Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, February 13, 2016

Perbincangan Mengenai Penubuhkan Persatuan Melayu Bugis Singapura Pada 12 Februari 2016,

"Assalamualaikum wr wb...

Dengan Hormat dimaklumkan bahawa kami di Singapura sedang dalam proses untuk menubuhkan Persatuan Melayu Bugis Singapura, yang antara lain aktiviti nya ialah untuk memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara ini.

Perbincangan pertama telah diadakan pada 12 Februari 2016 di bilek Mesyuarat Taman Warisan Melayu (Istana Kampong Gelam Singapura) yang turut di hadiri oleh Pengurus Programmes Taman Warisan Melayu Singapura, Saudara Jamal Mohamad yang akan membantu didalam penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura ini serta untuk memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara ini nanti yang dirancangkan untuk diadakan di Taman Warisan Melayu Singapura pada pertengahan tahun depan.
Dengan ini kami ingin mengundang kepada orang orang Bugis-Melayu atau sesiapa yang berminat untuk menyertai kami didalam memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara ini boleh lah bersama sama kami, didalam acara pertunjukan serta persembahan pada pertengahan tahun depan di Singapura. Ianya dibuka kepada perkumpulan atau persaorangan sama ada yang berada di Singapura, Malaysia atau Indonesia.

Bagi warganegara Singapura yang berminat untuk menjadi Ahli Persatuan Melayu Bugis Singapura ini juga sangat di alu alukan.

Anggota Jawatankuasa sementara yang hadir pada perbincangan pertama bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura ialah:-
1. Raja Muhammad Khalid
2. Tengku Shawal
3. Raja Hamzah
4. Haslinna Jaaman
5. Nur Tauhid
6. Iszman

Semoga dengan sokongan, penyertaan dan doa daripada semua dapatlah kita melaksanakan dan mencapai matlamat bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura serta untuk memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara dengan sebaik baik nya... Aamiin...
Taman Warisan Melayu (Istana Kampong Gelam Singapura) di no. 85 Sultan Gate, Singapura.

Taman Warisan Melayu (Istana Kampong Gelam Singapura) di no. 85 Sultan Gate, Singapura.

Anggota Jawatankuasa sementara yang hadir pada perbincangan pertama bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura ialah:-
(Dari Kiri Ke Kanan)
1. Raja Muhammad Khalid
2. Tengku Shawal Tengku Aziz
3. Haslinna Jaaman
4. Jamal Mohamad - Pengurus Programmes Taman Warisan Melayu Singapura,
5. Tauhid Muhd
6. Raja Hamzah- Prince Hamzah Bugiz
7. Iszman

Anggota Jawatankuasa sementara sedang membincangan usaha usaha bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura.

Anggota Jawatankuasa sementara sedang membincangan usaha usaha bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura.

22. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh dua...

22. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh dua...

Senarai Peperangan Bugis-Minangkabau Dan Pertabalan Sultan Selangor Yang Pertama


Apabila telah selesai peperangan diantara angkatan perang Raja Ismail putera Almarhum Sultan Mahmud serta adindanya Raja Abdullah dari Siak dengan angkatan perang Riau pimpinan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Singapura pada tahun 1764 itu, maka tiada lagi berlaku peperangan diantara Siak dengan Riau seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis tulisan Raja Ali Haji seperti berikut:-

“Apabila selesai daripada perang Singapura itu maka tiadalah lagi datang pihak Siak membuat pergaduhan lagi, hingga masa membuat siarah ini. Syahadan aku aturkan banyaknya kali berperang Raja Kecik Siak dengan Opu Opu Raja Bugis yang menjadi Yang DiPertuan Muda didalam Riau hingga sampai kepada anak cucunya. Inilah bilangannya yang tersebut dibawah ini.

Perang yang pertama:
Tatkala masa Opu-Opu yang lima beradik mengambil Riau daripada tangan Raja Kecik, diserahkannya Riau dengan segala takluk daerahnya kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada Hijrat sanat 1134 (tahun 1722).

Perang yang kedua:
Tatkala Raja Kecik alah perang di Riau lalu ia lari ke Lingga, maka lalu diikuti oleh Bugis-Bugis sampai ke Lingga lalu berperang. Maka Raja Kecik pun alah lalulah ia balik ke Riau semula, Opu Opu telah ke Selangor.

Perang yang ketiga:
Perang Linggi tatkala Raja Kecik membantu Penghulu Linggi berperang dengan Opu Opu Raja Bugis itu. Maka Raja Kecik pun alah pula ia selalu ia pergi ke Siak membuat negeri di Buantan, serta berkukuh disitu.

