Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Wednesday, November 20, 2019

Kenyataan Akhbar Sultan Abdur Rahman, Sultan Riau Lingga Terakhir pada 15hb Februari 1911...

Kenyataan Akhbar Sultan Abdur Rahman, Sultan Riau Lingga Terakhir yang diterbitkan didalam akhbar The Straits Times Singapore pada 15hb Februari 1911...



Raja Terakhir Kerajaan Riau - Lingga : Berita Harian Singapura, Sabtu 10 Disember 2011

KERAJAAN Riau-Lingga telah lama pupus ditelan sejarah tetapi darah keturunan raja masih pekat dalam jiwa Tengku Abdul Rahman Tengku Mohamed Yusoff.

Namun, pesara tentera berpangkat staf sarjan dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu tidak pernah menggembar-gemburkan.

Bukan saja sahabat handai, malah ramai jiran tetangganya di estet perumahan Jurong West, tidak menyedari Tengku Abdul Rahman, 76 tahun, sepatutnya ditabalkan sebagai raja jika kesultanan Riau-Lingga masih wujud.
Ini kerana berdasarkan salasilah, beliau adalah raja terakhir kerajaan yang telah lama tinggal nama dan digulung dalam lipatan sejarah.

Kerajaan Riau-Lingga merupakan serpihan kerajaan Melayu Melaka yang berpindah-randah ke Johor dan akhirnya ke Kepulauan Riau selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam 1511.

Kerajaan tersebut merangkumi Johor, Singapura dan Pahang sekitar abad ke-16 hingga ke-19.

Namun, percaturan politik antara dua kuasa penjajah - Inggeris dan Belanda - berakhir dengan satu perjanjian yang ditandatangani di London dalam 1824.

Perjanjian itu menetapkan kawasan selatan laluan Selat Melaka diserahkan kepada Belanda dan bahagian utaranya termasuk Singapura dikuasai Inggeris.

Perjanjian itu disifatkan seperti pedang yang memutuskan kekuasaan orang Melayu. Riau menjadi daerah kekuasaan Belanda. Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu dikuasai Inggeris.

Di sebalik darah raja yang mengalir dalam tubuh dan jiwanya, Tengku Abdul Rahman kelihatan seperti warga emas yang lain dan meniti kehidupan seperti orang biasa.

Flat HDB empat bilik yang didiami di Blok 425 Jurong West Avenue 1 juga sama seperti flat-flat warga biasa.

'Tiada apa yang nak saya banggakan. Arwah ayah saya pernah menyatakan bahawa kalau kerajaan Riau-Lingga masih wujud, ikut urutannya saya yang berhak memegang takhtanya.

'Tetapi, kesultanan keturunan saya telah luput dan hanya tinggal sejarah. Saya sendiri pun tak simpan dokumen turun-temurun kesultanan dan tidak tahu mana nak cari. Saya tak kisah sangat dan tak ada apa yang nak dibanggakan. Tetapi, dari segi salasilah, nama saya tetap ada dalam urutan kesultanan,' tambah ayah tujuh anak, 13 cucu dan tiga cicit itu.

Beliau adalah cicit Yang Dipertuan Muda ke-10 Riau- Lingga, Raja Mohamed Yusoff Ibni Raja Ali. Kesultanan Riau- Lingga adalah kerajaan Islam yang berpusat di Kepulauan Lingga yang merupakan pecahan daripada Kesultanan Johor.

Kesultanan itu dibentuk berdasarkan perjanjian antara kerajaan Britain dengan Belanda pada 1824 dengan Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah sebagai sultan pertamanya.

Namun, Kesultanan tersebut dihapuskan oleh pemerintah kolonial Belanda pada 3 Februari 1911.

Dalam zaman kegemilangannya, Kesultanan tersebut memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa Melayu.

Tokoh besar di balik perkembangan pesat bahasa Melayu ketika itu ialah Raja Ali Haji, seorang pujangga dan sejarawan keturunan Melayu- Bugis.

