Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Sunday, January 17, 2016
18. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke lapan belas...
Kemangkatan Sultan Sulaiman
Pada bulan ogos tahun 1760, tidak lama setelah anakanda Raja Abdul Jalil Raja Di Baruh berserta Raja Selangor dan Raja Haji belayarlah ke Pedas untuk menjemput Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja balik ke Riau, maka Sultan Sulaiman pun geringlah. Dalam pada itu juga, Tengku Putih (puteri Almarhum Opu Daeng Cellak), isteri kepada Raja DiBaruh pun melahirkan seorang putera dan dinamakan oleh baginda Raja Mahmud. Ada pun putera yang sulong yang bernama Raja Ahmad sudah besar juga, akan tetapi belum baligh lagi, masih kanak kanak.
Keadaan Sultan Sulaiman yang gering itu makin sehari makin bertambahlah geringnya seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka berkumpullah Datuk Bendahara serta segala orang orang besarnya masuk bertunggu ke dalam. Maka tiada berapa hari mangkatlah Sultan Sulaiman kembali ke rahmat Allah taala. Maka gemparlah orang orang Riau apa lagi di dalam istana, riuh rendahlah dengan ratap tangis raja raja itu yang laki laki dan perempuan, apa lagi segala orang besar besarnya.
Syahadan maka Datuk Bendahara pun memerintahkan akan jenazah baginda itu di tanam, dikuburkan betapa adat istiadat Raja yang besar besar dimakamkan, iaitu diusung ke kubur jenazah baginda di atas usuangan Raja DiRaja, serta jawatan bersama sama serta dian dan kain dukung enam belas serta nobat, dan dibentangkan podi jalan hingga ke kuburnya, dan berkabunglah sekelian orang orang hingga seratus hari. Maka beberapa pula Datuk Bendahara mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin, dan berkenduri tiga hari dan tujuh harinya, betapa adat istiadat Raja yang besar besar mangkat.
Syahadan apabila selesailah daripada dimakamkan itu, maka Datuk Bendahara pun menyuruh ke Selangor memberitahu Raja DiBaruh serta Yang DiPertuan Muda. Maka belayarlah suruhan itu. Maka tiada berapa lamanya sampailah ke Selangor, lalu mengadap Raja Selangor mempersembahkan surat itu, dan suruhan itu pun memakai kabung diatas kepalanya. Maka apabila Raja Selangor melihat suruhan itu memakai kabung maka ia pun terkejut.
Syahadan apabila Raja DiBaruh melihat surat daripada Datuk bendahara itu maka ia pun bertambah tambahlah geringnya. Maka didalam tiada beberapa hari maka Raja DiBaruh pun mangkatlah pula. Maka Raja Selangor pun menangislah lalu diperbuatkannya lah keranda. Maka dimasukkanlah kedalam keranda itu, maka dibawanya ke Pedas. Setelah Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja melihat keranda paduka adinda baginda itu datang, maka Yang DiPertuan Muda pun menangislah serta Raja Haji.
Syahadan maka Yang DiPertuan Muda serta Raja Haji dan segala perempuan perempuan pun belayarlah ke Riau serta membawa jenazah itu. Dalam satu rombongan yang besar yang mengandungi empat puluh lima buah perahu balik ke Riau. Maka sampailah ke Riau dan segala orang besar besar pun berterjunlah ke sampan masing masing berkayuh menuju kenaikan Yang DiPertuan Muda. Maka Bendahara serta Temenggung pun berjumpalah Yang DiPertuan Muda lalu bertangis tangisan masing masing dengan biji ratapnya. Maka dikuburkanlah keranda itu betapa adat Raja Raja besar berdekatan dengan paduka ayahanda Marhum Sulaiman Badrul Alam Syah.
Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun selalulah merajakan Raja Ahmad putera Marhum Raja DiBaruh. Adalah Raja Ahmad itu pada ketika itu adalah umurnya kira kira delapan tahun.
Syahadan adapun Tengku Putih apabila sudah mangkatlah paduka kekanda baginda itu Marhum Raja DiBaruh, maka dukacitalah ia. Maka tiadalah mau santap lagi, maka mudaratlah penyakitnya itu. Maka tiada berapa antaranya, telah mangkatlah Tengku Putih itu. Maka mangkin bertambah tambahlah dukacitanya Yang DiPertuan Muda itu, didalam Riau tiadalah berkeputusan orang berkabung.
Syahadan kata sahibul hikayat adalah baginda Sultan Ahmad itu tinggal di Kampung Bulang bersama sama pihak suku suku Melayu, akan tetapi pergi datang kepada ayahanda Yang DiPertuan Muda, kerana lagi kanak kanak. Ada pun Raja Mahmud ia bersama sama bonda saudaranya memeliharakan dia, iaitu Tengku Hitam dan Raja Aminah dan Raja Halimah adik beradik.
Syahadan maka tetaplah Yang DiPertuan Muda memerintahkan Riau itu. Maka negeri Riau pun ramailah dan segala dagang pun datanglah dari pihak barat dan timur. Maka amanlah Riau pada masa itu serta banyak mendapat hasil hasil. Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun membuatlah istana di Pangkalan Rama. Maka Raja Haji jadilah Kelana memerintahkan kerajaan dibawah Yang DiPertuan Muda serta membetulkan tokong pulau teluk rantau serta melihat segala Raja Raja dan Penghulu Penghulu didalam teluk rantau itu, siapa siapa yang betul dan siapa tiada betul. Maka ialah membetulkannya atau memerangi.
Syahadan maka Engku Kelana Raja Haji pun pergilah memeriksa sebelah Lingga. Maka diaturkannyalah segala kedudukan Megat Megat itu serta hasil makanannya, serta disuruhnya berbuat kelengkapan perang yang disediakan barang bila dikehendaki oleh Yang DiPertuan Muda pada ketika sakit sukarnya, hendaklah sedia. Maka mengerjakanlah segala Megat Megat itu akan titah perintah itu adanya.
Alkisah maka tersebut perkataan Sultan Jambi. Maka adalah baginda itu ada menaruh seorang anak perempuan yang baik parasnya. Maka didalam hal itu baginda hendak mencari anak Raja Raja didalam negeri Jambi itu akan jadi suami puterinya itu. Maka tiadalah sedap pada matanya. Maka adalah nama puterinya itu Tengku Ratu Emas. Syahadan setelah habislah ia berfikir maka lalu ia menyuruh ke Lingga menyilakan Engku Kelana Raja Haji itu bermain main ke Jambi. Maka Engku Kelana pun berangkatlah ke Jambi. Maka apabila tiba dipermuliakanlah oleh Sultan Jambi betapa adat istiadat Raja besar besar datang, dengan diberikannya istana satu. Maka tiada berapa harinya menyuruhlah Sultan itu kepada Raja Haji, jikalau suka, hendak diberinya beristeri. Maka Raja Haji pun relalah. Maka apabila sampai waktunya nikahlah Raja Haji dengan Tengku Ratu Emas itu betapa adat Raja Raja nikah kahwin. Maka berkasih kasihan lah ia laki isteri. Maka Sultan Jambi pun meletakkan gelaran Raja Haji itu dengan gelaran Kelana Pengeran Suta Wijaya. Maka segala orang orang pun menyebutlah nama itu didalam negeri Jambi serta takluk daerahnya. Syahadan tiada berapa lamanya, maka Kelana Pengeran Suta Wijaya pun bermohonlah kepada Sultan Jambi. Maka dilepaskanlah oleh Sultan Jambi lalu belayarlah ia keluar dari negeri Jambi adanya.
Alkisah maka tersebut perkataan anak Raja Minangkabau empat orang, seorang bernama Raja Bayang, kedua bernama Raja Hijau, ketiga bernama Raja Mastika, keempat Raja Lais. Syahadan adalah Raja Bayang itu meminang akan puteri Sultan Hasan, Sultan Inderagiri, bernama Raja Halimah. Maka tiada diterima oleh Sultan Hasan itu. Maka marahlah Raja Bayang itu. Maka keempat anak Raja itu pun pergilah melanggar Inderagiri. Maka berperanglah Sultan Hasan dengan keempat Raja itu. Maka tiada berapa hari berperang itu Sultan Hasan pun tewas, lalulah lari ke Gaong. Maka Inderagiri pun dapatlah oleh Raja berempat itu. Maka diperintahnyalah Inderagiri itu. Adapun Raja Bayang pergi ke Retih itu memerintah pula Retih itu.
