19. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2
Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke
tahun 1911... Bahagian ke sembilan belas...
Belanda Menuntut Gantirugi Perang
Pada tahun 1761, apabila Gebernur Belanda di Melaka mendengar negeri
Riau sudah makmur maka dia pun menghantar satu kapal perangnya ke Riau
untuk menuntut wang pembayaran gantirugi perang yang telah dipersetujui
oleh almarhum Sultan Sulaiman dahulu. Kapal perang Belanda itu pun
belayarlah ke Riau seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis
seperti berikut:-
“Maka apabila tiba di Riau ditunggunya
(dituntutnya hutang) kepada Sultan Ahmad yang lagi belum remaja putera
itu. Maka kesusahanlah Bendahara semua. Maka lalu Bendahara serta suku
Melayu semuanya mendapatkan Yang DiPertuan Muda Daeng Komboja.
Maka Kapitan kapal pergi pula mendapatkan Datuk Bendahara semua di
tengah istana Yang DiPertuan Muda. Maka ditunggulah pula di situ pada
hadapan orang orang ramai itu. Maka titah Yang DiPertuan Muda kepada
Kapitan Kapal itu, “Jikalau sudah terbit wang Kompeni melanggar kita
itu, wang belanja belanja kita melawan Kompeni di Linggi, dan belanja
kita melanggar Kompeni di Melaka, siapa pula kita tunggu (tuntut)”. Maka
Kapitan itupun tersenyum, seraya katanya, “Betul Tuan Raja Muda punya
perkataan”. Syahadan maka Datuk Bendahara pun tertunduklah. Kemudian
bertitah Yang DiPertuan Muda kepada Datuk Bendahara serta suku Melayu,
“Apalah bicara kita sekelian?”. Maka jawab Datuk Bendahara, “Apalah yang
saya semua hendak bayarkan, maka segala pekerjaan itu pulanglah kepada
Raja Muda”. Maka titah Yang DiPertuan Muda, “Sungguh sungguh Bendahara
tiada terdaya lagi dan tiada terhelahkan lagi?”. Maka jawab Bendahara,
“Sungguhlah Raja Muda”. Maka Kapitan kapal itu pun tertawa seraja
katanya, “Jikalau sudah Tuan Bendahara dan lainnya, tiada dapat lagi
membayarnya, baiklah anak Raja dua orang itu serahkan kepada kita”.
Syahadan apabila Datuk Bendahara mendengar kata Kapitan kapal itu,
kesesakanlah ia, sebab tiada dapat tempat hendak musyawarah lagi dan
Raja Kecik Terengganu pun sudah balik ke Terengganu, kerana ia punya
honar sampai jadi demikian itu. Maka berkata pula Bendahara kepada Yang
DiPertuan Muda, “Allah! Allah! Janganlah abang kenangkan saya semua ini,
melainkan abang pandang sajalah kepada intan gemala kita, yang piatu
itu daripada waris amanah pertaruhan Marhum kepada abang serta saya
semua ini. Adapun Johor dan Riau serta segala takluk daerahnya
dipulangkan kepada abang dan abanglah memerintahnya serta kaum abang
selama lamanya dengan muafakat serta tulis ikhlas, relalah saya semuanya
kepada abang adik beradik, anak beranak”.
Syahadan apabila Yang
DiPertuan Muda mendengar kata Datuk Bendahara dan sekelian Raja Raja
Melayu itu, maka titah Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu kata
Orang Kaya semua, Insya Allah Taala, sayalah yang membayarnya hutang
Marhum itu. Jalan saya tergadai kain di pinggang sekalipun, relalah saya
adik beradik, anak beranak terjual kepala dengan sebab mengenangkan
intan gemala yang dua butir itu”. Kemudian bertitah pula Yang DiPertuan
Muda kepada Kapitan kapal itu, “Adapun dari hutang hutang Marhum itu
kitalah membayarnya dan kita minta tempoh tiga bulan ke empat. Maka
apabila sampai tiga bulan keempatnya, maka datanglah terima ke Riau
ini”. Maka Kapitan kapal pun lalu memberi selamat kepada Yang DiPertuan
Muda, maka lalulah ia turun ke kapalnya selalu (langsung) ke Melaka.
