Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, March 19, 2016

27. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh tujuh...



27. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh tujuh...

Belanda Mengepung Riau

Pada sekitar tahun 1781 semasa Yang DiPertuan Muda Raja Haji memerintah Riau telah terjadi peperangan dengan Belanda seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebut perkataan negeri Riau, iaitu masa Kerajaan Sultan Mahmud dan Yang DiPertuan Muda Raja Haji. Maka tiada berapa lamanya di dalam negeri Riau, maka paduka kekanda Yang DiPertuan Selangor, Sultan Salehuddin pun mangkatlah. Maka digantikan oleh Yang DiPertuan Muda Raja Haji akan paduka anakandanya Raja Ibrahim menjadi Yang DiPertuan Besar dan paduka anakanda baginda Raja Nala dijadikannya Yang DiPertuan Muda di dalam negeri Selangor adanya.

Syahadan kata sahibul hikayat adalah kira-kira delapan tahun Yang DiPertuan Muda Raja Haji memerintahkan Kerajaan negeri Riau dengan segala takluk daerahnya. Maka datanglah takdir Allah Taala yang amat kuasa serta melakukan kehendak-Nya atas hamba-hamba-Nya dengan hikmat-Nya serta memberitahu atas hamba-Nya akan kekejian dunia yang tiada kekal dan nikmatnya yang tiada tentu, padahal berpindah-pindah daripada satu hal kepada satu hal keadaannya, supaya segala hamba-Nya jangan mengasihi dunia ini dan hendaklah kasihkan negeri akhirat.

Syahadan adalah permulaan sebab rosak negeri Riau itu maka iaitu atas dua kaul. Sebermula adalah kaul yang pertama yang dapat di dalam sejarah Selangor sebab yang lahirnya aku periksa. Iaitu adalah Yang DiPertuan Muda Raja Haji itu ada perjanjian konon dengan Kompeni Holanda, musuh Holanda musuh Raja Haji. Adapun jika ada pekerjaan tangkap menangkap rampas merampas musuhnya itu ada bahagian di dalam itu antara keduanya. Kemudian datanglah satu kapal musuh Holanda itu (kapal Kompeni Inggris bernama Betsy) masuk ke dalam Riau berlabuh di Pulau Bayan. Maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun memberitahu ke Melaka. Maka datanglah satu kapal dari Melaka diperanginyalah kapal musuh itu oleh Holanda. Maka diambilnya kapal itu dengan segala muatannya dibawanya ke Melaka. Maka apabila sampai ke Melaka jadilah kapal itu hukum rampasan kepada Holanda jalan seperti adat permusuhan. Maka tiba-tiba tiada Raja haji itu mendapat bahagian di situ konon.

Maka Raja Haji pun pergilah ke Melaka melalui Muar hendak memeriksa pekerjaan itu. Setibanya Raja Haji di Muar, Gubernur Melaka pun menyuruh satu orang kepercayaannya pergi ke Muar berbicara dengan Raja Haji. Maka Raja Haji pun berkhabar kepada wakil itu, yang kapal itu ia memberitahu ke Melaka dan lagi diambil didalam pelabuhan kita, di negeri Riau, sekarang mana bahagian kita disitu? Maka dakwa Raja Haji itu tiadalah wakil Gubernur Melaka itu menerimanya, jadi bersalah-salahan fahamlah.

Syahadan apabila Gubernur Melaka tiada menerima seperti maksud Raja haji itu, maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun memulangkan surat-surat perjanjian itu. Kemudian ia berangkat balik ke Riau. Syahadan Gebernur Melaka apabila Raja Haji memulangkan surat perjanjian itu maka marahlah ia, maka musyawarahlah dengan raja lautnya yang bernama Piter Jakub Pemberem, kata suatu kaul orang-orang besar Holanda, namanya Tuan Abo. Maka di dalam tengah-tengah bicara itu, banyaklah fitnah-fitnah disampaikan orang-orang yang khianat mengatakan Yang DiPertuan Muda Raja Haji hendak memukul  negeri Melaka serta telah siap segala kelengkapannya. Maka berkatalah Gebernur Melaka itu kepada Jakub Pemberam itu, “Raja Haji mau memukul negeri Melaka, iaitu kita pergi pukul dahulu”. Maka pergilah kelengkapan Holanda itu dengan beberapa buah kapal perang menunggu Kuala Riau tiada diberinya perahu-perahu dagang masuk.