Perang yang keempat:
Perang Opu Opu itu pergi melanggar negeri Siak, sebab (alat alat kebesaran) Kerajaan Sultan Sulaiman diambil Raja Kecik . Maka didalam perang itupun alah jua Raja Kecik. Maka pulanglah (alat alat kebesaran) Kerajaan Johor itu kepada Sultan Sulaiman, kerana sebab pertolongan Opu-Opu yang lima beradik itu dapat semula (alat alat kebesaran) Kerajaan Raja Johor itu. Syahadan jadilah setahun itu empat kali perang Opu-Opu itu, serta lalu Opu-Opu itu merajakan Raja Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman, dan Opu Kelana Jaya Putera (Opu Daeng Merewah) pun menjadi Yang DiPertuan Muda masa itu.

Perang yang kelima:
Perang didalam negeri Kedah dengan Raja Kecik, bukannya perang yang pertama, iaitu membantu Raja Kedah lalu melantik Raja Kedah yang tuanya, maka iaitu bukannya perang dengan Raja Kecik. Adapun perang dengan Raja Kecik yang kedua kalinya di dalam negeri Kedah tatkala itulah mangkat Opu Daeng Parani. Maka Raja Kecik pun alah juga lalu balik ke Siak, pada Hijrat seribu seratus tiga puluh enam, sanat 1136 (tahun 1724).

Perang yang keenam:
Perang Raja Kecik melanggar negeri Riau pada Sembilan lekur bulan Syabaan, hingga sampai kepada dua puluh hari bulan Zulhijjah. Maka lalu berdamai. Kemudian Raja Kecik datang mengambil isterinya lalu bersumpah di masjid.

Perang yang ketujuh:
Perang Raja Kecik melanggar Riau berkubu di Pulau Bayan. Maka Raja Kecik pun alah juga lari ia pada malam harinya. Adalah lama perangnya itu, iaitu dua hari pada Hijrat tahun Jim sanat 1139 (tahun 1726).
Syahadan segala perang yang tersebut itu, iaitu masa lagi hidup Opu Kelana Jaya Putera Yang DiPertuan Muda yang pertama didalam Riau, lepas daripada itu, perang masa Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pula.

Perang yang kedelapan:
Perang Raja Kecik melanggar Riau berlabuh di Penyengat tiada boleh masuk, berperang pada tujuh belas haribulan Safar. Maka pada malam Khamis, Raja Kecik alah maka lalu lari diikuti sampai ke Ungaran, pada tahun 1150 (tahun 1737).

Perang yang kesembilan:
Perang Raja Kecik menyuruh anaknya Raja Alam dan Daeng Matekkuh dan Raja Emas melanggar negeri Riau membuat wangkang kota berjalan, berperang pada lima belas haribulan Rabiul Awal. Maka apabila kepada delapan haribulan Rabiul Akhir maka Raja Alam pun alah lah, lalu lari ke Siak, sanat 1161 (tahun 1748).

Perang yang kesepuluh:
Perang cucu Raja Kecik , iaitu Raja Ismail, dengan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Singapura (pada tahun 1764). Maka alah Raja Ismail. Maka perang ini tiada dapat tarikhnya, melainkan siapa-siapa yang dibelakang akulah pula memperbuatnya.

Syahadan adapun Daeng Kemboja Yang DiPertuan Muda Riau, apabila selesailah daripada perang selat, amanlah Riau duduklah dengan kesentosaan dengan beberapa masa.

Syahadan kata sahibul hikayat pada satu masa Raja Haji Engku Kelana pun pergilah ke Selangor. Maka bicaralah dengan paduka kekanda Raja Selangor mendudukkan paduka anakanda Raja Ali, putera kekanda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja, dengan anak paduka kekanda baginda yang bernama Raja Penuh. Maka dinikahkanlah betapa adat istiadat anak Raja Raja nikah kahwin. Kemudian berdamailah keduanya.
Syahadan tiada berapa lamanya didalam Selangor maka Raja Haji pun berangkatlah ke Riau bersama paduka kekanda Raja Selangor serta paduka anakanda Raja Ibrahim putera kekanda Raja Selangor. Maka apabila sampai ke Riau, maka Raja Haji pun muafakatlah dengan Yang DiPertuan Muda pada pekerjaan hendak menikahkan Raja Ibrahim itu dengan Raja Andak puteri Yang DiPertuan Muda. Maka apabila sampai waktu yang baik, nikahlah Raja Ibrahim itu, betapa adat Raja Raja nikah kahwin. Maka berdamailah keduanya. Kemudian Raja Selangor pun belayarlah balik ke Selangor”.

Pada tahun 1770, Raja Haji telah pergi ke Selangor dan kemudiannya bersamasama dengan kekandanya Raja Lumu, Raja Selangor telah berangkat bermain main ke Pangkor. Apabila Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) mendengar khabar itu, lalu disuruhnya lah segala orang besar besarnya mempersilakan Raja Lumu, Raja Selangor dan Raja Haji masuk ke Perak kerana baginda mahu mengangkat Raja Lumu, Raja Selangor itu menjadi Yang DiPertuan Besar di Selangor. Apabila telah semua bersetuju akan muafakatnya, lalu Raja Lumu pun ditabalkan dengan penuh adat istiadat penabalan oleh Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah Yang DiPertuan Besar Selangor bergelar Sultan Salehuddin Shah.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh tiga...)

21. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh satu ...

21. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh satu ...

Ancaman Siak – Terengganu Terhadap Riau

Rancangan Raja Ismail putera Almarhum Sultan Mahmud Siak dengan Yang DiPertuan Terengganu yang hendak menyerang Riau itu akhirnya sampai ke pengetahuan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Riau. Lalu Yang DiPertuan Muda pun membuat penyelidikan didalam Riau untuk mengetahui sama ada pihak Raja Raja Melayu akan menyebelahi nya atau tidak, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Didalam beberapa hari maka didapatinya lah jikalau datang Raja Ismail adalah suku suku Melayu belot sebelah Raja Ismail. Serta didapatinya rahsia rahsia Raja Raja Melayu itu member surat kepada Raja Kecik Terengganu serta didapatinya pula rahsia Raja Tua pihak Bugis akan belot juga dan ialah yang akan membakar gedung ubat bedil Yang DiPertuan Muda itu. Serta dapatlah sah akan orang yang hendak diupahnya itu.

Maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah kepada adinda adinda dan anakanda anakanda sekelian. “Tiadalah lain lagi isi perutnya suku suku Melayu hingga dengki dan khianat akan kita semua anak anak Bugis dan tiada berguna sumpah setianya. Beberapa kali kita semua sudah beralah serta beberapa kali kita semua maafkan serta kita sabarkan. Masih juga ia memperbuat laku yang demikian itu jua atas kita semua anak Bugis. Jikalau begitu, yang sebenarnya dia semua hendak menolak kita semualah dari tanah Johor ini, dan masa Marhum Batangan dahulu sudah juga kita keluar dari Riau ini tinggallah dia semua dengan Marhum batangan, tiada juga ia semua puas masih lagi diperbuatnya fitnah di atas kita, sampai kita semua huru-hara hampir-hampir pergi dengan nyawa kita. Kemudian Marhum Batangan pula memanggil kita semua anak Bugis dipulangkan setia lama dengan muafakat dengan dia semua juga dan pekerjaan yang telah lalu memperbuat diatas kita semua. Maka tiada kita jadikan panjang kita sabarkan juga yang dia masih juga lagi hendak mencari kebinasaan kita juga, dengan berbagai bagai fitnah lepas satu perkara satu perkara pula. Jika demikian tiadalah aku boleh tahan lagi, hendak kita tinggalkan balik ke Bugis, bagaimanalah halnya anak cucu Marhum Batangan sudah menjadi anak cucu kita. Sementelahnya Sultan Mahmud ini lagi kecil sangat, jika dipicit picitnya sedikit sedikit seorang pun mati, dengan sebab inilah menjadi aku bertahan hendak tinggalkan Yang DiPertuan Besar. Didalam hal begitu susahku, tiada pada lagi kepada dia semua masih lagi hendak dihumbatnya nyawa (dibunuhnya) kita. Jikalau begitu sekali ini aku perbuatlah mana mana yang jadi kebajikan kepada aku, tiada aku hiraukan lagi dan tiada lagi aku pedulikan jika benci marahnya, aku perbuat juga seperti kehendakku”.

Syahadan apabila selesai Yang DiPertuan Muda bertitah, maka lalu ia menyuruh sebuah kakap ke Selangor memberitahu paduka adinda Raja Selangor, dan sebuah kakap pula pergi ke Inderagiri memberitahu Raja Haji Engku Kelana. Maka suruhan kedua itupun belayarlah. Syahadan apabila suruhan itu lepas belayar, maka Yang DiPertuan Muda pun memanggil Raja Tua. Maka apabila sampai Raja Tua kehadapan Yang DiPertuan Muda, maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah, “Cih! Raja Tua, sampai hatinya hendak memperbuat saya hapus dengan nyawa sekali. Pada perasaan hati saya, Raja Tua dengan saya sehabis habis kita berkelahi dan berbantah, sehingga antara kita berdua sajalah sama-sama anak Bugis ini, sekarang anak Bugis sudah jadi anak Melayu. Maka sekarang ini, dan pada hari ini, sudah putuslah harap saya kepada Raja Tua dan hilanglah percaya saya kepada Raja Tua. Tiadalah saya menaruh percaya sekali sekali waktu ini kepada Raja Tua”.

Syahadan apabila Raja Tua mendengar titah Yang DiPertuan Muda itu, maka berubahlah mukanya serta malunya. Maka ia pun terdiam sejurus. Kemudia jawabnya, “Jikalau sudah Yang DiPertuan Muda tiada percaya akan patik, biarlah patik keluar dari negeri ini”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Mana suka Raja Tua, saya menyuruh keluar tidak dan menahan pun tidak, akan tetapi pada waktu ini sekali sekali tiada saya menaruh percaya kepada Raja Tua”. Setelah Raja Tua mendengar titah itu mangkin bertambah tambahlah kecil hatinya, lalu bermohon balik. Apabila ia sampai kerumahnya, maka bersiaplah ia akan perahunya. Maka apabila sudah siap, maka ia pun turunlah ke perahunya membawa bondanya dan anak isterinya, lalu belayar ke Pelembang.

Syahadan apabila sudah Raja Tua itu belayar, maka Yang DiPertuan Muda pun berjumpalah dengan Datuk Bendahara, maka berkatalah Yang DiPertuan Muda kepada Datuk Bendahara, “Adapun saya berjumpa dengan Orang Kaya ini, saya hendak berkhabar dengan sebenar benarnya, jangan Orang Kaya kecil-kecil hati. Adapun saya dapat khabar Raja Ismail anak Raja Buang hendak melanggar Riau ini. Apalah ikhtiar kita?”. Setelah Datuk Bendahara mendengar perkataan itu, maka ia pun terdiam sejurus. Kemudian jawabnya, “Pekerjaan itu pulanglah kepada Raja Muda mana mana yang baiknya, yang saya ini mengikut saja”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu kata Orang Kaya, baiklah. Akan tetapi saya minta dua perkara, pertama kita kumpulkan anak isteri kita kedalam semuanya selama lama saya berperang dengan Raja Ismail itu, dan Orang Kaya tinggal menunggu negeri, seorang pun jangan diberi suku suku Melayu membantu saya. Biarlah saya dengan suku suku Bugis saja. Kedua, mana mana senjata-senjata yang besar-besar didalam Riau ini, saya hendak ambil semuanya hendak ditaruh satu tempat, iaitu di Pulau Bayan. Jangan Orang Kaya kecil-kecil hati, jikalau ada senjata-senjata yang didalam tangan sanak saudara Orang Kaya sekalipun saya ambil juga ini hari, jika dengan jalan jadi perselisihan sekalipun, saya lakukan juga pekerjaan saya ini, Insya Allah taala”.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun baliklah. Apabila tiba ke istananya, ia pun menyuruhkan putera puteranya mengambil segala senjata yang besar-besar kepada pihak suku suku Melayu dengan kerasnya. Maka dikumpulkannya di Pulau Bayan. Kemudian disuruhnya jaga kepada orang orang Bugis, serta dipesankannya sepeninggalan ia keluar berperang apabila siapa-siapa hendak mengambil senjata-senjata itu jangan diberi, dan jikalau dikerasi lawanlah beramuk amuk. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun menyuruh bersiap segala kelengkapannya, ada kira kira lima puluh buah penjajab yang menanggung meriam serta sedia ubat pelurunya serta orang orangnya. Maka segala penjajab-penjajab itu semuanya beraturlah di laut Pulau Bayan itu sekadar menantikan musuh melawannya sahaja.

Syahadan adapun Raja Raja suku-suku Melayu yang perempuannya berkumpullah didalam istana Marhum Batangan itu, maka berkirim suratlah ia kepada Raja Ismail di Singapura didalam surat katanya:
‘Janganlah paduka anakanda datang dahulu melanggar Riau waktu ini. Carilah saja bicara tipu supaya boleh masuk ke dalam Riau dahulu, kerana waktu ini bonda-bonda semua dikumpulkan oleh Raja Muda kepada satu rumah. Maka apabila satu-satu hal tentulah bonda-bonda semua dibakarnya dan dibunuhnya’.
Syahadan kata sahibul hikayat apabila Raja Ismail mendengar surat itu, maka susahlah hatinya, serta susah pula akan Yang DiPertuan Terengganu dan Yang DiPertuan Siak belum juga datang. Maka Raja Ismail pun hairanlah serta dengan susahnya.

