Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, January 30, 2021

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah Sultan Riau Lingga Ke-10

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah merupakan Sultan Riau Lingga Ke-10. Baginda mendapat kuasa daripada bonda baginda Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah, Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-8. Sultan Mahmud Muzafar Syah tersebut telah diturunkan dari tahta oleh Kompeni Belanda pada tahun 1857 kerana tiada mahu turut arahan dan peraturan mereka. Kompani Belanda kemudiannya meminta Yang Dipertuan Muda Raja Abdullah serta kerabat2 Diraja Riau Lingga untuk menabalkan saudara kandung Sultan Mahmud Muzafar Syah iaitu Tengku Sulaiman sebagai Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-9 bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.

Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mangkat pada tahun 1883 dan tidak mempunyai putera yang dapat menggantikan baginda, sebab putera baginda Tengku Daud yang menjadi Tengku Besar telah mangkat terlebih dahulu.

Anak saudara almarhum iaitu Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah kemudiannya ditabalkan sebagai pengganti almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Kompani Belanda serta Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi dan kerabat2 Diraja Riau Lingga kemudian nya menabalkan Tengku Embong Fatimah bagi menggantikan almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Setelah 2 tahun kemudian Tengku Embong Fatimah meminta persetujuan bersuaminya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi, Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 untuk menyerahkan kuasanya kepada puteranya, Raja Abdul Rahman menjadi Sultan Yang Dipertuan Besar bergelar Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pada tahun 1885.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah memerintah Kerajaan Riau Lingga daripada kediaman rasmi baginda diDaik, Lingga. Manakala ayahanda baginda, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi yang memegang jawatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 memerintah daripada kediaman rasmi Yang Dipertuan Muda Riau diPulau Penyengat.

Mulai tahun 1899 setelah mangkatnya Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi mangkat diDaik, Lingga, Kompani Belanda mula memberi tekanan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dengan memberikan arahan arahan secara paksaan. Sebagai permulaan Jawatan Dipertuan Muda Riau yang sepatutnya disandang oleh saudara kandung Sultan Abdul Rahman Muazam Syah sendiri iaitu Raja Ali Kelana tidak dibenarkan. Sebaliknya Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dikehendaki memegang kedua dua Jawatan Yang Dipertuan Besar dan Yang Dipertuan Muda Riau.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah kemudian memindahkan pusat pemerintahan dan kediaman rasmi baginda dari Daik – Lingga ke Pulau Penyengat pada tahun 1903. Sejak itu Sultan Abdul Rahman Muazam Syah jarang jarang pergi ke Lingga kecuali pada upacara upacara rasmi seperti “Mandi Safar” dan lain lain. Sebagai wakil Kerajaan dikawasan Lingga baginda mengangkat Raja Abdul Rahman Bin Abdullah.

Pada tahun 1905 Kompeni Belanda mula memberikan tekanan politik serta mempersempit kan kemerdekaan Kerajaan Riau Lingga dengan memaksa Sultan Abdul Rahman untuk menandatangani kontrak yang menghendaki Sultan supaya menurut arahan arahan yang tertera didalam kontrak tersebut, seperti bendera Belanda haruslah dinaikkan lebih tinggi daripada bendera Kerajaan Riau Lingga dan sebagainya. Namun Sultan Abdul Rahman berserta kerabat kerabat baginda yang bertindak sebagai penasihat kerajaan Riau Lingga membuat bermacam macam tindakan dan tidak mengikuti arahan arahan Kompeni Belanda seperti yang terdapat didalam kontrak tersebut.

Sementara itu Tengku Umar iaitu putera Sultan Abdul Rahman yang memegang jawatan Tengku Besar (sama seperti Tengku Mahkota), mula membentuk semacam barisan tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga di Pulau Penyengat. Kompeni Belanda yang mula resah serta takut bangkitnya kembali semangat jihad seperti yang ditunjukkan diwilayah ini oleh Raja Haji Fisabillah, telah berusaha untuk mencegah daripada membesarnya tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga tersebut. Oleh yang demikian, Kompeni Belanda cuba memaksa Sultan Abdul Rahman untuk satu lagi kontrek perjanjian baru yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga. Namun tekanan daripada pihak Kompani Belanda untuk menandatangi kontrak tersebut ditolak oleh Sultan atas nasihat pembesar pembesar baginda yang tegas seperti Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan kerabat kerabat terdekat baginda yang bertindak selaku penasihat Kerajaan Riau Lingga.

