milik nya.

Raja Haji Ali Bin Raja Haji Muhammad (Tengku Nong)

Raja Haji Ali (Tengku Selat) Bin Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) merupakan cucu kepada Yang DiPertuan Muda Riau Ke-9, Raja Abdullah Ibni Raja Jaafar Ibni Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak. Ayahnya Raja Haji Muhammad atau Tengku Nong hanya sempat menyandang gelar `Kelana’ iaitu sebagai Wakil Yang DiPertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf Ibni Raja Ali. Oleh kerana ayahandanya mangkat pada 7 Rejab 1301Hijrah bersamaan dengan 2 Mei 1884, maka tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga. Ayah saudaranya pula Raja Haji Muhammad Tahir adalah Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Semua nama yang tersebut itu dan beliau sendiri, iaitu Tengku Ali atau digelar juga dengan Tengku Selat adalah tokoh-tokoh Melayu yang bertaraf ulama, bersepadu dengan kearifan perkara-perkara yang bercorak duniawi.

Mereka beramal dan mendalami pengetahuan Islam, sekali gus bijak mengatur kemaslahatan kepentingan kehidupan peribadi, keluarga besar, umat Islam di persekitaran dan zamannya melalui perniagaan, pentadbiran jabatan dan pemerintahan yang mereka tangani.

Hanya dua orang tokoh besar yang pernah berperanan dalam kerajaan Riau-Lingga, sewaktu penulis (Haji Wan Mohd Shaghir Bin Wan Abdullah – ex Pengurus Anmadi & Co., Midai) masih kanak-kanak dan pemuda, yang sempat penulis temui pada akhir hidupnya, ialah Tengku Ali dan Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Endut. Tengku Ali adalah seorang tokoh besar kerajaan Riau-Lingga kerana pernah menjadi Ketua Setiausaha Kerajaan Riau-Lingga. Rakyat Riau-Lingga juga pernah memperjuangkan beliau untuk menjadi Sultan Kerajaan Riau-Lingga, namun beliau menolaknya.

Tidak sedikit orang yang pernah memegang sesuatu jabatan tinggi atau berkuasa, mereka berpengaruh dan bijak, tetapi setelah tiada kuasa, mereka menjadi orang yang bodoh kerana hilang pegangan dan pedoman. Berlainan dengan Tengku Ali, sewaktu kerajaan Riau-Lingga dihapuskan oleh penjajah Belanda (1911), beliau sangat tekun beribadah, bertawakal kepada Allah. Sebahagian besar Kerabat Diraja Riau-Lingga berhijrah ke Singapura, namun Tengku Ali mempunyai pandangan tersendiri.

Kerajaan Riau-Lingga yang demikian besar pengaruhnya ketika itu telah hapus, perniagaan Raja Ali Kelana dan Raja Haji Ahmad mengalami krisis kehancuran tiada terkawalkan lagi, ketika itulah Tengku Ali muncul dengan kebijaksanaannya. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu’ oleh pemerintah Belanda ketika itu.

Dalam artikel ini penulis (Haji Wan Mohd Shaghir Bin Wan Abdullah – ex Pengurus Anmadi & Co., Midai) cuba mengungkapkan kisah ulama Riau-Lingga ini membina perniagaan yang benar-benar berdasarkan syariah Islam dan menggunakan sistem persahaman yang banyak persamaan dengan yang digunapakai dunia moden sekarang ini. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam.

