26. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2
Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke
tahun 1911... Bahagian ke dua puluh enam...
Raja Haji Menjadi Yang DiPertuan Muda Riau
Pada tahun 1777 Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja telah mangkat di Riau
sewaktu Raja Haji Engku Kelana berada di Pontianak di Kalimantan
seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Alkisah maka tersebutlah perkataan baginda Sultan Mahmud di dalam
negeri Riau. Maka apabila telah mangkat paduka ayahanda Yang DiPertuan
Muda Daeng Kemboja, iaitu Marhum Janggut maka duduklah baginda itu
dengan kemasygulan. Adapun putera-putera Marhum Janggut ada juga
semuanya, maka baginda pun duduklah ternanti-nanti akan suruhan yang
pergi ke Pontianak itu, belum juga lagi datang. Maka baginda pun selalu
jugalah menyuruh rakyat rakyat melihat ke belakang Riau barangkali ada
tampak akan angkatan Raja Haji.
Syahadan di dalam hal yang
demikian itu, maka suruhan dari Pahang pun datanglah membawa surat dari
Datuk Bendahara mengatakan hal Raja Haji ada di dalam Pahang sudah
dilantik di Pahang oleh Datuk Bendahara (Tun Abdul Majid Ibni Bendahara
Tun Abbas). Setelah baginda mendengarkan paduka ayahanda Raja Haji telah
berada di Pahang itu maka lalu baginda itu berangkat ke Pahang. Maka
tiada berapa lamanya maka sampailah ke Kuala Pahang. Maka Yang DiPertuan
Muda Raja Haji serta Datuk Bendahara pun menyambutlah akan baginda itu.
Maka duduklah baginda itu serta paduka ayahanda Raja Haji serta Datuk
Bendahara Pahang betapa adat Raja besar-besar berhimpun.
Syahadan
tiada berapa lamanya baginda Sultan Mahmud serta paduka ayahanda Yang
DiPertuan Muda Raja Haji berangkatlah balik ke Riau. Syahadan apabila
tiba ke Riau maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun membuat istana di
Pulau Malim Dewa serta dengan kotanya yang indah-indah yang bertatah
dengan pinggan dan piring sangatlah indah perbuatannya, dan satu pula
balai dindingnya cermin. Adalah tiang balai itu bersalut dengan kaki
pahar tembaga dan kota itu sebelah atasnya berkisi-kisikan bocong.
Adapun kota itu apabila kena matahari menancar-mancar cahayanya.
Kemudian memperbuat pula satu istana lagi di Sungai Galang Besar sangat
juga indah-indah perbuatannya, iaitu istana paduka anakanda baginda itu
Sultan Mahmud. Dan perhiasan istana Yang DiPertuan Besar dan Yang
DiPertuan Muda itu daripada emas dan perak jua, dan seperti talam dan
ceper kebanyakan diperbuat di negeri China, dan seperti tepak dan balang
air mawar daripada emas dan perak diperbuat di negeri Benila (Manila)
yang berkarang dan bertahtakan intan dan yang berserodi. Dan adapun
pinggan mangkuk dan cawan kahwa dan teh kebanyakan diperbuat di negeri
China serta tersurat dengan air emas pada pantat cawan itu tersebut
Pulau Malim Dewa. Adalah cawan itu hingga sampai kepada anak cucunya,
iaitu sah dengan nyatanya.
Syahadan kata sahibul hikayat adalah
pada masa Yang DiPertuan Muda Raja Haji ini mangkin ramai Riau, serta
dengan makmurnya serta banyaklah orang-orang negeri Riau kaya-kaya.
Syahadan baginda Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda pun
banyaklah mendapat hasil-hasil dan cukai-cukai. Syahadan segala penjajab
perang pun beraturlah di pelabuhan serta cukup ubat pelurunya serta
panglima-panglimanya, tiga puluh turun, tiga puluh naik ke darat.
Syahadan demikianlah di dalam beberapa tahun bersuka-sukaan kerana
negeri aman lagi makmur, dan segala makan-makanan pun murah dan segala
orang-orang dagang pun banyaklah dapat untung kerana terlalu ramai
orang-orangnya.