Pada minggu pertama bulan Safar tahun 1329 Hijrah bersamaan dengan awal bulan Februari tahun 1911, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pergi ke Daik – Lingga untuk melakukan upacara “Mandi Safar” dan pada hari tersebut jugalah Kompeni Belanda mula melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintahan Kerajaan Riau Lingga di pusat pemerintahannya diPulau Penyengat. Pada pagi itu, sebuah kapal perang Belanda telah mendekati Pulau Penyengat dan mendaratkan beratus ratus orang askar “marsose”nya dan mula mengepung istana istana Kedaton, tempat kediaman Tengku Besar, Raja Ali Kelana dan tempat tempat lainnya diPulau Penyengat itu. Setelah itu datanglah Kontelir (Pegawai Daerah Belanda) H.N.Veemstra dari Tanjung Pinang untuk menyampaikan sebuah pemberitahuan yang berbunyi:-

PEMBERI TAHU

Dengan nama JANG DIPERTUAN BESAR GOVERNEUR GENERAL BETAWI dichabarkan :

Maka adalah Seri Paduka Government Hindia Nederland menimbang fardu ini hari djuga SERI PADUKA TUAN SULTAN ABDULRAHMAN MU’ADZAM SYAH dan TENGKU UMAR (TENGKU BESAR) Keradjaan Riau Lingga serta daerah takluknya diberhentikan dari pada pangkatnya itu.

Maka Tuan Sultan diberhentikan dari pangkatnja itu sebab banjak kali melanggar Politik Contract; beberapa kali djuga diberi nasihat oleh SERI PADUKA GOVERNEUR GENERAL BETAWI dan SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT TANDJUNG PINANG. Maka itu dengan tiada Tuan SULTAN mengindahkan atau mengingatkan perdjandjian jang akan mengubahkan apa-apa jang tiada patut itu. Dan tiada sekali-kali akan melanggar Politik Contract lagi dan menurut segala perintah dan aturan SERI PADUKA GOVERNMENT dan wakilnja.

Dan djuga Tuan SULTAN hendak mendjalankan dan mengaturkan bersama-sama Wakil GOVERNMENT pemerintahan jang adil didalam Negerinja. Maka mungkirlah ia didalam perdjandjiannja dan djuga melanggar aturan jang menentang pasal memakai Bendera HOLLANDA.

Maka TENGKU BESAR diberhentikan dari pangkatnja itu sebab sama sekali ianja mengikutkan orang jang berniat bermusuhan dengan SERI PADUKA GOVERNMENT HINDIA NEDERLAND dan ialah mentjutjuk (menghasut) sampai Ajahandanja Tiada mengindahkan sekalian nasihat Wakil Seri Paduka GOVERNMENT itu. Maka kerana itu TUAN SULTAN djuga sama sekali mengikutkan orang jang berniat kedjahatan itu.

Maka mengikut Pasal 6 Ajat 4 pada Politik Contract tahun 1905 maka ketiadaan Sultan mala pemerintahan itu dipegang oleh kita SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT RIAU dengan daerah takluknya sekalian.

Maka sekarang segala KEPALA-KEPALA dan Bumiputra dari KERADJAAN RIAU LINGGA DENGAN DEARAH TAKLUKNYA sekalian hendaklah mengaku dengan sesungguhnja akan MENDJUNJUNG dan MENGHORMATI dengan TA’ATNJA. Maka SERI PADUKA TUAN RESIDENT RIAU LINGGA DENGAN DAERAH TAKLUKNJA sekalian jang memegang dengan SJAH pangkat SULTAN didalam KERADJAAN INI.