Untuk pengukuhan ekonomi, Tengku Ali memasuki pelbagai sektor penunjang sebagai benteng pertahanan supaya ekonomi tetap stabil. Sektor-sektor itu ialah, memiliki tanah perkebunan, memiliki tempat-tempat perniagaan sendiri, bukan menyewa kepada pihak lain, memiliki alat pengangkutan sama ada di darat mahu pun di laut, menjalankan permodalan bersama sama ada sesama keluarga atau kerabat mahu pun seluruh kaum Muslimin. Dalam hal ini perlu penentuan saham atau sher. Untuk kemaslahatan umat Islam, rangka pendek, perlu menyediakan tempat-tempat pendidikan. Untuk rangka panjang, umat Islam perlu mempunyai hak milik sendiri. Dalam hal ini perlu menyediakan perkebunan wakaf dan tanah wakaf. Menurut Tengku Ali modal yang paling utama seseorang insan Muslim ialah `Tawakkal `Alallah’, mendahulukan pembayaran yang wajib, iaitu zakat daripada sedekah yang sunat. Mengenai ini termasuk juga mendahului pembayaran upah pekerja daripada lain-lainnya. Semua yang tersebut ini termasuk dalam kerangka pembinaan ekonomi sistem Islam Tengku Ali, yang menghendaki huraian yang sangat panjang, sekelumit di antaranya saja yang dapat diperkenalkan dalam artikel ini.

Sebagai bukti aktiviti Tengku Ali dalam sektor perkebunan di antaranya ditemui tulisan tangan beliau sendiri, bahawa beliau membuka perkebunan di Pulau Kemili, Riabu, Kepulauan Siantan. Surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Siantan, hari Isnin, 2 Rejab 1319 H bersamaan dengan tahun 1901 M, yang ditandatangani oleh Orang Kaya Dewa Perkasa Muhammad Usman dan Amir Serta Bakal Pangeran Siantan yang diberikan izin kepada Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Kelana/Tengku Nong membuat kebun getah dan lainnya di tanah Pulau Siantan Darat, Teluk Tarempa. Pemilikan tanah dan perkebunan Raja Ali di sekitar Kepulauan Siantan bukan untuk keperluan peribadinya saja, tetapi untuk umat Islam.

Tanah yang disebut dalam surat di atas, adalah sangat luas, separuh gunung Tarempa, Siantan, beliau wakafkan untuk Masjid Jamik Tarempa. Selain yang tersebut Tengku Ali juga mewakafkan beberapa tanah dan perkebunan kelapa di tempat-tempat lainnya, di antaranya tanah dan kebun kelapa untuk Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai. Masjid tersebut beliau sebagai ketua, yang peralatannya dikerjakan dan didatangkan dari Terengganu. Selain itu ada lagi tanah wakaf dan kebun wakafnya untuk masjid di Jemaja. Tengku Ali juga adalah perintis pengurusan kebun-kebun wakaf untuk guru-guru yang mengajar di Mekah dan Madinah, kerana ulama yang mengajar di kedua-dua tanah haram pada zaman itu tiada bergaji atau mempunyai penghasilan tetap seperti sekarang ini. Pengiriman wang hasil wakaf ke Mekah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Wakil Tengku Ali dalam urusan tersebut di Mekah ialah Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (Pulau Pinang).

Perniagaan Kerabat Diraja Riau-Lingga dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar, dimulai di Pulau Midai tahun 1324 H/ 1906 M. Tahun 1330 H/19l2 M, Raja Ali/Tengku Selat menerima penyerahan pimpinan Syarikat Ahmadi & Co. Midai daripada Raja Haji Ahmad, kerana Raja Haji Ahmad akan berangkat pindah ke Mekah. Tanggal 28 Rejab 1332 H/1913 M, surat nombor 91 dan nombor 92 Raja Ali mengirim surat kepada Raja Haji Ahmad di Mekah, bahwa beliau akan mengembangkan perniagaan Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura. Dengan Akta, Midai 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M, ditetapkanlah untuk membuka cawangan Ahmadiah Pulau Tu-juh di Singapura yang berpejabat di Palembang Road 18 B. Aktiviti perniagaannya merupakan agensi pengumpulan hasil bumi dan laut, selanjutnya aktif dalam eksport dan import pelbagai jenis barangan.

Kemudian pindah ke Minto Road 50. Pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1339 H/3 Disember 1920 M, mufakat pula mendirikan percetakan. Perusahaan di Minto Road 50 itu berkembang terus dan pada tahun 1926 M, Ahmadiah membeli sebuah rumah nombor 82 Jalan Sultan Singapura, kemudian nombornya diganti menjadi nombor 101 Jalan Sultan. Grant List Governement nombor 2650 lamanya dianggarkan 99 tahun. Telah dibeli oleh orang lain sebelumnya pada 12 Julai 1873 M. Jadi Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura hanya memilikinya sampai 12 Julai 1972 Masihi saja.