Syahadan di dalam hal itu maka kebanyakan
suku-suku Melayu tiada menerima syukur hingga menaruh dendam juga
didalam hatinya akan Raja-Raja Bugis, dengan beberapa jenis perbuatan
dan kelakuan hendak mencarik kan juga nama Yang DiPertuan Muda serta
Bugis-Bugis biar mendapat nama busuk sehingga keluarlah Raja Indera
Bungsu itu anak beranak adik beradik ke Trengganu, sebab kecil hati akan
Raja-Raja Bugis konon. Katanya, “Kaya seorang, mewah seorang”.
Di dalam hal itu berjalan pula fitnah daripada Yang DiPertuan Trengganu
dengan Raja Indera Bungsu dan Bendahara Pahang. Tiap-tiap tahun berkirim
surat kepada Holanda ke Melaka dan ke Betawi dan kepada Inggeris ke
Benggal dan ke Madras dan ke Silung. Adalah kehendaknya minta tolong
pukulkan Riau juga minta ambilkan baginda Sultan Mahmud di bawah tapak
kaki Bugis, itulah jadi perbahasan suku-suku sebelah Melayu. Syahadan
adalah yang aku dapat ini, iaitu tersebut di dalam sejarah karangan
Engku Busu Dungun – Trengganu. Ialah Raja Melayu yang dapat rahsia
antara kedua pihak, demikianlah adanya.
Alkisah maka tersebut
perkataan Yang DiPertuan Raja Ismail di Tanah Putih. Maka baginda pun
membuatlah akan perahu kakap di dalam hutan itu dikerahnya segala
orang-orang Tanah Putih itu padahal seorang pun tiada tahu. Kemudian
lama-lama tahulah orang-orang Siak, maka datanglah kepada baginda. Maka
ditahan oleh baginda, maka tiadalah berani orang-orang Siak itu datang
dan tiada berani berkhabar-khabar.
Syahadan kemudian baginda pun
menerima satu Tuan Syed bangsa Sakkaf diperbuatnya menantu,
dinikahkannya dengan puterinya bernama Tengku Kamariah. Maka Tuan Syed
itupun digelar Tuan Besar, maka musyawarahlah baginda itu dengan Tuan
Besar itu, maka ia pun bersiaplah perahu kakap ada dua belas buah dan
penjajab yang besarnya ada empat buah. Maka apabila telah siap maka
baginda pun masuk ke Siak. Maka terkejutlah Yang DiPertuan Muhammad Ali,
maka menyuruhlah ia Panglima Hasan mengatur akan kelengkapannya. Maka
Panglima Hasan pun mengerjakanlah akan titah itu. Kemudian Panglima
Hasan pun menyuruh mengisi meriam.
Maka berperanglah keduanya itu
dengan azamatlah bunyi nya. Maka seketika berperang itu banyaklah rosak
kepengkapan Panglima Hasan. Maka Panglima Hasan pun merapat dan Raja
Ismail merapatkan juga akan kenaikannya. Maka lalulah berbedil-bedilan
pemburasnya. Maka Raja Ismail pun menyuruh kerumunkan perahu Panglima
Hasan. Maka dinaikkan oleh panglima-panglima Raja Ismail akan perahu
Panglima Hasan itu. Maka lalulah beramuk-amuk di dalam perahu Panglima
Hasan itu. Maka Panglima Hasan pun mengamuklah maka matilah ia
dikerumuni oleh panglima-panglima Tanah Putih itu.
Syahadan
setelah kelengkapan Siak itu melihat Panglima Hasan itu sudah mati, maka
pecahlah perangnya, undurlah ia berterjunan naik ke darat tinggalkan
perahunya. Maka Raja Ismail pun menyuruh naik orang-orangnya mengamuk
dan membakar. Syahadan adapun Yang DiPertuan Muhammad Ali dilarikan
orang-orang tuanya masuk Sungai Mampura. Syahadan segala Raja-Raja
perempuan pun berjerit-jeritlah. Maka isteri Yang DiPertuan Muhammad Ali
bernama Tengku Ambung saudara Raja Ismail pun turunlah ke jembatan itu
serta Raja-Raja perempuan mendapatkan Raja Ismail. Setelah Raja Ismail
melihat kekanda adinda sekelian turun itu, maka ia pun segera
mendapatkan sambil bertangis-tangisan. Maka negeri Siak pun dapatlah
semula dengan Raja Ismail.