Setelah itu marahlah Raja Haji itu, dikeluarkannya dengan beberapa penjajabnya. Maka lalu berperang besar legum-legam bunyi meriam hingga petang baharu berhenti. Apabila malam undurlah kapal-kapal itu ke laut. Maka pada ketika siang berperang pula gegak-gempita bunyi meriam antara kedua pihak itu. Maka beberapa bulan tiada juga berketewasan.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun menyuruh membuat kubu di Tanjung Pinang dan Teluk Kerinting dan di Pulau Penyengat dan segala penjajab yang besar-besar berkeliaranlah sepanjang laut itu. Ada kira-kira tengah dua ratus (150) buah kecil-besar ada yang ke sebelah Tanjung Uban, ada yang ke belakang Riau memasukkan perahu-perahu dagang yang datang dari Siam membawa beras dan lain-lainnya. Syahadan kata sahibul hikayat adalah yang memerintahkan perang itu Yang DiPertuan Muda Raja Haji sendiri, adalah ia bersampan bidar. Adalah ia pergi memeriksa segala kelengkapannya apa-apa yang kurang daripada satu penjajab kepada satu penjajab pada ketika tengah orang-orang berperang didalam peluru yang sabung menyabung itu.

Kemudian ada pula satu kapal Holanda mara ke darat sebelah pihak Pulau Los maka angin lemah di keluari oleh penjajab enam tujuh buah. Maka lalulah berperang azamatlah bunyinya. Maka seketika berperang itu hampir tewas dan kapal itu hampir-hampir dapat. Syahadan adalah yang pergi memeranginya itu satu panglima namanya Encik Kubu, seketika berperang itu terbakarlah beranda keci itu. Maka sudah banyaklah orang-orangnya turun ke keci nya hendak undur ke laut. Maka angin pun keras turun, maka datanglah kapal bantu dari laut maka lepaslah keci itu ke laut. Maka hari pun malamlah lalu berhenti perang. Maka apabila hari siang berperanglah pula, demikianlah halnya sehari-hari.

Syahadan kata sahibul hikayat ada kira-kira sebelas bulan lamanya berperang itu maka berbicaralah pula antara kedua pihak.

Kata satu kaul orang besar-besar Holanda namanya Tuan Abo hendak berbicara muafakat berhenti perang mencari bicara-bicara yang baik serta hendak memasukkan satu kapal perang yang besar ke dalam Sungai Riau. Maka Raja Haji pun melaranglah, jikalau hendak bicara atau muafakat jangan di masukkan kapal yang besar-besar itu kedalam Riau. Jawab Holanda, “Tidak mengapa, tidak kita membuat satu apa di dalam bicara ini”. Maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun melarang juga. Maka kapal itupun keras juga hendak masuk. Maka lalulah berperang semula dengan kubu yang di Teluk Kerinting itu. Maka azamatlah bunyinya meriam kapal itu. Maka seketika berperang itu maka kubu Teluk Kerinting pun hendak tewas sebab ubat bedilnya habis. Maka menyuruhlah Yang DiPertuan Muda itu mengantarkan ubat bedil itu. Adalah yang mengantarkan ubat bedil itu Syahbandar Bopeng, adalah yang mengayuhkannya satu anak baik-baik nama nya Encik Kalak. Maka sampan itu pun dibedil oleh kapal dari laut dengan peluru penaburnya, maka sampan itu pun tengelam. Maka lepaslah satu tong ubat bedil itu di pikul oleh orang sampan itu naik ke darat kepada kubu Teluk Kerinting, Maka dapatlah empat lima kali tembak, maka dengan takdir Allah Taala, kapal itupun terbakar, meletup berterbangan geledak kapal itu ke udara dan segala orang orangnya pun habislah mati diterbangkan oleh ubat bedil yang meletup itu. Syahadan adalah pada satu kaul, orangnya ada delapan ratus yang mati dan ada satu Komesarisnya (Arnoldus Lemker) yang mati bersama-sama kapal itu. Adalah nama kapal itu “Malak Saur Far” (Malakka’s Welvaren), demikianlah yang didapat daripada perkataan orang tua-tua Holanda yang di Melaka. Syahadan apabila sudah terbakar kapal besar itu maka berhentilah perang sama-sama diam, sungguh diam di dalam bicara kedua pihak”