Syahadan adapun Yang DiPertuan Muda bertangguh itu adalah kata riwayat
orang tua tua. Ada konon satu orang putih Kapitan kapal, sahabat Yang
DiPertuan Muda itu, memang pada masa di Linggi Yang DiPertuan Muda
berniaga niaga timah timah dengan dia, jadi bersahabatlah tolong
menolong dengan Yang DiPertuan Muda itu pada pekerjaan berniaga niaga
itu. Maka apabila Yang DiPertuan Muda sudah pulang ke Riau semula, maka
datanglah ia mendapatkan Yang DiPertuan Muda itu ke Riau padahal
kapalnya itu ada membawa opium beribu ribu peti. Maka tatkala ia belayar
ke China, maka ditinggalkannya setengah kepada Yang DiPertuan Muda
minta dijualkan didalam Riau. Nanti apabila ia balik dari negeri China,
jika habis laku, diterimanya wangnya dan adalah pula keuntungan Yang
DiPertuan Muda didalam itu. Syahadan maka opium itulah diserahkan oleh
Yang DiPertuan Muda kepada segala perahu perahu Bugis dan perahu perahu
dagang yang mana mana orang yang sahabat handai Yang DiPertuan Muda itu.
Maka habislah opium itu konon, maka cukuplah akan membayar hutang
Marhum itu.
Syahadan apabila sampai tempoh tiga bulan ke
empatnya, maka datanglah Kapitan kapal itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun
mendapatkan Sultan Ahmad, kerana baginda itu diam di Kampung Bulang
serta mengumpulkan Bendahara dan Temenggung serta Raja Raja suku sebelah
Melayu. Maka berkumpulkan lah sekeliannya dihadapan Sultan Ahmad. Maka
pada ketika itu berbayarlah Yang DiPertuan Muda akan hutang Marhum itu
dihadapan Raja Raja dan orang besar besar. Maka adalah banyaknya tujuh
laksa tujuh ribu, tujuh ratus tujuh puluh (77,770) ringgit.
Syahadan apabila sudah berbayarlah hutang hutang itu maka Yang DiPertuan
Muda pun bertitah dengan air matanya, “Cih! Orang Kaya apa boleh buat?
Sudah jadi daging darah busuk hanyir pun apalah yang hendak dikata lagi?
Jikalau sekira kiranya tidak inilah ketikanya, saya menghalai- balaikan
negeri Riau ini. Cih! Sampai hatinya memperbuat saya semua anak anak
Bugis sekelian sampai sudah begini pula jadinya, seperti pantun orang
tua tua:
“Tinggi bukit Sukadana,
Tempat bertanam halia padi,
Sakitnya muda kena bencana,
Sebarang kerja tidak menjadi”.
Setelah Datuk Bendahara mendengar pantun Yang DiPertuan Muda itu, maka
ia pun tertunduklah, dan segala Raja Raja suku suku Melayu terdiamlah
semuanya.
Syahadan apabila selesai daripada membayar hutang itu
maka dengan takdir Allah Taala, maka Sultan Ahmad pun geringlah. Maka
tiada beberapa hari geringnya itu maka mangkat lah ia. Maka Yang
DiPertuan Muda serta Datuk Bendahara pun mengerjakanlah jenazah Sultan
Ahmad itu. Maka apabila selesai dimandikan dan dikapankan dan
disembahyangkan, maka dimakamkanlah betapa adat Raja yang besar besar
mangkat.
Maka apabila selesai daripada mengkuburkan Sultan Ahmad
itu, maka musyawarahlah Yang DiPertuan Muda serta Datuk Bendahara serta
suku suku sebelah Melayu dan suku Bugis akan ganti Marhum Sultan Ahmad
itu. Syahadan adapun sebelah suku suku Melayu dipilihnya saudara saudara
Marhum DiBaruh, seperti Tengku Abdul Kadir dan Tengku Othman dan Tengku
Buang. Adapun suku suku pihak Bugis adalah yang dipilihnya anak yang
gaharalah, Raja Mahmud, putera Marhum DiBaruh dengan Tengku Putih. Maka
hal itu didalam bersalah salahanlah maksud antara kedua pihak. Maka
Datuk Bendahara pun mengajak Yang DiPertuan Muda sama sama memilih, sama
sama menunjuk dihadapan kedua dua pihak. Maka jawab Yang DiPertuan
Muda, “Baiklah esok hari berkumpullah kita”.