Sebermula adapun suruhan Yang DiPertuan Muda ke Selangor itupun sampailah. Maka dipersembahkannyalah kepada Raja Selangor hal ehwal di dalam Riau. Maka Raja Selangor pun menyuruh akan Punggawa Opu Nasti itu ke Riau. Maka belayarlah Punggawa itu ke Riau. Maka apabila tiba ke Singapura bertemulah ia dengan kelengkapan Raja Ismail. Maka Raja Ismail pun menyuruh memanggil Punggawa itu. Maka Punggawa pun datanglah ke kenaikan Raja Ismai itu. Maka kata Raja Ismail, “Punggawa maklumkanlah kepada ayah saya Yang DiPertuan Muda Riau itu, saya ini hendak masuk ke Riau kerana hendak ziarah kepada makam Marhum Batangan. Janganlah ayah saya itu sangka-sangka hendak khianat, tiada saya hendak membuat khianat kepada ayah saya itu. Dan lagi dahulu sekali saya hendak datang ke Riau, titah ayah saya tiada boleh masuk, sebab ayah saya itu sudah berjanji dengan Gebernur Melaka, musuh Kompeni Holanda musuh ayah saya, tiadalah jadi saya masuk ini, sekali pula saya minta kepada ayah saya itu, jikalau ayah saya tiada juga memberi, tanda ayah saya itu tiada hendak beranak-buahkan saya dan hendak beranak-buahkan Holanda lah”.

Syahadan setelah Punggawa mendengar titah Raja Ismail itu maka sembahnya, “Baiklah, tuanku”. Maka titah Raja Ismail, “Baiklah Punggawa mudik ke Riau itu bersampan sahajalah, perahu besar tinggalkan disini. Jikalau Punggawa mudik dengan perahu besar, tentulah lambat tiba ke Riau itu”. Maka Punggawa itupun belayarlah ke Riau dengan bersampan.

Apabila tiba dipersembahkannyalah maksud Raja Ismail itu kepada Yang DiPertuan Muda. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Kami tiada percaya Punggawa perkataan Raja Siak itu, kerana kerap mungkir lagi penipu, selangkan datuknya Raja Kecik beberapa kali sudah bersumpah di dalam masjid lagikan mungkir juga. Ini pula cucunya. Didalam pada itu baik Punggawa pergi semula bersama sama Daeng Madik dan Bandar Amin ke Singapura minta sumpahnya dahulu”.

Maka belayarlah Punggawa itu bersama sama Daeng Madik dan Bandar Amin. Apabila tiba ke Singapura, dipermaklumkannyalah seperti maksud Yang DiPertuan Muda itu. Maka titah Raja Ismail, “Baik Punggawa sekali lagi sembahkanlah kepada ayah saya itu bersumpah berAllah pun biarlah saya dihadapan ayah saya disana”. Setelah Punggawa mendengar titah Raja Ismail itu terdiam sejurus. Kemudian sembahnya, “Baiklah, tuanku”. Maka titah Raja Ismail, “Bersampan jugalah mudik ke Riau itu dan siapa siapa kepercayaan wakilkanlah menunggu perahu besar itu. Janganlah Punggawa khauatir- khauatir tiada saya hendak membuat pekerjaan yang tiada patut”. Maka sembah Punggawa, “Bandar Amin lah yang tinggal”. Maka Punggawa pun belayarlah bersama sama Daeng Madik ke Riau.

Syahadan apabila sudah ke Riau lah Punggawa itu maka Raja Ismail pun musyawarahlah dengan saudaranya Raja Abdullah. Maka Raja Abdullah pun berdatang sembah, “Baiklah kita serbu saja malam-malam ke dalam Riau itu, kita amuk saja kerana Bugis itu tentu tiada menyangka kerana kita lagi di dalam bicara”. Maka titah Raja Ismail, “Apabila kita belayar dari sini, tentu Bandar Amin itu mengikut”. Maka jawab Raja Abdullah, “Jikalau begitu baiklah Bandar Amin itu kita selesaikan dahulu”.

Maka Raja Abdullah pun menyuruh panggil Bandar Amin itu ke kenaikannya. Maka Bandar Amin pun datang, serta duduk baharu hendak menyembah. Maka Raja Abdullah pun menagkap. Maka apabila Bandar Amin merasa dirinya tertangkap maka ia pun berteriakkan budak sampannya, katanya, ”Pergilah engkau kepada Raja Negara minta sampaikan ke Riau hal aku ini”, serta dilemparkannya cincinnya kepada budak itu. Maka budak itupun berkayuhlah ke Riau. Adapun Bandar Amin dibawa oleh Raja Abdullah ke haluan kanaikannya itu, lalu dikeratnya kepalanya digantungnya di juang-juang (diburitan kapal) kenaikkan itu.
Syahadan adapun perahu-perahu Punggawa apabila ia melihat hal itu, maka ia pun mengisi meriamnya. Maka lalulah berbedil-bedilan legum-legam. Maka dikerumuni oleh beberapa kelengkapan Siak, maka Bugis-Bugis pun mengamuklah dengan pemburasnya. Maka perahu-perahu Bugis pun dapatlah oleh kelengkapan Siak.
Syahadan budak Bandar Amin pun tiba di Riau lalu memaklumkannyalah hal itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun sangatlah marahnya, maka lalu disuruhnya puteranya Raja Abdul Samad dan Raja Andut dan lainnya melanggar Raja Ismail. Maka pergilah putera-putera Yang DiPertuan Muda itu dan Yang DiPertuan Muda mengikut dari belakang.

Adapun Raja Andut dan Raja Abdul Samad apabila tiba ke Singapura maka lalu berperang dengan Raja Ismail, sangatlah azamat bunyinya. Maka seketika berperang itu, maka kelengkapan Siak pun undurlah ke Tanah Merah. Maka Yang DiPertuan Muda pun tiba pula ke selat lalu dipintasnya ke Tanah Merah. Maka apabila berjumpa kedua pihak itu, lalulah berperang besar pula. Maka Bugis pun turun ke sampannya membawa pemburas dan terakulnya. Maka dirapatnya dibedilnya sebelah peminggang kelengkapan Siak seperti bunyi bertih, bunyi senapang dan pemburas itu. Maka banyaklah kelengkapan Siak binasa dan tenggelam. Maka lalu ia undur berpecah-belah kesana ke mari dan kenaikan Yang DiPertuan Raja Ismail pun patah tiangnya, lalulah undur, hendak diikut oleh panglima-panglimanya orang Bugis-Bugis itu, maka dilarang oleh Yang DiPertuan Muda.

Adapun perahu Raja Abdullah pun terkepung, lalu dibedil Bugis dengan meriam dan dua orang panglima Raja Abdullah yang berani didalam perahu itu, seorang bernama Kadim, dan seorang bernama Tala. Maka Bugis pun merapatkan perahunya dengan perahu Raja Abdullah itu, sambil dibedilnya dengan meriam dan senapang pemburasnya. Maka Panglima Kadim pun kena peluru penabur meriam, patah sebelah pahanya. Syahadan seketika itu kakap penyuruhan Raja Ismail mengambil Raja Abdullah. Maka hendak dibedil oleh Bugis, dilarang pula oleh Yang DiPertuan Muda, titahnya, “Biarlah Raja Abdullah lepas kerana segala Raja Raja itu sedaulat. Apa boleh buat jika kena didalam peperangan?”. Adapun Raja Abdullah tiada mau undur, maka lalu ditangkap dipeluk oleh Raja Negara dengan Raja Helang dibawanya turun ke kakap panjang itu lalu berdayung mendapatkan kenaikan Raja Ismail. Syahadan pada ketika ia di bawa turun kakap itu, maka dibukakan pending emas daripada pinggangnya lalu dicampakkannya, katanya tanda perahu Raja.

Syahadan apabila Raja Abdullah itu lepas, maka panglima Bugis pun naiklah ke perahu Raja Abdullah itu serta tiba lalulah bertikam dengan Panglima Tala dan Panglima Kadim. Maka tertangkaplah keduanya itu oleh Bugis. Maka titah Yang DiPertuan Muda menyuruh tendas kedua panglima itu, suruh gantung dibawah juang-juang sebagaimana Raja Abdullah memperbuat Bandar Amin, begitu juga diperbuat.

Syahadan alah Raja Ismail, maka larilah ia balik ke Siak. Maka tiada pula diterima oleh Yang DiPertuan Muhammad Ali akan Raja Ismail itu masuk ke Siak kerana ia telah berjanji dengan Kompeni Holanda tiada boleh menerima musuhnya masuk ke Siak.

Syahadan Raja Ismail pun merayaulah ke sana ke mari hendak mencari kekuatan, niatnya hendak mengambil negeri Siak dari tangan saudaranya Raja Muhammad Ali itu.

Kemudian Raja Ismail pun belayarlah ke Pelembang, maka tetaplah ia di Pelembang di pelihara oleh Sultan Pelembang serta ditolongnya belanja-belanja mana-mana kadarnya adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh dua...)


Projek "Malay Nations Culture Park And Business Space" di Trikora Beach, Bintan Island - Indonesia (2016)

Para pelabur asing dan tempatan di jemput untuk mengambil bahagian didalam pembangunan projek "Malay Nations Culture Park And Business Space" di Trikora Beach, Bintan Island - Indonesia (2016). Bagi yang berminat, sila hubungi saya.

Foreign and local investors are invited to get involved in the development of the Malay Nations Culture Park And Business Space project at Trikora Beach, Bintan Island - Indonesia (2016). Interested parties, please contact me.


























20. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh ...

20. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh ...

Kegiatan Kegiatan Raja Alam Dari Siak

Pada tahun 1760, Sultan Mahmud yang menjadi Sultan Siak setelah menggalahkan kekandanya Raja Alam didalam peperangan pada tahun 1755 dahulu, telah mulai gering seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebut perkataan Sultan Mahmud di dalam negeri Siak. Maka adalah kira kira enam tahun ia didalam kerajaan yang tetap, maka ia pun geringlah. Maka beberapa diubatkan oleh orang orang besarnya tiada juga sembuh. Maka ia pun tahulah akan habis umurnya, maka ia pun memanggil segala orang besar besarnya serta paduka anakanda baginda Raja Ismail seraya ia berpesan kepada segala menteri menterinya, anakandanya Raja Ismail itulah gantinya.

Syahadan apabila sudah ia berpesan itu maka Sultan Mahmud itupun mangkatlah. Maka dimakamkan oleh segala menteri menterinya betapa adat Raja Raja besar mangkat didalam Mampura. Maka anaknya yang bernama Raja Ismail itu menggantikan Kerajaannya.

Syahadan kata sahibul hikayat, ada kira kira tiga tahun lepas menjadi Raja, maka datanglah ayah saudaranya Raja Alam yang diam di Batu Bahara. Sebermula apabila Raja Alam mendengar khabar saudaranya Raja Mahmud itu sudah mangkat, dan menggantikan Kerajaannya anak saudaranya Raja Ismail, dan anaknya Raja Muhammad Ali menjadi Raja Muda, maka ia pun bersiaplah akan kelengkapan perangnya ada lima belas buah.

Setelah itu maka pergilah ia ke Melaka berjumpa Gebernur Melaka. Maka berkhabarlah Gebernur Melaka itu kepada Raja Alam, “Sekarang kita dapat perintah dari Betawi itu negeri Siak patut dipukul dan barangsiapa hendak menjadi Raja di Siak ini ketika boleh kita tolong akan tetapi mau janji dengan Gebernur dahulu, jangan lagi perkerjaan rompak itu”.

Syahadan maka Raja Alam pun sungguhlah memegang perjanjian itu. Maka Holanda pun menyuruhkan satu kapal perang dan tiga buah keci perang. Adapun Raja Alam lima belas buah penjajabnya. Maka pergilah kedua angkatan itu melanggar Siak.

Apabila tiba maka orang orang Siak pun sudah siaplah memang. Maka dikeluari oleh Yang DiPertuan Besar Raja Ismail serta Yang DiPertuan Mudanya, iaitu anak Raja Alam itu jua, Yang bernama Raja Muhammad Ali. Maka apabila bertemulah penjajab dengan kapal perang itu, maka berperanglah kedua pihak berbedil bedilan. Hatta sekira kira enam belas hari, maka banyaklah kelengkapan Siak itu rosak hingga kenaikkan Raja Ismail pun tenggelam dan segala batangan dan jojol pun habis dicabut oleh Holanda. Maka larilah Yang DiPertuan Raja Ismail itu kedarat kedalam kubunya. Maka dilanggar pula oleh Holanda kubu itu dinaikkanya dengan baris serdadu. Maka Yang DiPertuan Raja Ismail pun larilah serta saudara saudaranya menuju ke sebelah Riau. Adapun Yang DiPertuan Muda Raja Muhammad Ali, tiadalah lari kerana ayahandanya Raja Alam bersama sama Holanda.

Syahadan alahlah negeri Siak itu. Maka Raja Alam lah pula menjadi Raja Yang DiPertuan Besar Siak. Adapun anaknya Raja Muhammad Ali itu menjadi Yang DiPertuan Muda juga ia.

Sebermula adapun Raja Ismail itu belayarlah ia ke Siantan. Maka lalu diberinya orang orang Siantan dengan keluar wang dan harta jadi persembahan kepadanya. Kemudian muafakatlah ia dengan orang orang Siantan itu hendak melanggar Pantai Emas namanya, dekat Kembuja, sebab ada orang Minangkabau kira kira lima ratus orang diam di tempat itu sudah memberi surat kepadanya, “Jikalau Yang DiPertuan Raja Ismail melanggar Pantai Emas ia semua belot”. Maka Yang DiPertuan Raja Ismail pun bersiaplah ada kira kira seratus penjajab didalam Pulau Tujuh itu.

Adapun saudaranya Tengku Busu disuruhnya ke Terengganu meminang anak Raja Terengganu. Maka diterimalah oleh Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu dan Tengku Busu itupun baliklah ke Siantan. Maka duduklah Raja Ismail itu, menantikan lepas angin besar saja hendak melanggar Pantai Emas itu juga kehendaknya adanya.

Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja di dalam negeri Riau. Maka tiadalah lain pekerjaanya melainkan membesarkan perniagaan. Maka datanglah beberapa perahu dagang dari jauh jauh, dari Benggal dan dari China, datang pula wakang wakang kepala hijau dan kepala merah berpuluh puluh buah, dan dari Siam, apa lagi perahu perahu Bugis dan Jawa berasak asaklah didalam Sungai Riau dari kuala sampai ke Kampung Cina. Maka berpalulah (bertukar tukar barang) dagangan Cina dengan dagangan Jawa, demikian lagi berpalu dagangan Jawa dengan dagangan Riau, seperti gambir dan saudagar saudagar Cina dan Bugis pun banyaklah kaya kaya didalam negeri. Adapun Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja selalulah ia menyuruh pulang pergi ke Melaka kerana waktu itu sudah berdamai dan bersahabat antara Yang DiPertuan Muda dengan Holanda, dan di dalam Riau pun beraturlah orang besar besarnya dari Syahbandar dan mata mata melayani segala dagang dagang itu serta memeliharakan orang orang dagang, dan penjajab beratus ratus buah yang sedia dan ubat bedil pun membuat sendiri berkoyan koyan demikian juga dengan pelurunya.

Sebermula adapun Raja Haji Engku Kelana tiadalah ia tetap amat didalam negeri Riau. Adalah selalu belayar memeriksa segala negeri negeri dan teluk rantau.

Syahadan tetaplah Riau itu didalam aman. Maka suku suku pihak Melayu berbuat pula honar yang memberi kegeruhan atas negeri Riau, kepada pihak Yang DiPertuan Muda serta anak anak Bugis. Iaitu Temenggung serta Bendahara serta suku suku Melayu membuat pula satu surat ke Terengganu kepada Raja Terengganu, demikian bunyinya di didapatkan didalam siarah Siak:

Telah selesai daripada puji pujian, “amma baaduhu, kemudian daripada itu maka adalah paduka nenda serta paduka bonda bonda maklumkan kepada cunda, adalah bonda bonda semua di dalam negri Riau hendak dibinasakan oleh Bugis Bugis hendak dibunuhnya dan hendak dipupusnya sekali mana mana suku suku kita semua kaum Melayu. Adapun paduka adinda Sultan Mahmud sangatlah kecilnya, siapalah paduka bonda bonda semua tempat mengadukan hal? Syahadan jikalau paduka anakanda lagi mengaku kaum kerabat segeralah datang ke Riau”.

Syahadan kata sahibul hikayat adalah surat yang serupa bunyinya itu tiga pucuk, ke Terengganu satu, dan ke Pahang satu dan ke Tembelan ke Yang DiPertuan Raja Ismail satu. Syahadan apabila Yang DiPertuan Terengganu mendengar surat dari Riau itu, maka Raja Kecik Terengganu pun memberi surat ke Pahang dan ke Tembelan. Setelah Raja Ismail mendengar surat dari Terengganu itu, maka ia pun tiadalah jadi pergi ke Pantai Emas. Maka ia pun membalaslah surat Yang DiPertuan Terengganu mengatakan yang ia bersertalah suratnya, yang ke Pahang pun demikian juga. Kemudian Raja Ismail pun menyuruhlah ke Pulau Tujuh minta keluarkan perahu perahu dengan alat senjatanya, tiap tiap satu pulau itu dengan segeranya. Kemudian berkirim surat pula ia ke Terengganu kepada Yang DiPertuan Raja Kecik mengatakan, “Silakanlah paduka ayahanda segera berangkat. Adalah paduka anakanda menanti di Singapura”. Maka Raja Ismail pun belayarlah ke Singapura. Maka rakyat Singapura pun diperintahnyalah dengan kerasnya dengan dipaksanya sebelah dia, serta disuruhnya menyiapkan perahu perahu dan sampan sampan. Kemudian berkirim surat pula ia kepada paduka ayahandanya Raja Alam di Siak dan kepada paduka kekanda Yang DiPertuan Muda Raja Muhammad Ali. Adapun madzum yang terkandung didalam surat mengatakan, “Paduka adinda minta bantu melanggar Riau dan jikalau hilang paduka ayahanda, paduka kekandalah menjadi Raja. Adapun adinda biarlah menjadi Raja didalam laut saja”.

Syahadan apabila surat itu sampai, maka dengan takdir Allah taala, maka Raja Alam pun mangkatlah. Maka dikuburkan betapa adat Raja Raja mangkat. Maka Yang DiPertuan Raja Muhammad Ali pun membalas surat kepada paduka adinda baginda itu katanya, “Kekanda bantulah dengan perahu dua puluh buah perahu, dan apa apa yang kurang adalah kekanda bantu”. Demikianlah adanya. Syahadan apabila Yang DiPertuan Raja Ismail mendengar khabar itu maka percayalah ia.

Kemudian belayarlah ia ke Terengganu pula, muafakat mengajak Yang DiPertuan Terengganu segera melanggar Riau. Maka jawab Yang DiPertuan Terengganu, “Silalah anakanda pergi dahulu, ayahanda adalah dibelakang”. Maka Raja Ismail pun belayarlah ke Singapura kira kira enam puluh buah kelengkapannya. Maka duduklah ia beberapa lama menantikan Raja Terengganu”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh satu...)