Syahadan apabila Raja Haji Pengeran Suta Wijaya mendengar Inderagiri sudah rosak dan Retih sudah diperintah oleh Raja Bayang, maka ia pun sangatlah marahnya. Maka lalulah ia pergi melanggar Retih. Maka berperanglah Engku Kelana itu dengan Raja Bayang. Maka tewaslah Raja Bayang itu, lalu ia berundur ke Inderagiri. Maka diikuti oleh Engku Kelana ke Inderagiri, maka lalu berperanglah pula. Maka bantu dari Jambi pun datang pula, maka jadi besarlah perangnya itu, beramuk amuk dan berbunuh bunuhan sebelah menyebelah. Maka tiada berapa lamanya larilah Raja yang berempat tiada ketahuan membawa dirinya. Maka Inderagiri pun dapatlah oleh Engku Kelana. Kemudian pergilah Engku Kelana ke Gaong mengambil Sultan Inderagiri itu lalu dibawanya balik diserahkannya Inderagiri itu kepada Sultan Inderagiri semula dan termasuk Batin Enam Suku diambil oleh Kelana Pengeran Suta Wijaya itu, kerana Raja Bayang mengambil Inderagiri itu selalu diambilnya Tapukan itu sekali.
Syahadan apabila selesailah Engku Kelana itu mengambil Inderagiri dan Retih dan Batin Enam Suku, maka Sultan Hasan Inderagiri pun menikahkan Engku Kelana dengan puterinya yang bernama Raja Halimah itu, betapa adat Raja besar besar. Kemudian maka Kelana Pengeran Suta Wijaya pun berbuat negeri di Kuala Cenako, maka suruh menyuruhlah ke Riau.
Sebermula kata sahibul hikayat ada satu lebai Minangkabau mengakukan dirinya keramat dengan ilmunya dengan beberapa menyalahi adat konon, pada tempat yang namanya Danai. Banyaklah orang orang berguru kepadanya, mangkin sehari mangkin ramailah muridnya. Adalah ia mengaku dirinya Datuk Malaikat maka banyaklah orang orang Rantau berhimpun kepadanya. Maka akhir akhir pekerjaannya diperintahnyalah sekelian Rantau itu sampailah ke Karimun, Buru dan Ungar. Maka duduklah ia seperti kerajaan sendiri serta diperbuatnya beberapa kubu dan benteng akan melawan Riau.
Syahadan khabar itupun sampailah kepada Engku Kelana maka berangkatlah Engku Kelana dengan kelengkapan perangnya. Maka dilanggarnyalah segala teluk rantau Danai itu dengan perang beramuk amukkan, berbunuh bunuhan. Maka tiada beberapa hari berperang itu, maka dapatlah tertangkap Datuk Malaikat itu. Maka lalu didepang tangan nya serta diikat rantai, maka disuruh hantar ke Riau. Maka apabila sampai ke Riau, maka disuruh bunuh oleh Yang DiPertuan Muda. Maka matilah ia. Maka segala tempat tempat itu jadi milik kepada Engku Kelana diambil dengan perang sebagaimana keadaan Batin Enam Suku juga adanya. Kemudian tetaplah Kelana Pengeran Suta Wijaya itu didalam Riau. Maka apabila ia sampai ke dalam Riau maka tiadalah diberinya menyebut lagi nama Pengeran Suta Wijaya itu demikianlah halnya. Maka tetaplah ia dalam Riau dengan kemuliaannya”.
(bersambung ke bahagian ke sembilan belas...)
17. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke tujuh belas...
Raja Haji Pulang Ke Riau
Pada tahun 1753 setelah berhentinya perang selama sembilan bulan diantara angkatan perang pimpinan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja dengan angkatan perang Holanda di Melaka setelah kedua dua pehak setuju untuk berdamai, maka Yang DiPertuan Muda bersama sama Raja Rembau pun balik lah ke Linggi. Manakala Raja Alam balik ke Batu Bahara dan Raja Sa’id pun baliklah ke Selangor. Tidak lama setelah itu Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja pun pergi lah ke Selangor dan kemudiannya telah menikahkan puterinya yang bernama Raja Perak dengan Raja Haji seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Muda didalam Selangor. Maka apabila sudah selesai daripada menikahkan Raja Haji dengan puterinya yang bernama Raja Perak, maka tiada berepa antaranya maka Yang DiPertuan Muda pun kembali ke Pedas bersama sama Raja Selangor serta segala orang besarnya. Kemudian berangkat pula ke Melaka. Maka didudukkan oleh Gebernur pada satu rumah di Tengkera serta dipermuliakan nya dengan diperjamunya makan minum sehari hari, serta dengan permain mainan. Ada kira kira dua belas hari maka baharu bicara mengisahkan damai dan melahirkan muafakat, serta berbuat setia antara kompeni Holanda dengan Yang DiPertuan Muda serta segala Bugis. Bermula adalah jatuhnya pekerjaan ini pada Hijrat sanat 1166, pada seharibulan Ramadan (2hb Julai tahun 1753 Masihi).
Syahadan setelah selesai daripada pekerjaan damai itu, maka Yang DiPertuan Muda pun baliklah ke Pedas. Maka apabila sampai ke Pedas, Tunku Raja Selangor kembalilah ke Selangor serta Suliwatang dan segala orang tua tua yang banyak. Maka muafakatlah Raja Haji dengan Yang DiPertuan Muda serta segala orang besar besarnya. Adalah muafakatnya itu akan pergi ke Riau seolah olah pergi berbicara sumpah setia antara Bugis dengan Melayu. Maka bersatulah muafakat segala Raja Raja dan orang besar besarnya itu. Maka Raja Haji pun belayar dahulu ke Riau dengan kenaikan yang bernama ‘Bulang Linggi’ serta pengiringnya empat lima buah penjajab. Adapun Raja Selangor serta segala orang besar besarnya di belakang lah sedikit berangkatnya, kerana tengah bersiapkan segala penjajabnya, maka terdahulu Raja Haji ke Riau. Maka Raja Raja yang tinggal itupun bersungguh sungguh bersiapkan penjajab penjajab itu, maka tiada berapa hari siaplah semuanya.
Syahadan tersebutlah perkataan Sultan Sulaiman didalam Riau, yang duduk didalam percintaan sebab perbuatan Raja Kecik Terengganu itu dan negeri pun sudah rosak, beras pun mahal. Maka kesakitanlah segala orang miskin, rakyat rakyat pun banyaklah kelaparan.
Syahadan setelah baginda melihat hal yang demikian itu, maka baginda pun memanggil paduka anakanda Raja Di Baruh. Maka Raja DiBaruh pun mengadaplah paduka ayahanda baginda itu. Maka apabila berhadapan maka titah baginda, “Awang, baiklah engkau pergi ambilkan Raja Muda ke Linggi, kerana jangan kita dimakan sumpah setia. Seperkara lagi negeri kita inilah rupanya, padahal negeri cukup dengan Bendahara, Temenggung serta orang besar besarnya, maka negeri pun mangkin sehari mangkin rosak sebab perdagangan sudah mati, dikacau oleh Wan Dalam serta suku suku kita sebelah Melayu. Dan lagi niat hatiku, jika aku sudah berjumpa dengan Raja Muda jika aku mati pun, syukurlah aku minta jemah juga kepadanya dan aku hendak petaruhkan engkau semua kepadanya”.
Syahadan apabila Raja DiBaruh mendengar titah lalulah ia menyiapkan kelengkapannya. Apabila sudah mustaid maka berangkatlah ia, tiadalah anak Raja mengiringkan dia, hanyalah panglima panglima Melayu dan rakyat rakyat jua. Maka belayarlah ia jalan Ungar-Buru.
Syahadan adapun Raja Haji belayar itu tiadalah singgah singgah selalu ia ke Riau jalan Singapura. Maka berselisihlah perjalanannya itu dengan Raja DiBaruh sebab tiada berjumpa di laut. Maka apabila masuk ia ke dalam Riau, gemparlah suku suku sebelah Melayu menyangka nyangka Raja Haji datang itu hendak melanggar Riau. Maka Raja Raja Melayu serta panglima panglima Melayu ada setengah sangat hendak membedil Raja Haji itu. Maka tiadalah diindahkan oleh Raja Haji, dilayarkan juga ‘Bulang Linggi’ itu hingga sampai ke Batangan, bertentangan dengan istana Baginda itu baharulah dilabuhnya. Maka gaduhlah suku suku Melayu hendak membedil itu. Maka apabila Sultan Sulaiman mendengar hal itu, maka baginda pun sangatlah murkanya. Maka titah baginda, “Pergi tanya siapa bercakap cakap hendak membedil itu. Aku minta jalannya dan sebabnya. Jikalau tiada berbetulan jalannya kepada aku, nanti dialah yang patut dibedil, tiada lain isi perutnya itu dengki khianat dan dendam khusmat juga yang dipenuhkannya perutnya”. Maka lalu senyap segala suku suku Melayu menyebut nyebut pekerjaan bedil membedil itu.