Meletup nya kapal perang besar Belanda Malakka’s Welvaren di Selat Riau ialah pada 6 haribulan Januari tahun 1784. Pehik Belanda dikatakan telah menghantar sejumlah 30 buah kapal perangnya termasuk kapal perang yang besar meletup itu, yang didatangkan daripada Betawi bersama sejumlah 2,104 askar-askarnya sejak awal tahun 1782, untuk peperangan selama hampir 2 tahun itu.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh lapan...)


Sunday, March 13, 2016

26. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Bahagian ke dua puluh enam...

26. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh enam...

Raja Haji Menjadi Yang DiPertuan Muda Riau


Pada tahun 1777 Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja telah mangkat di Riau sewaktu Raja Haji Engku Kelana berada di Pontianak di Kalimantan seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebutlah perkataan baginda Sultan Mahmud di dalam negeri Riau. Maka apabila telah mangkat paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja, iaitu Marhum Janggut maka duduklah baginda itu dengan kemasygulan. Adapun putera-putera Marhum Janggut ada juga semuanya, maka baginda pun duduklah ternanti-nanti akan suruhan yang pergi ke Pontianak itu, belum juga lagi datang. Maka baginda pun selalu jugalah menyuruh rakyat rakyat melihat ke belakang Riau barangkali ada tampak akan angkatan Raja Haji.

Syahadan di dalam hal yang demikian itu, maka suruhan dari Pahang pun datanglah membawa surat dari Datuk Bendahara mengatakan hal Raja Haji ada di dalam Pahang sudah dilantik di Pahang oleh Datuk Bendahara (Tun Abdul Majid Ibni Bendahara Tun Abbas). Setelah baginda mendengarkan paduka ayahanda Raja Haji telah berada di Pahang itu maka lalu baginda itu berangkat ke Pahang. Maka tiada berapa lamanya maka sampailah ke Kuala Pahang. Maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji serta Datuk Bendahara pun menyambutlah akan baginda itu. Maka duduklah baginda itu serta paduka ayahanda Raja Haji serta Datuk Bendahara Pahang betapa adat Raja besar-besar berhimpun.

Syahadan tiada berapa lamanya baginda Sultan Mahmud serta paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Raja Haji berangkatlah balik ke Riau. Syahadan apabila tiba ke Riau maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun membuat istana di Pulau Malim Dewa serta dengan kotanya yang indah-indah yang bertatah dengan pinggan dan piring sangatlah indah perbuatannya, dan satu pula balai dindingnya cermin. Adalah tiang balai itu bersalut dengan kaki pahar tembaga dan kota itu sebelah atasnya berkisi-kisikan bocong. Adapun kota itu apabila kena matahari menancar-mancar cahayanya. Kemudian memperbuat pula satu istana lagi di Sungai Galang Besar sangat juga indah-indah perbuatannya, iaitu istana paduka anakanda baginda itu Sultan Mahmud. Dan perhiasan istana Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda itu daripada emas dan perak jua, dan seperti talam dan ceper kebanyakan diperbuat di negeri China, dan seperti tepak dan balang air mawar daripada emas dan perak diperbuat di negeri Benila (Manila) yang berkarang dan bertahtakan intan dan yang berserodi. Dan adapun pinggan mangkuk dan cawan kahwa dan teh kebanyakan diperbuat di negeri China serta tersurat dengan air emas pada pantat cawan itu tersebut Pulau Malim Dewa. Adalah cawan itu hingga sampai kepada anak cucunya, iaitu sah dengan nyatanya.

Syahadan kata sahibul hikayat adalah pada masa Yang DiPertuan Muda Raja Haji ini mangkin ramai Riau, serta dengan makmurnya serta banyaklah orang-orang negeri Riau kaya-kaya. Syahadan baginda Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda pun banyaklah mendapat hasil-hasil dan cukai-cukai. Syahadan segala penjajab perang pun beraturlah di pelabuhan serta cukup ubat pelurunya serta panglima-panglimanya, tiga puluh turun, tiga puluh naik ke darat. Syahadan demikianlah di dalam beberapa tahun bersuka-sukaan kerana negeri aman lagi makmur, dan segala makan-makanan pun murah dan segala orang-orang dagang pun banyaklah dapat untung kerana terlalu ramai orang-orangnya.

Syahadan di dalam hal itu maka kebanyakan suku-suku Melayu tiada menerima syukur hingga menaruh dendam juga didalam hatinya akan Raja-Raja Bugis, dengan beberapa jenis perbuatan dan kelakuan hendak mencarik kan juga nama Yang DiPertuan Muda serta Bugis-Bugis biar mendapat nama busuk sehingga keluarlah Raja Indera Bungsu itu anak beranak adik beradik ke Trengganu, sebab kecil hati akan Raja-Raja Bugis konon. Katanya, “Kaya seorang, mewah seorang”.

Di dalam hal itu berjalan pula fitnah daripada Yang DiPertuan Trengganu dengan Raja Indera Bungsu dan Bendahara Pahang. Tiap-tiap tahun berkirim surat kepada Holanda ke Melaka dan ke Betawi dan kepada Inggeris ke Benggal dan ke Madras dan ke Silung. Adalah kehendaknya minta tolong pukulkan Riau juga minta ambilkan baginda Sultan Mahmud di bawah tapak kaki Bugis, itulah jadi perbahasan suku-suku sebelah Melayu. Syahadan adalah yang aku dapat ini, iaitu tersebut di dalam sejarah karangan Engku Busu Dungun – Trengganu. Ialah Raja Melayu yang dapat rahsia antara kedua pihak, demikianlah adanya.


Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Raja Ismail di Tanah Putih. Maka baginda pun membuatlah akan perahu kakap di dalam hutan itu dikerahnya segala orang-orang Tanah Putih itu padahal seorang pun tiada tahu. Kemudian lama-lama tahulah orang-orang Siak, maka datanglah kepada baginda. Maka ditahan oleh baginda, maka tiadalah berani orang-orang Siak itu datang dan tiada berani berkhabar-khabar.

Syahadan kemudian baginda pun menerima satu Tuan Syed bangsa Sakkaf diperbuatnya menantu, dinikahkannya dengan puterinya bernama Tengku Kamariah. Maka Tuan Syed itupun digelar Tuan Besar, maka musyawarahlah baginda itu dengan Tuan Besar itu, maka ia pun bersiaplah perahu kakap ada dua belas buah dan penjajab yang besarnya ada empat buah. Maka apabila telah siap maka baginda pun masuk ke Siak. Maka terkejutlah Yang DiPertuan Muhammad Ali, maka menyuruhlah ia Panglima Hasan mengatur akan kelengkapannya. Maka Panglima Hasan pun mengerjakanlah akan titah itu. Kemudian Panglima Hasan pun menyuruh mengisi meriam.

Maka berperanglah keduanya itu dengan azamatlah bunyi nya. Maka seketika berperang itu banyaklah rosak kepengkapan Panglima Hasan. Maka Panglima Hasan pun merapat dan Raja Ismail merapatkan juga akan kenaikannya. Maka lalulah berbedil-bedilan pemburasnya. Maka Raja Ismail pun menyuruh kerumunkan perahu Panglima Hasan. Maka dinaikkan oleh panglima-panglima Raja Ismail akan perahu Panglima Hasan itu. Maka lalulah beramuk-amuk di dalam perahu Panglima Hasan itu. Maka Panglima Hasan pun mengamuklah maka matilah ia dikerumuni oleh panglima-panglima Tanah Putih itu.