Syahadan Datuk
Bendahara pun mengumpulkanlah segala Raja Raja dan orang besar besar
suku Melayu, disuruhnya memakai kain lepas semuanya dan berpendawa
dengan alat senjata, seperti rupa rupa orang hendak bertikam atau
berperang. Syahadan segala khabar khabar dan perintah Bendahara itupun
sampailah kepada Yang DiPertuan Muda. Maka Yang DiPertuan Muda pun
panaslah hatinya seraya bertitah kepada Raja Haji, “Engku Kelana
daripada perbuatan Datuk Bendahara itu, baharu semalam umpamanya ia
berkata negeri Riau ini putih hitamnya terserahlah kepada kita. Pada
ketika Kapitan kapal menunggu hutang hari itu, ini sudah lain pula
tingkahlakunya seperti rupa rupa hendak mencari jalan perkelahian, bukan
jalan muafakat dan musyawarah memilih Raja, hanyalah seolah olah jalan
hendak menunjukkan laki lakinya jua”.
Maka sembah Raja Haji,
“Jikalau sudah fikiran Orang Kaya Bendahara itu, kita pun hendak juga
menunjukkan laki laki kita jua kepadanya”. Maka titah Yang DiPertuan
Muda, “Fikiran abang demikian jua. Baiklah beritahu Bendahara, baiklah
sediakan singgahsana memang dibalairung. Nanti apabila sudah tentu
pemilihan kita kedua pihak, kita naikkan sekalilah ke singgahsana,
selalulah kita menjunjung duli sekali”. Syahadan maka Raja haji pun
menyuruhlah kepada Datuk Bendahara, maka jawabnya, “Baiklah”.
Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun memberilah perintah kepada Bugis
Bugis itu alat pertikaman. Maka segala Raja Raja Bugis dan Bugis Bugis
jati pun bersiaplah semua seperti siap menghadapi musuh. Syahadan
apabila keesokkan harinya maka berkumpullah segala Raja Raja suku Melayu
serta berkain lepas dan berpendawa (berkeris) semuanya dan Bugis Bugis
dengan segala anak Rajanya pun datang berkumpul, dengan memakai seluar
sampak bertondera batung semuanya, berpendawa juga dengan kelewangannya
dan halamangnya. Maka duduklah berhadap hadapan.
Seketika lagi
maka Yang DiPertuan Muda berangkatlah naik ke istana lalu didukungnya
Raja Mahmud, dibawanya turun kebalai lalu diribanya diatas singgahsana.
Setelah anak Raja Raja Bugis melihat hal Yang DiPertuan Muda itu, maka
sekeliannya pun memegang hulu kerisnya. Maka Yang DiPertuan Muda pun
bertirah, ‘Barang tahu kiranya suku suku Melayu dan suku suku Bugis,
bahawa sesungguhnya inilah Raja Johor, dengan segala takluk daerahnya
yang diangkat oleh Bugis. Maka barangsiapa tiada membetuli aturan ini,
maka pada hari inilah kita berhabis habis”. Maka lalu ia menghunus
halamangnya.
Syahadan setelah Datuk Bendahara melihat hal yang
demikian itu, maka terbaliklah mukanya. Maka Datuk Bendahara pun
berfikir, “Jikalau tidak dibetulkan (dipersetujui) tentu rosak negeri
ini tiada faedahnya”. Maka ia pun bersabda katanya, “Jikalau sudah patut
pada abang semua Raja Mahmud ini menjadi Raja Johor, maka saya semua
pun sertalah”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu,
Alhamdulillah semua sama betul muafakat”. Maka lalu diajaknya antara
kedua pihak sama sama menjunjung duli. Maka menjunjung dulilah kedua
pihak. Kemudia baharu bersetia pula adanya”.
(bersambung ke bahagian ke dua puluh...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Sunday, January 24, 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)