Selain sebagai Ketua Al-Ahmadiah, Raja Ali/Tengku Selat adalah sebagai sponsor dan sesepuh daripada berbagai-bagai perusahaan niaga di Pulau Tujuh, Sumatera, Singapura dan Malaya. Di antara yang sempat penulis jumpai dokumennya ialah: (1). Natuna Syarkah Sedanau, sekurang-kurangnya telah wujud tahun 1318 H/1900 M, enam tahun mendahului Ahmadi & Co., Midai. Pendirinya Raja Haji Idris bin Raja Haji Umar/Tengku Endut. (2). Syarikat Air Putih (Midai). (3). Syarikat Kampar-Kuantan di Midai dan Sumatera. (4). Syarikat Semuafakat/ Moefakat (seluruh Pulau Tujuh). (5). Syarikat Subi-Pulau Panjang (6). Syarikat Letung-Jemaja. (7). Syarikat Terempa. (8). Syarikat Usaha Tenun Terengganu di Singapura. Semua syarikat tersebut ada ketua, tetapi hanya sebagai simbolik. Kuasa tertinggi sebagai penentu adalah Raja Ali/Tengku Selat. Lambang pada surat peribadi Raja Ali/Tengku Selat berbentuk tangan bersalaman dengan cogan kata (motto) di atasnya `Tawakkalna `ala Allah.’ Di kanan `Bersetia Jaya’, dan di kiri `Bercerai Merbahaya’.

Untuk menjadi anggota salah satu syarikat itu adalah dengan cara membeli lembaran sher atau saham. Ternyata yang paling banyak diminati oleh masyarakat Melayu ialah saham Ahmadi & Co., Midai mahu pun saham Mathba’ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura. Dalam penyelidikan yang penulis jalankan, penulis belum menemui sesebuah syarikat milik Melayu pada zaman itu yang mempunyai anggota yang bercorak sejagat. Orang-orang Melayu yang membeli saham syarikat itu selain Kerabat Diraja Kerajaan Riau-Lingga, termasuk beberapa orang ulama Melayu di Mekah yang berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya. Saham juga dibeli oleh golongan terpelajar, di antara mereka ada yang berasal dari Padang dan Betawi (Jakarta). Saham anugerah pula di antaranya pernah diberikan kepada ulama Arab bernama Syeikh Abdul Hamid al-Firdausi, bekas Mufti Kerajaan Riau-Lingga. Surat Raja Ali di Singapura, tarikh 8 Safar 1347 H, memperlihatkan niat baik atau tujuan Al-Ahmadiah ditulisnya, “… segala perjalanan kita dari dahulu hingga ini semata-mata atas jalan pemeliharaan dan bantu membantu atas tiap-tiap kesusahan, keberatan kerabat yang jauh apa lagi yang hampir … “. Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa “yang empunya harta benda yang dipegang oleh Ahmadi itu, laki-laki yang cerdik pandai berhitung dan lainnya”.

Hubungan perniagaannya juga sangat luas, surat Tengku Ali di Singapura tarikh 26.9.1925 M, membuktikan bahawa Al-Ahmadiah 50 Minto Road, Singapura ada hubungan langsung kepada Company Robin di Amsterdam (Negeri Belanda). Surat Tengku Ali di Singapura kepada Raja Kaluk dan Raja Hasnan di Ahmadi Midai, tarikh 2 Jamadilawal 1344 H/18 November 1925 M, membuktikan Al-Ahmadiah Singapura memesan langsung alat-alat percetakan dari Mesir, Beirut dan Amerika. Selain itu surat yang sama juga membuktikan kemajuan Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura.

Ketika Tengku Ali mencecah usia lebih kurang 93 tahun, pada tarikh Midai 35 Julai 1954, ketika itulah beliau membuat Surat Wasiat untuk orang-orang yang meneruskan usahanya. Ada 13 perkara yang termaktub dalam surat wasiat itu. Surat wasiat ditandatangani oleh yang berwasiat, juga ditanda tangani oleh tiga orang yang menerima wasiat, ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman (ayahanda kepada penulis, Haji Wan Mohd Shaghir), Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud dan Raja Muhammad Nazir bin Raja Haji Mahmud. Pada tarikh, Midai, 7 Ogos 1954 dibuat penambahan, yang beliau tanda tangani, juga ditanda tangani oleh dua orang saksi ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan Raja Ali bin Raja Mohd. Sa’id.

************************************************************Tengku Ali lahir tercatat pada 1286 H/1869 M, tetapi dalam Surat Keterangan Yang Berlaku Laksana Paspot No. 21441 yang dikeluarkan di Singapura pada 10/8/1950 oleh Republik Indonesia Serikat dinyatakan bahawa Tengku Ali lahir di Pulau Penyengat (Riau) tahun 1874 M. Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau, 9 Rejab 1374 H/ 3 Mac 1955 M.+3

Raja Khalid Hitam Bin Raja Hasan

Raja Khalid Hitam Bin Raja Hasan Bin Raja Ali Haji bersama isteri, Raja Aishah Binte Raja Sulaiman Bin Raja Ali Haji. Gambar diambil semasa mau berangkat keJepun untuk meminta bantuan daripada Maharaja Jepun bagi membantu untuk memulihkan kembali Kerajaan Riau-Lingga yang dirampas oleh Kompeni Belanda pada tahun 1911. Manakala Raja Ali Kelana telah ke Turki untuk meminta bantuan daripada Sultan Kerajaan Othman. Raja Khalid Hitam yang dihantar ke Jepun pada kali kedua pada tahun 1913, telah mangkat di Jepun sebelum berjaya bertemu dengan Maharaja Jepun. 

Raja Ali (Kelana) Ibni Almarhum Raja Muhammad Yusuf

Raja Ali (Kelana) Ibni Almarhum Raja Muhammad Yusuf. Jawatan Kelana merupakan jawatan Timbalan Yang DiPertuan Muda Riau dan sepatutnya menggantikan Almarhum Ayahandanya, Yang DiPertuan Muda Raja Muhammad Yusuf yang mangkat pada tahun 1899 tetapi di halang oleh Resident Belanda di Riau. Sebaliknya pehak Belanda menyarankan Jawatan Yang DiPertuan Muda Riau di pegang juga oleh Sultan Abdurrahman Muazam Syah mulai tahun 1899). Raja Ali Kelana dan keluarga turut serta berhijrah ke Singapura pada tahun 1911, dan kemudian nya pindah ke Johor Bahru menjadi Penasihat Agama kepada Sultan Johor, Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Tun Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim. Raja Ali Kelana mangkat di Johor bahru pada tahun 1927.

Sultan Abdurrahman Muazam Syah II

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah merupakan Sultan Riau Lingga Ke-10. Baginda mendapat kuasa daripada bonda baginda Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah, Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-8. Sultan Mahmud Muzafar Syah tersebut telah diturunkan dari tahta oleh Kompeni Belanda pada tahun 1857 kerana tiada mahu turut arahan dan peraturan mereka. Kompani Belanda kemudiannya meminta Yang Dipertuan Muda Raja Abdullah serta kerabat2 Diraja Riau Lingga untuk menabalkan saudara kandung Sultan Mahmud Muzafar Syah iaitu Tengku Sulaiman sebagai Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-9 bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.

Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mangkat pada tahun 1883 dan tidak mempunyai putera yang dapat menggantikan baginda, sebab putera baginda Tengku Daud yang menjadi Tengku Besar telah mangkat terlebih dahulu. Anak saudara almarhum iaitu Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah kemudiannya ditabalkan sebagai pengganti almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Kompani Belanda serta Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi dan kerabat2 Diraja Riau Lingga kemudian nya menabalkan Tengku Embong Fatimah bagi menggantikan almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Setelah 2 tahun kemudian Tengku Embong Fatimah meminta persetujuan bersuaminya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi, Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 untuk menyerahkan kuasanya kepada puteranya, Raja Abdul Rahman menjadi Sultan Yang Dipertuan Besar bergelar Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pada tahun 1885.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah memerintah Kerajaan Riau Lingga daripada kediaman rasmi baginda diDaik, Lingga. Manakala ayahanda baginda, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi yang memegang jawatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 memerintah daripada kediaman rasmi Yang Dipertuan Muda Riau diPulau Penyengat.

Mulai tahun 1899 setelah mangkatnya Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi mangkat diDaik, Lingga, Kompani Belanda mula memberi tekanan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dengan memberikan arahan arahan secara paksaan. Sebagai permulaan Jawatan Dipertuan Muda Riau yang sepatutnya disandang oleh saudara kandung Sultan Abdul Rahman Muazam Syah sendiri iaitu Raja Ali Kelana tidak dibenarkan. Sebaliknya Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dikehendaki memegang kedua dua Jawatan Yang Dipertuan Besar dan Yang Dipertuan Muda Riau.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah kemudian memindahkan pusat pemerintahan dan kediaman rasmi baginda dari Daik – Lingga ke Pulau Penyengat pada tahun 1903. Sejak itu Sultan Abdul Rahman Muazam Syah jarang jarang pergi ke Lingga kecuali pada upacara upacara rasmi seperti “Mandi Safar” dan lain lain. Sebagai wakil Kerajaan dikawasan Lingga baginda mengangkat Raja Abdul Rahman Bin Abdullah.

Pada tahun 1905 Kompeni Belanda mula memberikan tekanan politik serta mempersempit kan kemerdekaan Kerajaan Riau Lingga dengan memaksa Sultan Abdul Rahman untuk menandatangani kontrak yang menghendaki Sultan supaya menurut arahan arahan yang tertera didalam kontrak tersebut, seperti bendera Belanda haruslah dinaikkan lebih tinggi daripada bendera Kerajaan Riau Lingga dan sebagainya. Namun Sultan Abdul Rahman berserta kerabat kerabat baginda yang bertindak sebagai penasihat kerajaan Riau Lingga membuat bermacam macam tindakan dan tidak mengikuti arahan arahan Kompeni Belanda seperti yang terdapat didalam kontrak tersebut.

Sementara itu Tengku Umar iaitu putera Sultan Abdul Rahman yang memegang jawatan Tengku Besar (sama seperti Tengku Mahkota), mula membentuk semacam barisan tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga di Pulau Penyengat. Kompeni Belanda yang mula resah serta takut bangkitnya kembali semangat jihad seperti yang ditunjukkan diwilayah ini oleh Raja Haji Fisabillah, telah berusaha untuk mencegah daripada membesarnya tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga tersebut. Oleh yang demikian, Kompeni Belanda cuba memaksa Sultan Abdul Rahman untuk satu lagi kontrek perjanjian baru yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga. Namun tekanan daripada pihak Kompani Belanda untuk menandatangi kontrak tersebut ditolak oleh Sultan atas nasihat pembesar pembesar baginda yang tegas seperti Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan kerabat kerabat terdekat baginda yang bertindak selaku penasihat Kerajaan Riau Lingga.

Pada minggu pertama bulan Safar tahun 1329 Hijrah bersamaan dengan awal bulan Februari tahun 1911, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pergi ke Daik – Lingga untuk melakukan upacara “Mandi Safar” dan pada hari tersebut jugalah Kompeni Belanda mula melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintahan Kerajaan Riau Lingga di pusat pemerintahannya diPulau Penyengat. Pada pagi itu, sekitar empat buah kapal perang Belanda telah mendekati Pulau Penyengat dan mendaratkan beratus ratus orang askar “marsose”nya dan mula mengepung istana istana Kedaton, tempat kediaman Tengku Besar, Raja Ali Kelana dan tempat tempat lainnya diPulau Penyengat itu. Setelah itu datanglah Kontelir (Pegawai Daerah Belanda) H.N.Veemstra dari Tanjung Pinang untuk menyampaikan sebuah pemberitahuan yang berbunyi:-

PEMBERI TAHU

Dengan nama JANG DIPERTUAN BESAR GOVERNEUR GENERAL BETAWI dichabarkan :

Maka adalah Seri Paduka Government Hindia Nederland menimbang fardu ini hari djuga SERI PADUKA TUAN SULTAN ABDULRAHMAN MU’ADZAM SYAH dan TENGKU UMAR (TENGKU BESAR) Keradjaan Riau Lingga serta daerah takluknya diberhentikan dari pada pangkatnya itu.

Maka Tuan Sultan diberhentikan dari pangkatnja itu sebab banjak kali melanggar Politik Contract; beberapa kali djuga diberi nasihat oleh SERI PADUKA GOVERNEUR GENERAL BETAWI dan SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT TANDJUNG PINANG. Maka itu dengan tiada Tuan SULTAN mengindahkan atau mengingatkan perdjandjian jang akan mengubahkan apa-apa jang tiada patut itu. Dan tiada sekali-kali akan melanggar Politik Contract lagi dan menurut segala perintah dan aturan SERI PADUKA GOVERNMENT dan wakilnja.

Dan djuga Tuan SULTAN hendak mendjalankan dan mengaturkan bersama-sama Wakil GOVERNMENT pemerintahan jang adil didalam Negerinja. Maka mungkirlah ia didalam perdjandjiannja dan djuga melanggar aturan jang menentang pasal memakai Bendera HOLLANDA.

Maka TENGKU BESAR diberhentikan dari pangkatnja itu sebab sama sekali ianja mengikutkan orang jang berniat bermusuhan dengan SERI PADUKA GOVERNMENT HINDIA NEDERLAND dan ialah mentjutjuk (menghasut) sampai Ajahandanja Tiada mengindahkan sekalian nasihat Wakil Seri Paduka GOVERNMENT itu. Maka kerana itu TUAN SULTAN djuga sama sekali mengikutkan orang jang berniat kedjahatan itu.

Maka mengikut Pasal 6 Ajat 4 pada Politik Contract tahun 1905 maka ketiadaan Sultan mala pemerintahan itu dipegang oleh kita SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT RIAU dengan daerah takluknya sekalian.

Maka sekarang segala KEPALA-KEPALA dan Bumiputra dari KERADJAAN RIAU LINGGA DENGAN DEARAH TAKLUKNYA sekalian hendaklah mengaku dengan sesungguhnja akan MENDJUNJUNG dan MENGHORMATI dengan TA’ATNJA. Maka SERI PADUKA TUAN RESIDENT RIAU LINGGA DENGAN DAERAH TAKLUKNJA sekalian jang memegang dengan SJAH pangkat SULTAN didalam KERADJAAN INI.

Maka PEMERINTAH ini akan dipegang dengan segala KEADILAN dan apa djuga didjalankan supaja Negeri-negeri dibawah perintah kita ini bertambah-tambah dengan Keramaian dan kesentosaan, maka hendaklah KEPALA-KEPALA dan BUMIPUTRA menolong kita diatas pekerdjaan ini.

SIAPA-SIAPA DJUGA JANG AKAN INGKAR PADA PEMERINTAHAN KITA AKAN DIHUKUM DENGA HUKUMAN JANG PATUT KADAR KESALAHANNJA.

Tanda tangan TUAN BESARG.F. de BRUINKOPSRESIDENT RIAU DAM DAERAH TAKLUKNYA.

Termaktub di Penyengat pada 10hari bulan FEBRUARI tahun 1911 bersamaan 11 hari bulan SYAFAR hari DJU’AT 1329 HIJRAH.

Berikutnya, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah yang menaiki kapal baginda yang bernama “Seri Daik” tidak jadi kembali ke Pulau Penyengat sebaliknya baginda terus belayar menuju keSingapura berserta keluarga dan sekelian ramai kerabat kerabat terdekat baginda. Baginda telah mengarahkan orang orang baginda untuk pergi ke istana istana di Penyengat untuk mengambil harta benda baginda berserta kerabat kerabat baginda yang dapat diambil untuk di bawa ke Singapura. Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda lebih rela menghadapi akibat yang besar ini daripada menandatangani Kontrak Politik Kompeni Belanda yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga.

DiSingapura, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Othoman diTurki dan Kerajaan Jepun untuk mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga yang dirampas oleh Kompeni Belanda. Raja Ali Kelana telah memimpin rombongan untuk menemui Sultan Kerajaan Othoman diTurki dan Raja Khalid Hitam memimpin rombongan untuk menemui Maharaja Jepun untuk mendapatkan bantuan. Dalam pada itu Kompeni Belanda telah mengeluarkan pemberitahuan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura bahawa harta benda mereka yang berada diPulau Penyengat dan Riau akan dirampas sekiranya mereka tidak kembali untuk menuntutnya, Sultan Abdul Rahman telah memerintahkan orang orang baginda Riau agar memusnahkan kesemua istana istana Kedaton diPulau Penyengat dan Daik Lingga agar tidak dapat diduduki oleh Kompeni Belanda dan tanah tanah yang kosong supaya ditanam agar tidak dirampas.

Kompeni Belanda yang mendapat tahu bahawa Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga, akhirnya memutuskan untuk membubarkan Kerajaan Riau Lingga secara paksa pada tahun 1913 iaitu 2 tahun setelah merampas kuasa.

Usaha usaha yang dijalankan oleh Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda tidak berjaya, maka kekallah baginda dan lain lainnya menetap diSingapura dan ramai juga yang kemudiannya berpindah keMalaysia. Sultan Abdul Rahman Muazam Syah mangkat di Singapura pada tahun 1930 dan dimakamkan di perkarangan Masjid Temenggong Johor diTelok Blangah, Singapura.

Masjid Raya Sultan Riau di Pulau Penyengat

Masjid Raya Sultan Riau di Pulau Penyengat ini dibena pada tahun 1832 semesa pemerintahan Yang DiPertuan Muda Raja Abdurrahman Ibni Raja Jaafar. Masjid yang sudah ber usia 188 tahun ini telah diperbuat dari campuran utama nya iaitu pasir, kapur dan putih telor. Warna kuning dan hijau yang dominan lagi terang telah menampakkan lagi kecantikan Masjid Raya Sultan Riau dengan simbol warna kuning nya yang melambangkan kesejahteraan dan warna hijau nya pula melambangkan simbol agama Islam.

Awal nya masjid di Pulau Penyengat ini diperbuat daripada papan kayu waktu pertama kali mula dibangunkan pada tahun 1804. Pada tahun 1832 sewaktu Yang DiPertuan Muda Raja Abdurrahman mengajak rakyat untuk bergotong royong membina masjid baru, ramai yang menyumbang tenaga, ada ramai pula yang menyumbang bahan bahan binaan, logistik serta makanan untuk orang orang yang bekerja… antara sumbangan yang banyak ialah telur ayam yang jumlahnya bisa sampai berkapal-kapal. Jadi kerana terlalu banyak dan tidak mahu membazir maka akhirnya telur ini dipakai untuk bahan tambahan untuk perkuatkan bangunan masjid. Bangunan utama masjid ini berukuran 18 x 20 meter. Kubahnya berjumlah 13 buah dan bila ditambah dengan jumlah menara, jadi semua nya berjumlah 17 buah yang melambangkan jumlah rakaat salat selama sehari semalam.

Yang DiPertuan Muda (YDM) Riau Yang Ke-8, Raja Ali Ibni Raja Jaafar

Yang DiPertuan Muda (YDM) Riau Yang Ke-8, Raja Ali Ibni Raja Jaafar. Ditabalkan pada tahun 1844 oleh Sultan Mahmud Syah setelah mangkat kekanda nya Yang DiPertuan Muda Raja Abdurrahman. Yang DiPertuan Muda Raja Ali meningkat lagi peraturan dan undang undang negeri di wilayah Kesultanan Riau Lingga dan meningkatkan lagi penyebaran belajar dan mengajar ilmu Islam di Pulau Penyengat khususnya di Masjid Sultan Riau. YDM Raja Ali mangkat pada tahun 1857. Lokasi makam terletak di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.