Syahadan setelah kelengkapan Siak itu melihat Panglima Hasan itu sudah mati, maka pecahlah perangnya, undurlah ia berterjunan naik ke darat tinggalkan perahunya. Maka Raja Ismail pun menyuruh naik orang-orangnya mengamuk dan membakar. Syahadan adapun Yang DiPertuan Muhammad Ali dilarikan orang-orang tuanya masuk Sungai Mampura. Syahadan segala Raja-Raja perempuan pun berjerit-jeritlah. Maka isteri Yang DiPertuan Muhammad Ali bernama Tengku Ambung saudara Raja Ismail pun turunlah ke jembatan itu serta Raja-Raja perempuan mendapatkan Raja Ismail. Setelah Raja Ismail melihat kekanda adinda sekelian turun itu, maka ia pun segera mendapatkan sambil bertangis-tangisan. Maka negeri Siak pun dapatlah semula dengan Raja Ismail.

Syahadan Yang DiPertuan Raja Ismail pun bertitahlah kepada kekanda adinda sekelian, “Mengapa abang Muhammad Ali lari? Bukannya saya hendak membunuh dia”. Kemudian Yang DiPertuan Raja Ismail pun menyuruh mengambil Yang DiPertuan Muhammad Ali ke Patapahan. Maka apabila sampai suruhan itu maka ia pun berdatang sembah kepada Yang DiPertuan Muhammad Ali sembahnya, “ Paduka adinda Yang DiPertuan Besar Raja Ismail menyilakan tuanku ilir ke Siak juga”. Maka titah Yang DiPertuan Muhammad Ali, “Jika datang Raja Ngah atau Ambung mengambil aku kemari, beranilah aku ilir”. Maka suruhan itupun kembali mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Raja Ismail akan perkataan Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka baginda pun menyuruhkan akan kekanda baginda Tengku Ambung itu pergi mengambil suaminya Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka datnglah Yang DiPertuan Muhammad Ali itu.

Maka apabila berjumpa Yang DiPertuan Muhammad Ali itu dengan Yang DiPertuan Raja Ismail maka sembah Tengku Ambung. “Inilah kekanda itu, apa-apa titahlah”. Maka titah Yang DiPertuan Raja Ismail, “Jika abang Ambung hendak balik dengan abang Muhammad Ali saya balikkanlah”. Maka jawab Tengku Ambung, “Jikalau abang Muhammad Ali itu menjadi Yang DiPertuan Muda lagi, maulah abang Ambung balik dengan dia”. Maka Yang DiPertuan Raja Ismail pun menyuruh bersumpah tiada hendak berniat khianat lagi. Maka bersumpahlah Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka lalu dibalikkannya laki isteri itu.

Syahadan kata sahibul hikayat maka tiada beberapa lamanya maka sampailah peredaran dunia, maka geringlah Raja Ismail Yang DiPertuan Besar itu dengan gering sangat. Maka berhimpunlah segala orang besar-besarnya kedalam. Maka baginda pun tahulah akan bilangan ajalnya maka lalu ia mengumpulkan saudara-saudaranya serta Yang DiPertuan Muda Muhammad Ali dan orang besar-besar sekelian. Maka berpesanlah ia akan gantinya, iaitu anaknya yang bernama Raja Yahya. Maka apabila habis ia berpesan itu, maka baginda pun mangkatlah. Maka dikerjakanlah oleh Yang DiPertuan Muda Muhammad Ali serta segala saudaranya betapa adat istiadat Raja-Raja mangkat. Maka dimakamkan di Mampura, maka dipanggil oranglah ia itu Marhum Mangkat di Balai.

Syahadan adalah yang menggantikan Kerajaannya puteranya yang bernama Raja Yahya, maka bergelar Sultan Yahya Syah Kerajaan di dalam negeri Siak. Adapun Tengku Abdullah menjadi Raja di Kampar bergelar Tengku Besar Kampar. Syahadan adalah anak Raja Alam al-Marhum dengan Daeng Khadijah, bernama Tengku Badariah, bersuamikan Syed Othman, mendapat anak beberapa orang. Pertama Syed Ali, kedua Syed Abdul Rahman. Syahadan akhirnya kelak ialah mengambil Kerajaan Sultan Yahya itu, lagi akan datang kisahnya di belakang ini”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh tujuh...)