Maka PEMERINTAH ini akan dipegang dengan segala KEADILAN dan apa djuga didjalankan supaja Negeri-negeri dibawah perintah kita ini bertambah-tambah dengan Keramaian dan kesentosaan, maka hendaklah KEPALA-KEPALA dan BUMIPUTRA menolong kita diatas pekerdjaan ini.

SIAPA-SIAPA DJUGA JANG AKAN INGKAR PADA PEMERINTAHAN KITA AKAN DIHUKUM DENGA HUKUMAN JANG PATUT KADAR KESALAHANNJA.

Tanda tangan TUAN BESAR

G.F. de BRUINKOPS

RESIDENT RIAU DAM DAERAH TAKLUKNYA.

Termaktub di Penyengat pada 10hari bulan FEBRUARI tahun 1911 bersamaan 11 hari bulan SYAFAR hari DJU’AT 1329 HIJRAH.

Berikutnya, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah yang menaiki kapal baginda yang bernama “Seri Daik” kembali ke Pulau Penyengat untuk mengambil harta benda baginda yang dapat untuk dibawa belayar menuju keSingapura berserta keluarga dan sekelian ramai kerabat kerabat terdekat baginda.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda lebih rela menghadapi akibat yang besar ini daripada menandatangani Kontrak Politik Kompeni Belanda yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga.

DiSingapura, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Othoman diTurki dan Kerajaan Jepun untuk mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga yang dirampas oleh Kompeni Belanda. Raja Ali Kelana telah memimpin rombongan untuk menemui Sultan Kerajaan Othoman diTurki dan Raja Khalid Hitam memimpin rombongan untuk menemui Maharaja Jepun untuk mendapatkan bantuan. Dalam pada itu Kompeni Belanda telah mengeluarkan pemberitahuan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura bahawa harta benda mereka yang berada diPulau Penyengat dan Riau akan dirampas sekiranya mereka tidak kembali untuk menuntutnya, Sultan Abdul Rahman telah memerintahkan orang orang baginda Riau agar memusnahkan kesemua istana istana Kedaton diPulau Penyengat dan Daik Lingga agar tidak dapat diduduki oleh Kompeni Belanda dan tanah tanah yang kosong supaya ditanam agar tidak dirampas.

Kompeni Belanda yang mendapat tahu bahawa Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga, akhirnya memutuskan untuk membubarkan Kerajaan Riau Lingga secara paksa pada tahun 1913 iaitu 2 tahun setelah merampas kuasa.

Usaha usaha yang dijalankan oleh Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda tidak berjaya, maka kekallah baginda dan lain lainnya menetap diSingapura dan ramai juga yang kemudiannya berpindah keMalaysia. Sultan Abdul Rahman Muazam Syah mangkat di Singapura pada tahun 1930 dan dimakamkan di perkarangan Majid Temenggong Johor diTelok Blangah, Singapura.

Friday, January 29, 2021

Raja Ali Kelana Ibni Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi

Nama lengkapnya Raja Ali Kelana Ibni Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (Yang Dipertuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi) Ibni Raja Ali (Yang Dipertuan Muda ke-8, 1844 Masihi - 1857 Masihi) Ibni Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda ke-6, 1808 Masihi - 1832 Masihi) Ibni Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah (Yang Dipertuan Muda ke-4, 1777 Masihi - 1784 Masihi) Ibni Upu Daeng Celak (Yang Dipertuan Muda ke-2, 1729 Masihi - 1746 Masihi). Daripada nama-nama tersebut dapat disimpulkan bahawa lima orang Yang Dipertuan Muda mulai ayah hingga ke atas adalah pertalian lurus pada Raja Ali Kelana. Raja Ali Kelana tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda kerana kerajaan Riau-Lingga dimansukhkan oleh penjajah Belanda dan sultan terakhir Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, adik beradik dengan Raja Ali Kelana hijrah ke Singapura (1911 Masihi). Perlu dicatatkan di sini bahawa mulai Yang Dipertuan Muda yang pertama (Upu Daeng Merewah) tahun 1722 Masihi sampai tahun 1825 Masihi (masa pemerintahan Raja Jaafar Yang Dipertuan Muda ke-6) bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya. Pangkat Barangkali di dalam kerajaan Melayu yang memperoleh pangkat atau gelar `Kelana' hanya disandang oleh keturunan raja Bugis di dalam kerajaan Riau-Lingga, sekurang-kurangnya yang paling terkenal dengan gelar itu ialah Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah. Yang dimaksudkan dengan `Kelana' ialah sebagai petanda calon untuk menjadi Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda. Raja Ali Kelana wafat pada hari Ahad, pukul 8.00 pagi di rumahnya di Jalan Teberau, Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi PENDIDIKAN Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau. Di Riau pada zaman kanak-kanaknya sangat ramai ulama dan cendekiawan, sama ada yang berasal dari Riau seperti Raja Ali Haji yang sangat terkenal, mahu pun yang datang dari luar. Sewaktu Raja Ali Kelana akan ke Mesir, beliau singgah di Mekah dan sempat memperdalam pelbagai pengetahuan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Abdullah az-Zawawi dan lain-lain. Setelah selesai mengerjakan haji pada tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi, Raja Ali Kelana menerima baiah Thariqat Naqsya-bandiyah Mujaddidiyah Ahmadiyah Muzhhariyah daripada keluarga az-Zawawi, sebelum itu beliau telah beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah daripada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Dengan baiah atau tawajjuh, Raja Ali Kelana juga diberi gelar dihujung namanya dengan `al-Ahmadi' sebagaimana gelar yang pernah diberikan kepada ayahnya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Yang dimaksudkan dengan `al-Ahmadi' pada gelaran tersebut ialah dibangsakan kepada mujaddid (penemu sesuatu yang baru) Thariqat Naqsyabandiyah bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Jika bergelar `al-Khalidi' adalah dibangsakan kepada mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi. AKTIVITI Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jamiyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh murid-murid beliau dengan mendirikan pelbagai organisasi. Murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani di Riau termasuk Raja Ali Kelana mendirikan Jamiyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi. Oleh orang-orang yang sama di Riau juga diasaskan Jamiyatul Khairiyah. Raja Ali Kelana pernah menerima perlantikan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya bergerak dalam bidang percetakan untuk kawasan Singapura dan Riau yang berpusat di tempat pemerintah Riau-Lingga dijalankan, sedang Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk kawasan Kelantan dan Patani yang berpusat di Kota Bharu Kelantan. Dalam catatan didapati bahawa Raja Ali Kelana beberapa kali mengikut Syeikh Ahmad al-Fathani ke Istanbul, Turki-Usmaniyah kerana urusan diplomatik politik dalam rangka membebaskan dunia Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan. Kepergiannya ke Turki yang dapat dicatat, antaranya pada tahun 1301 Hijrah/1883 Masihi, 1312 Hijrah/1895 Masihi dan setelah selesai mengerjakan haji pada akhir tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi atau Muharam 1323 Hijrah/ Februari atau Mac 1905 Masihi. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Raja Ali Kelana pergi ke Turki lagi pada tahun 1913 Masihi. Keberangkatan ke Turki itu dengan persetujuan antara Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Hitam (cucu Raja Ali Haji), seorang ke Turki dan seorang lagi ke Jepun. Raja Khalid Hitam dalam tahun itu juga (1913 Masihi) berangkat ke Jepun untuk yang kedua kalinya. Pertama kali ke Jepun pada tahun 1911 Masihi. Sama ada ke Turki atau ke Jepun, tujuannya adalah mencari sokongan untuk mengembalikan kesultanan Riau-Lingga yang telah dimansukhkan oleh penjajah Belanda. Pada tahun 1324 Hijrah/1906 Masihi, Syarikat Al-Ahmadi didirikan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar dan kerabat kerajaan Riau di Pulau Midai, Pulau Tujuh, yang direstui oleh Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, Sultan Riau-Lingga. Tidak