Tengku Abdul Rahman berkata beliau hanya ada sekeping pinggan yang pernah digunakan di Istana sebagai kenangan.

'Saya dah tak ada apa-apa harta dan simpan sebarang peninggalan sejarah. Datuk saya dan ramai keluarga lari dari Pulau Penyengat tanpa membawa apa-apa apabila Belanda mengambil alih kuasa,' katanya.

Bagi beliau, rentetan sejarah itu kini hanya tinggal dalam kenangan dan zaman kegemilangan kerajaan itu tidak mungkin kembali lagi.
Sumber: Berita Harian Singapura - oleh Saini Salleh

Monday, November 18, 2019

Majlis silaturrahmi sempena Hari Raya Idul Adha anjuran bersama Perhimpunan Agung Zuriat dan Kerabat Kerajaan Riau Lingga - Kota Batam

Majlis silaturrahmi sempena Hari Raya Idul Adha anjuran bersama Perhimpunan Agung Zuriat dan Kerabat Kerajaan Riau Lingga - Kota Batam dengan Masparimbunis (Keturunan Raja Ali Dan Raja Chik) dari Melaka, yang diadakan di Tanjung Bemban, Batu Besar - Batam, pada 05 Oktober 2014.

Raja Muda, Raja Abdul Ghani SE Ibni Raja Mualim dari Perhimpunan Agung Zuriat dan Kerabat Kerajaan Riau Lingga - Kota Batam sedang memberikan ucapan...

Persembahan syair

Datuk Hj Abd Rahim B. Hj Abu, Timbalan YDP Masparimbunis dari Melaka sedang memberikan ucapan...

Wakil WaliKota Batam (Datuk Lela Bahari) Bapak Rudy, SE. MM. sedang memberikan ucapan...

Acara bertukar tukar cenderahati: Dari Kiri: Raja Muhamad Amin(berbaju biru) selaku pengerusi majlis, Datuk Hj Abd Rahim B. Hj Abu (berbaju ungu) Timbalan YDP Masparimbunis dari Melaka, Tengku Shawal Tengku Aziz (berbaju coklat) dari Singapura, Raja Muda - Raja Ghani (berbaju putih) dan Perdana Dalam- Raja Kamarulzaman (berbaju Biru gelap) dari Perhimpunan Agung Zuriat dan Kerabat Kerajaan Riau Lingga - Kota Batam, berserta pembantu2 (penari penari Tari Persembahan)..
Penyerahan cenderahati daripada Raja Muda - Raja Ghani (berbaju putih) kepada Datuk Hj Abd Rahim B. Hj Abu (berbaju ungu) Timbalan YDP Masparimbunis dari Melaka.

Penyerahan cenderahati daripada Datuk Hj Abd Rahim B. Hj Abu (berbaju ungu) Timbalan YDP Masparimbunis dari Melaka kepada Wakil Walikota Batam Bapak Rudy

Penyerahan cenderahati daripada Datuk Hj Abd Rahim B. Hj Abu (berbaju ungu) Timbalan YDP Masparimbunis dari Melaka kepada Anggota Dewan Kota Batam

Penyerahan cenderahati daripada Datuk Hj Abd Rahim B. Hj Abu (berbaju ungu) Timbalan YDP Masparimbunis dari Melaka kepada Tengku Shawal Tengku Aziz dari Singapura..

Majlis di teruskan dengan persembahan nyanyian dan hiburkan selepas sholat Zuhur dan santap siang bersama...

Bergambar bersama diantara zuriat dan kerabat daripada Batam / Indonesia, Melaka / Malaysia dan Singapura pada Majlis silaturrahmi sempena Hari Raya Idul Adha anjuran bersama Perhimpunan Agung Zuriat dan Kerabat Kerajaan Riau Lingga - Kota Batam dengan Masparimbunis (Keturunan Raja Ali Dan Raja Chik) dari Melaka, yang diadakan di Tanjung Bemban, Batu Besar - Batam, pada 05 Oktober 2014.