Maka Raja Haji pun naik kedarat mengadap baginda. Apabila berjumpa dengan baginda itu maka titah baginda, “Apa kehendak Raja Haji datang ini?”. Maka sembah Raja Haji, “Tiada apa sebab, lama patik tiada mengadap, inilah patik datang mengadap”. Maka titah baginda, “Apa bicara Raja Haji sekarang ini?”. Maka sembah Raja Haji, “Tiada bicara apa kepada patik, melainkan kepada duli tuanku juga”. Maka titah baginda, “Adat yang mana hendak dipakai oleh Raja Haji, kerana adat ini ada dua. Satu adat Marhum di Sungai Baharu, dan satu adat Marhum Mangkat Di Kota. Yang mana yang hendak dipakai oleh Raja Haji?”. Maka sembah Raja Haji, “Adat Marhum di Sungai Baharu, itulah adat didalam sumpah setia”.
Syahadan apabila baginda mendengar sembah paduka anakanda Raja Haji itu, maka baginda pun menyuruh satu orang baik baik menjemput paduka anakanda Raja Di Baruh menyuruh segera balik ke Riau. Maka orang yang dititahkan itupun belayarlah dengan sebuah kakap berdayung dengan layar layarnya menuju jalan Ungar-Buru.
Syahadan sebermula adapun Raja Raja Selangor serta orang orang besarnya itupun belayarlah ia sampai ke Ungaran. Maka berjumpalah dengan angkatan Raja DiBaruh, Maka berhadapanlah penjajab orang orang Selangor dengan penjajab orang orang Riau. Maka didalam hal itu, suruhan dari baginda itupun tiba. Maka lalu memaklumkan kepada Raja DiBaruh, “Paduka ayahanda menyilakan masuk dahulu ke Riau berkampung kerana paduka adinda Raja Haji pun sudah ada di dalam Riau”. Setelah Raja DiBaruh mendengar sembah suruhan itu, maka titah Raja DiBaruh,”Pergilah memaklumkan kepada saudaraku Raja Selangor itu, katakan bersamalah kita masuk ke Riau”. Maka suruhan itupun pergilah ke pihak angkatan Raja Selangor lalu memaklumkan seperti titah Raja DiBaruh itu. Maka apabila Raja Selangor serta orang besar besarnya mendengar khabar suruhan itu maka lalulah ia memapas kajang lalulah belayar ke Riau beriring iring dengan kelengkapan Raja DiBaruh.
Maka apabila tiba didalam Riau, maka naiklah semuanya Raja Raja itu mengadap baginda itu. Maka Datuk Bendahara pun serta Temenggung dan Raja Indera Bungsu serta orang tua tua sekelian hadirlah semuanya antara kedua pehak itu. Kemudian maka Sultan Sulaiman pun bertitah demikian bunyinya:
“Barang tahu kiranya antara kedua pihak, sebelah suku suku Melayu dan sebelah suku suku Bugis, adalah kita menetapkan sumpah setia antara Bugis dengan Melayu, seperti setia Marhum Sungai Baharu, yang diperpegang hingga sampai anak cucu cicitnya. Barangsiapa mungkar seperti yang telah tersebut itu, dibinasakan Allah dan dikutukNya tiada selamat dunia akhirat”.
Setelah itu maka titah baginda, “Hari inilah kita serahkan perintah bicara, panjang pendeknya, kecil besarnya kepada Raja Muda”. Maka Bugis Bugis pun menerimalah. Maka titah baginda, “Baca doa”. Maka lalulah membaca doa. Maka habislah segala perkara Bugis dengan Melayu pulang sediakala. Setelah selesai daripada itu sekelian orang besar besar pun pulanglah kerumahnya.
Apapun Sultan Sulaiman pada esoknya itu, maka bertitahlah ia kepada Raja Selangor dan Raja Haji dan Raja DiBaruh, “Pergilah anakanda anakanda sekelian mengambil Raja Muda di Linggi”. Syahadan Raja yang bertiga itu pun belayarlah ke Pedas. Maka berjumpalah Raja Raja itu dengan Yang DiPertuan Muda lalu memaklumkan titah baginda menyuruh Raja Muda balik ke Riau. Maka jawabnya, “Baiklah”. Maka Raja DiBaruh pun minta ke Selangor dahulu bersama sama Raja Selangor. Maka apabila tiba di Selangor, tiada berapa harinya maka Raja DiBaruh pun geringlah demam. Maka Raja Selangor pun sangatlah susahnya melihat paduka adinda itu gering. Maka dipanggil segala dukun mengubatkannya dan segala orang besar besar Selangor pun berkumpullah siang malam didalam istana Yang DiPertuan Selangor itu demikianlah halnya selama lama Raja DiBaruh gering itu”.
(bersambung ke bahagian ke lapan belas...)
Subscribe to:
Posts (Atom)