berapa lama setelah syarikat itu diasaskan atas titah Sultan Riau-Lingga supaya Raja Ali Kelana (saudara Sultan) mengeluarkan modal bersama membeli sebuah kapal yang dinamakan `Kapal Karang'. Kapal tersebut beroperasi mengangkut kelapa kering, hasil bumi lainnya dan hasil laut dari Pulau Tujuh ke Singapura dan sebaliknya dari Singapura ke Pulau Tujuh membawa semua barangan keperluan harian, terutama makanan dan pakaian. Tentang ini disebut oleh Raja Haji Ahmad di Singapura dalam surat kepada saudara sepupunya, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman (ayah penulis), Kuasa Ahmadi & Co. Midai diPulau Midai. Cawangan Selain bergerak dalam perkapalan dan pengangkutan, Raja Ali Kelana adalah pemilik Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan berpejabat di Singapura. Gerakan niaga Raja Ali Kelana mengalami kerugian besar dan berakhir pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor. PENULISAN 1. Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan, diselesaikan pada hari Sabtu, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Kandungannya merupakan laporan perjalanan Raja Ali Kelana bersama conteleur Belanda ke Pulau Tujuh. Dimulai catatan ketika berangkat dari pelabuhan Tanjungpinang, hari Rabu 6 Ramadan 1313 Hijrah/19 Februari 1896 Masihi dan diakhiri dengan tiba kembali di pelabuhan yang sama pada hari Sabtu pukul 5.00 petang, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1315 Hijrah/1897 Masihi. 2. Perhimpunan Pelakat, diselesaikan pada tahun 1316 Hijrah/1899 Masihi. Kandungannya mengenai peraturan yang telah dimasyarakatkan antara Kerajaan Riau-Lingga dengan Gubernemen Hindia-Nederland dari tahun 1286 Hijrah hingga tahun 1307 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1317 Hijrah. Karya pertama dan kedua ini telah ditransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi oleh Hasan Junus dimuat dalam karyanya berjudul Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, diterbitkan oleh Pemerintah Daerah Tingkat I Propinsi Riau, Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Daerah Riau Pekan Baru, 1993. 3. Bughyatul Ani fi Hurufil Maani, diselesaikan tidak diketahui tarikh. Kandungannya membicarakan tatabahasa. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1341 Hijrah/1922 Masihi 4. Rencana Mudah Pada Mengenal Diri Yang Indah, diselesaikan di Johor Bahru, pada 3 Rejab 1344 Hijrah/17 Januari 1926 Masihi. Kandungannya adalah pelajaran tasawuf yang ditulis dalam bentuk soal jawab. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1344 Hijrah yang dibenarkan mencetak kepada Sahal bin Ahmad. 5. Kesempurnaan Yang Lima Bagi Islam Menerima, diselesaikan di Bukit Kenangan, Negeri Johor Bahru pada 3 Jamadilakhir 1345 Hijrah/8 Disember 1926 Masihi. Kandungannya, pelajaran fardu ain. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 27 Ramadan 1345 Hijrah. 6. Kumpulan Ringkas atau judul yang lebih lengkap diungkapkan dalam bentuk bersajak Kumpulan Ringkas * Berbetulan Lekas Pada Orang Yang Pantas * Dengan Fikiran Yang Lintas, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya, terkumpul di dalamnya 31 keringkasan yang terdiri daripada 160 perbicaraan. Sub judul yang penting yang jarang dibicarakan tetapi termaktub dalam karya ini antaranya ialah Pada Menyatakan Kelebihan Akal, Jadi Bekal, Pada Menyatakan Berhimpun Bersatu Dengan Pengetahuan, Berpegang Kukuh Oleh Bangsawan, Pada Menyatakan Tawarikh Segala Raja-Raja Dahulu Kala, Pada Menyatakan Sultan Yang Ada Sekarang, Daripada Ayah-Bundanya Terang, Pada Menyatakan Asal Melayu Diambil Dalil, Daripada Al-Marhum Abdul Jalil, Pada Menyatakan Sebab Gelar Upu Kelana Dengan Shahihah, Yang Dipertuan Muda Sultan Alauddin Syah, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keempat Ditanya Orang, Akan Aristotales Dijawab Terang, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keenam, Cetera Iskandar Muda Elok Ditanam, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesembilan, Yang Dikehendaki Bagi Sultan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesepuluh Pada Perjalanan, Menteri Yang Elok Diperkenan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesebelas Menteri Terpuji, Sunyi Mendapat Nama Yang Keji, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kedua belasnya, Peri Berubah Niat Rajanya, Pada Menyatakan Hikayat Yang Ketiga belas, Menter Khianat Lagi Pemulas. Ringkasan Yang Ke-30 dan Ringkasan Yang Ke-31 diungkapkan dalam bentuk puisi/syair. Intelektual Cetakan pertama Mathba'ah Al-Imam, No. 26 Robinson Road, Singapura, 1328 Hijrah. Cetakan yang kedua diusahakan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1420 Hijrah/1999 Masihi. Artikel ini penulis tutup dengan pandangan bahawa walaupun Raja Ali Kelana seorang tokoh intelektual Islam pada zamannya, namun beliau tetap berada di dalam lingkungan `Kaum Tua', berbeza dengan Sayid Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, kedua-duanya terkenal sebagai pelopor `Kaum Muda'. Sama ada Sayid Syeikh al-Hadi mahu pun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah tokoh yang sangat erat hubungannya dengan Raja Ali Kelana, berbeza dalam pemikiran keIslaman tetapi bersatu untuk kepentingan umum dan kemaslahatan. Tulisan: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH - Ulama-Nusantara Blogspot