Syahadan Yang DiPertuan Raja Ismail
pun bertitahlah kepada kekanda adinda sekelian, “Mengapa abang Muhammad
Ali lari? Bukannya saya hendak membunuh dia”. Kemudian Yang DiPertuan
Raja Ismail pun menyuruh mengambil Yang DiPertuan Muhammad Ali ke
Patapahan. Maka apabila sampai suruhan itu maka ia pun berdatang sembah
kepada Yang DiPertuan Muhammad Ali sembahnya, “ Paduka adinda Yang
DiPertuan Besar Raja Ismail menyilakan tuanku ilir ke Siak juga”. Maka
titah Yang DiPertuan Muhammad Ali, “Jika datang Raja Ngah atau Ambung
mengambil aku kemari, beranilah aku ilir”. Maka suruhan itupun kembali
mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Raja Ismail akan perkataan Yang
DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka baginda pun menyuruhkan akan kekanda
baginda Tengku Ambung itu pergi mengambil suaminya Yang DiPertuan
Muhammad Ali itu. Maka datnglah Yang DiPertuan Muhammad Ali itu.
Maka apabila berjumpa Yang DiPertuan Muhammad Ali itu dengan Yang
DiPertuan Raja Ismail maka sembah Tengku Ambung. “Inilah kekanda itu,
apa-apa titahlah”. Maka titah Yang DiPertuan Raja Ismail, “Jika abang
Ambung hendak balik dengan abang Muhammad Ali saya balikkanlah”. Maka
jawab Tengku Ambung, “Jikalau abang Muhammad Ali itu menjadi Yang
DiPertuan Muda lagi, maulah abang Ambung balik dengan dia”. Maka Yang
DiPertuan Raja Ismail pun menyuruh bersumpah tiada hendak berniat
khianat lagi. Maka bersumpahlah Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka
lalu dibalikkannya laki isteri itu.
Syahadan kata sahibul hikayat
maka tiada beberapa lamanya maka sampailah peredaran dunia, maka
geringlah Raja Ismail Yang DiPertuan Besar itu dengan gering sangat.
Maka berhimpunlah segala orang besar-besarnya kedalam. Maka baginda pun
tahulah akan bilangan ajalnya maka lalu ia mengumpulkan
saudara-saudaranya serta Yang DiPertuan Muda Muhammad Ali dan orang
besar-besar sekelian. Maka berpesanlah ia akan gantinya, iaitu anaknya
yang bernama Raja Yahya. Maka apabila habis ia berpesan itu, maka
baginda pun mangkatlah. Maka dikerjakanlah oleh Yang DiPertuan Muda
Muhammad Ali serta segala saudaranya betapa adat istiadat Raja-Raja
mangkat. Maka dimakamkan di Mampura, maka dipanggil oranglah ia itu
Marhum Mangkat di Balai.
Syahadan adalah yang menggantikan
Kerajaannya puteranya yang bernama Raja Yahya, maka bergelar Sultan
Yahya Syah Kerajaan di dalam negeri Siak. Adapun Tengku Abdullah menjadi
Raja di Kampar bergelar Tengku Besar Kampar. Syahadan adalah anak Raja
Alam al-Marhum dengan Daeng Khadijah, bernama Tengku Badariah,
bersuamikan Syed Othman, mendapat anak beberapa orang. Pertama Syed Ali,
kedua Syed Abdul Rahman. Syahadan akhirnya kelak ialah mengambil
Kerajaan Sultan Yahya itu, lagi akan datang kisahnya di belakang ini”.
(bersambung ke bahagian ke dua puluh tujuh...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment