24. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga
serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722
hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh empat...
Raja Haji Menuntut
Baki Hutang Daripada Kerajaan Kedah
Pada awal tahun 1770an Raja Haji Engku Kelana telah pergi
ke Kedah untuk menuntut baki hutang Kerajaan Kedah kepada Raja Raja Bugis di
Riau, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka berangkatlah Raja Haji Engku Kelana ke Selangor berjumpa
dengan paduka kekanda Yang DiPertuan Selangor. Maka musyawarahlah keduanya pada
pekerjaan setia-setia Raja Kedah zaman orang tua-tua, hanyalah bunyinya yang
tersebut didalam sejarah Selangor. “Patut menerima dan menuntut perjanjian
menjadi perang itu, sebab negeri Kedah sudah makmur kerana perjanjian Opu Opu dahulu.
Apabila makmur negeri Kedah, adalah belanja-belanja Opu-Opu melanggar Kedah dahulu
patutlah hendak diganti. Serta ada pula perjanjian lain daripada itu, iaitu
lima belas bahara (timbangan berat) wang. Maka sudah dibayar tiga bahara,
tinggal lagi dua belas bahara, sudah berpuluh-puluh tahun tiada juga Raja Kedah
menyempurnakan perjanjiannya itu, dan surat-suratnya pun ada baik kita
tunjukkan kepada Raja Kedah itu”. Maka jawab Yang DiPertuan Selangor, “Jikalau
begitu, baik kita pergi sendiri”. Maka jawab Raja Haji Engku Kelana, “Baiklah”.
Syahadan apabila selesailah muafakat itu maka Raja Haji berserta
dengan Yang DiPertuan Selangor serta paduka adinda Raja Sa’ad dan Suliwatang
pun belayarlah ke Kedah. Maka singgahlah Raja Haji Engku Kelana di Perak hendak
berjumpa dengan Sultan Perak. Maka dipermuliakanlah oleh Sultan Perak serta
diperjamunya makan minum.
(Pada masa inilah Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah
(Sultan Perak ke-16) menabalkan Raja Lumu, Raja Selangor itu menjadi Yang
DiPertuan Besar Selangor dengan penuh adat istiadat penabalan serta bergelar
Sultan Salehuddin Shah, Sultan Selangor yang pertama).
Maka tiada berapa hari diPerak, maka bermohonlah Raja
Haji Engku Kelana kepada Sultan Perak
dan kepada paduka kekanda Sultan Salehuddin Selangor. Adapun Sultan Salehuddin
Selangor tinggallah di Perak dahulu kerana belum tentu paduka adinda berperang.
Syahadan adapun Raja Haji berserta paduka adinda Raja Sa’ad
dan Suliwatang, maka belayarlah ke Kedah. Maka apabila sampai ke Pangkor maka
Raja Haji pun mendapat anak seorang laiki-laki dinamakannya Raja Jaafar,
timang-timangannya Raja Laut. Syahadan kelengkapan Raja Haji berangkat ke Kedah
itu dengan kapal dan keci dan enam puluh buah penjajab.
Syahadan adapun Yang DiPertuan Kedah tatkala ia mendengar
khabar Raja Haji datang maka ia pun membuat kubu di Batangau serta diaturnya
meriam serta diisinya, orang beribu ribu serta beberapa hulubalang panglimanya.
Syahadan tiada berapa antaranya maka kelengkapan Raja Haji pun tibalah di
Batangau serta dilihatnya di Batangau telah siap dengan kubunya. Maka Raja Haji
pun tersenyum sambil berkata, “Hendak bergaduh rupa-rupa orang Kedah ini”.
Maka Raja Haji pun menyuruh Suliwatang mendapatkan Raja
Kedah, menyatakan surat-surat perjanjian orang tua-tua dahulu, dipakaikah atau
tidak? Maka Suliwatang pun berjumpalah Raja Kedah tengah dihadap oleh menteri-menterinya
dan hulubalangnya, dan berserta dengan baris senapangnya, dan baris pedangnya
serta lembingnya, kebanyakan pula pertikamannya orang-orang Keling dan Benggal.
Maka Suliwatang pun memberikan surat-surat itu. Maka dibaca Yang DiPertuan
Kedah.
Setelah habis dibacanya maka titahnya kepada Suliwatang, “Ini
surat perjanjian orang tua-tua dahulu dan yang menerima janji tiada lagi. Dan
yang saya menjadi Raja ini bukannya Bugis mengangkat saya, Bendahara,
Temenggung saya sendiri mengangkat saya menjadi Raja. Saya kirim salam saja
kepada Raja Haji, janganlah dipanjangkan lagi perkara ini”.
Maka Suliwatang pun memaklumkan kepada Raja Haji. Maka
apabila Raja Haji mendengar perkataan Raja Kedah itu, merahlah mukanya seraya
bersabda kepada Suliwatang, “Berperanglah kita, hari esok melanggar kubu di
Batangau di hulu”. Maka sembah Suliwatang, “Tiadakah menanti paduka kekanda itu
dahulu?”. Maka jawab Raja Haji, “Apa
yang dinantikan abang itu lagi?”. Kita menyuruh sahajalah memberitahu ke Perak
kepada abang mengatakan yang kita sudah berperang”. Maka sembah Suliwatang, “Baiklah”. Maka Suliwatang
pun berkerahlah akan segala Indera Gurunya dan juak-juaknya, dan segala
Bugis-Bugis yang banyak disuruhnya bersiap dan memakai pakaian perang serta
menyiapkan meriam dan lela rentakanya dan terakul pemburasnya dan lembing
kerisnya. Kemudian maka mengaruk lah ia segala Bugis-Bugis itu serta dengan
kilung musungnya (menyanyi lagu perang). Syahadan setelah orang kubu Batangau
melihat hal yang demikian itu, maka orang Kedah itupun bersiaplah dan mengisi
segala meriamnya.
Syahadan apabila sampai keesokkan harinya, maka memulai
perang Raja Haji dengan kubu Batangau itu berbedil-bedilan dengan meriam dan
lela, gegak-gempitalah sebelah menyebelah serta sorak tempiknya. Maka tiada
berketewasan jua kedua pihak. Maka apabila malam, berhenti. Maka apabila siang
perperang pula. Ada kira-kira empat hari tiada juga berketewasan kerana negeri
Kedah masa itu tengah makmur, cukup ubat pelurunya, beberapa kapal dan keci
yang didalam sungai itu serta ramai orangnya.
Setelah Raja Haji melihat Yang DiPertuan Kedah telah kuat
maka ia pun menyuruh Suliwatang serta Indera Gurunya dan panglima-panglimanya, “Jikalau
demikian sebulan lagi tiada bertentuan alah menangnya. Jikalau begitu baik
mengamuk semuanya ke darat”.
Maka berkemas sekeliannya. Maka apabila telah siap
naiklah Suliwatang serta panglima-panglima Bugis lalu dilanggarnya kubu
Batangau itu, diamuknya. Maka dikeluari oleh orang-orang Kedah dengan baris
senapangnya. Maka lalulah berperang beramuk-amukan maka Bugis-Bugis pun merapat
juga dengan terakulnya dan pemburasnya serta lembingnya. Maka lalu bertikam
berkejar-kejaran berhambat-hambatan kesana kemari. Maka Nakhoda La Wolok pun
menaiki kubu itu maka segala pertikaman Bugis pun naiklah bersama sama Nakhoda
itu serta membedilkan pemburasnya.
Maka tatkala itu banyaklah mati orang-orang Kedah dan
Temengung dan Laksamananya pun larilah membawa lukanya lalu ke Alor Setar
namanya. Maka dikejar-kejar oleh Bugis. Maka beramuklah sepanjang jalan itu,
maka titah Raja Haji, “Ikut masuk kedalam negeri sekali”. Maka Suliwatang pun
berkerah menyuruh mara. Maka maralah segala Bugis-Bugis itu sambil membedilkan
pemburasnya. Maka Suliwatang pun berkata, ”Pikul lela-lela itu! Bedil dengan
lela-lela itu biar jauh sedikit makannya”. Maka dipikul oranglah lela-lela itu dinaikkan
diatas bahunya dua tiga, lalu dibedilnya kepada orang lari-lari itu. Sekali
bedil dua tiga yang rebah. Maka kata Suliwatang, “Ini lela bagus benar patutlah
dinamakan ‘Si Harung Darah’”.
Syahadan Bugis mengejar-mengejar itupun sampai ke Alor
Setar. Maka lalu menyeberang ke pangkalan kapal. Kemudian lalu ke Kampung
Tengku Bunga anak Engku Kelana Encik Unuk. Kemudian baharulah ilir ke kuala,
maka lalu beramuk-amukan pula disitu berbunuh-bunuhan. Maka bunyi senapang pemburas
seperti bunyi bertih didalam perang itu. Maka didalam tengah beramuk-amuk itu
orang-orang Bugis pun sambil merebut-rebut membuka rantai yang merentang sungai
itu, maka lalu terbuka. Maka segala penjajab-penjajab pun masuklah, ada
setengah tinggal dikuala.
Syahadan adapun Yang DiPertuan Kedah apabila Raja Haji
itu sudah masuk ke dalam negeri Kedah maka undurlah ia ke hulu Kedah, tetapi
banyak juga anak Raja-Rajanya tinggal disitu, maka tiada diberi oleh Raja Haji
cabulkan. Syahadan pada masa itu kapal Keling ada sebelas buah didalam
pelabuhan Kedah maka dapatlah semuanya. Maka negeri Kedah pun alahlah.
Syahadan adapun orang yang memberitahu ke Perak kepada
Sultan Salehuddin Selangor itu, maka apabila tiba dipersembahkannya lah surat
itu. Maka Sultan Salehuddin Selangor pun segeralah berangkat ke Kedah. Maka
serta tiba ke Kedah maka Kedah pun sudah alah. Maka Sultan Salehuddin Selangor pun
berjumpalah dengan paduka adinda-adinda itu maka musyawarah dengan
adinda-adinda sekelian serta anak Raja Raja Kedah, serta orang tuanya menyuruh
menyilakan Yang DiPertuan Kedah itu balik ke negerinya, kerana pekerjaan sudah
habis, tinggal lagi pula pekerjaan muafakat sahaja sama-sama Islam. Maka baliklah
Yang DiPertuan Kedah itu ke dalam Kedah semula. Maka diserahkan oleh Raja Haji
negeri Kedah itu semula kepada Yang DiPertuan Kedah serta dibuat perjanjian
sebagaimana jalan orang bersaudara sahaja. Kemudian duduklah Raja Haji di dalam
negeri Kedah makan minum bersuka-sukaan. Syahadan tiada berapa lamanya maka
Raja Haji pun keluar dari Kedah bersama paduka kekanda serta Suliwatang, maka
singgahlah ke Merbuk, serta paduka kekanda Sultan Salehuddin Selangor. Maka
tiada berapa hari belayar pula balik ke Selangor sekeliannya. Maka tetaplah
Raja Haji itu didalam negeri Selangor”.
(bersambung ke bahagian ke dua puluh lima...)