Sunday, January 24, 2021

Kunjungan Muhibbah Ke Batam Menemui Walikota Batam, Datuk Dr. Ahmad Dahlan - Penulis Buku Sejarah Melayu yang baru diterbitkan.

Raja M Raja M Khalid salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura bersama sama dengan YM Tengku Sri Tengku Sri Indra Bin Tengku Ismail zuriat keturunan Sultan Hussien Shah Singapura telah membuat kunjungan muhibbah ke Batam - Kepulauan Riau pada hari Selasa 19 Januari 2016 untuk bersilaturahim dengan Walikota Batam, Datuk Dr. Ahmad Dahlan yang juga merupakan Penulis Buku Sejarah Melayu yang baru diterbitkan.

Pertemuan dimulai pada jam 12 tengahari dengan acara makan siang di VIP room di Golden Prawn Restaurant. Selanjutnya di ikuti dengan perbincangan serta beramah tamah, bertukar tukar cenderamata diantara Tengku Sri Indra dengan Datuk Dr. Ahmad Dahlan. Tengku Sri Indra yang dahulunya menetap di Istana Kampong Gelam di no 85 Sultan Gate, Singapura turut menunjukkan Salasilah keluarganya
yang merupakan Ketua Keluarga DiRaja Singapura atau Head Of The Royal House Of Singapore, yang namanya ada tertulis di dalam Buku The Royal Families Of South East-Asia yang di terbitkan pada December 1994 serta menunjukkan Cop Mohor Sultan Hussien Shah yang merupakan salah satu warisan Keluarga DiRaja Singapura yang sangat berharga yang didalam simpanannya.


Datuk Dr. Ahmad Dahlan turut mengadakan satu sidang akhbar pada pertemuan tersebut yang antara lain turut menyentuh hubungan kekeluargaan zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Singapura dan Malaysia serta zuriat keturunan Sultan Hussien Shah dengan zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Kepulauan Riau - Indonesia.

Add caption
Datuk Dr. Ahmad Dahlan, Walikota Batam mengadakan satu sidang akhbar bersama sama dengan YM Tengku Sri Tengku Sri Indra zuriat keturunan Sultan Hussien Shah Singapura (berbaju batik berwarna coklat) dan Raja M Khalid salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura (berbaju batik berwarna coklat) . Turut hadir sama ialah Budayawan Samsom Rambah Pasir yang juga merupakan penyunting Buku Sejarah Melayu tulisan Datuk Dr. Ahmad Dahlan. Didalam sidang akhbar tersebut Datuk Dr. Ahmad Dahlan telah turut menerangkan hubungan kekeluargaan diantara zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Singapura dan Malaysia serta zuriat keturunan Sultan Hussien Shah Singapura dengan zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Kepulauan Riau - Indonesia.