Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, January 17, 2016

17. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke tujuh belas...


Raja Haji Pulang Ke Riau

Pada tahun 1753 setelah berhentinya perang selama sembilan bulan diantara angkatan perang pimpinan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja dengan angkatan perang Holanda di Melaka setelah kedua dua pehak setuju untuk berdamai, maka Yang DiPertuan Muda bersama sama Raja Rembau pun balik lah ke Linggi. Manakala Raja Alam balik ke Batu Bahara dan Raja Sa’id pun baliklah ke Selangor. Tidak lama setelah itu Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja pun pergi lah ke Selangor dan kemudiannya telah menikahkan puterinya yang bernama Raja Perak dengan Raja Haji seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Muda didalam Selangor. Maka apabila sudah selesai daripada menikahkan Raja Haji dengan puterinya yang bernama Raja Perak, maka tiada berepa antaranya maka Yang DiPertuan Muda pun kembali ke Pedas bersama sama Raja Selangor serta segala orang besarnya. Kemudian berangkat pula ke Melaka. Maka didudukkan oleh Gebernur pada satu rumah di Tengkera serta dipermuliakan nya dengan diperjamunya makan minum sehari hari, serta dengan permain mainan. Ada kira kira dua belas hari maka baharu bicara mengisahkan damai dan melahirkan muafakat, serta berbuat setia antara kompeni Holanda dengan Yang DiPertuan Muda serta segala Bugis. Bermula adalah jatuhnya pekerjaan ini pada Hijrat sanat 1166, pada seharibulan Ramadan (2hb Julai tahun 1753 Masihi).

Syahadan setelah selesai daripada pekerjaan damai itu, maka Yang DiPertuan Muda pun baliklah ke Pedas. Maka apabila sampai ke Pedas, Tunku Raja Selangor kembalilah ke Selangor serta Suliwatang dan segala orang tua tua yang banyak. Maka muafakatlah Raja Haji dengan Yang DiPertuan Muda serta segala orang besar besarnya. Adalah muafakatnya itu akan pergi ke Riau seolah olah pergi berbicara sumpah setia antara Bugis dengan Melayu. Maka bersatulah muafakat segala Raja Raja dan orang besar besarnya itu. Maka Raja Haji pun belayar dahulu ke Riau dengan kenaikan yang bernama ‘Bulang Linggi’ serta pengiringnya empat lima buah penjajab. Adapun Raja Selangor serta segala orang besar besarnya di belakang lah sedikit berangkatnya, kerana tengah bersiapkan segala penjajabnya, maka terdahulu Raja Haji ke Riau. Maka Raja Raja yang tinggal itupun bersungguh sungguh bersiapkan penjajab penjajab itu, maka tiada berapa hari siaplah semuanya.

Syahadan tersebutlah perkataan Sultan Sulaiman didalam Riau, yang duduk didalam percintaan sebab perbuatan Raja Kecik Terengganu itu dan negeri pun sudah rosak, beras pun mahal. Maka kesakitanlah segala orang miskin, rakyat rakyat pun banyaklah kelaparan.

Syahadan setelah baginda melihat hal yang demikian itu, maka baginda pun memanggil paduka anakanda Raja Di Baruh. Maka Raja DiBaruh pun mengadaplah paduka ayahanda baginda itu. Maka apabila berhadapan maka titah baginda, “Awang, baiklah engkau pergi ambilkan Raja Muda ke Linggi, kerana jangan kita dimakan sumpah setia. Seperkara lagi negeri kita inilah rupanya, padahal negeri cukup dengan Bendahara, Temenggung serta orang besar besarnya, maka negeri pun mangkin sehari mangkin rosak sebab perdagangan sudah mati, dikacau oleh Wan Dalam serta suku suku kita sebelah Melayu. Dan lagi niat hatiku, jika aku sudah berjumpa dengan Raja Muda jika aku mati pun, syukurlah aku minta jemah juga kepadanya dan aku hendak petaruhkan engkau semua kepadanya”.


Syahadan apabila Raja DiBaruh mendengar titah lalulah ia menyiapkan kelengkapannya. Apabila sudah mustaid maka berangkatlah ia, tiadalah anak Raja mengiringkan dia, hanyalah panglima panglima Melayu dan rakyat rakyat jua. Maka belayarlah ia jalan Ungar-Buru.

Syahadan adapun Raja Haji belayar itu tiadalah singgah singgah selalu ia ke Riau jalan Singapura. Maka berselisihlah perjalanannya itu dengan Raja DiBaruh sebab tiada berjumpa di laut. Maka apabila masuk ia ke dalam Riau, gemparlah suku suku sebelah Melayu menyangka nyangka Raja Haji datang itu hendak melanggar Riau. Maka Raja Raja Melayu serta panglima panglima Melayu ada setengah sangat hendak membedil Raja Haji itu. Maka tiadalah diindahkan oleh Raja Haji, dilayarkan juga ‘Bulang Linggi’ itu hingga sampai ke Batangan, bertentangan dengan istana Baginda itu baharulah dilabuhnya. Maka gaduhlah suku suku Melayu hendak membedil itu. Maka apabila Sultan Sulaiman mendengar hal itu, maka baginda pun sangatlah murkanya. Maka titah baginda, “Pergi tanya siapa bercakap cakap hendak membedil itu. Aku minta jalannya dan sebabnya. Jikalau tiada berbetulan jalannya kepada aku, nanti dialah yang patut dibedil, tiada lain isi perutnya itu dengki khianat dan dendam khusmat juga yang dipenuhkannya perutnya”. Maka lalu senyap segala suku suku Melayu menyebut nyebut pekerjaan bedil membedil itu.

Maka Raja Haji pun naik kedarat mengadap baginda. Apabila berjumpa dengan baginda itu maka titah baginda, “Apa kehendak Raja Haji datang ini?”. Maka sembah Raja Haji, “Tiada apa sebab, lama patik tiada mengadap, inilah patik datang mengadap”. Maka titah baginda, “Apa bicara Raja Haji sekarang ini?”. Maka sembah Raja Haji, “Tiada bicara apa kepada patik, melainkan kepada duli tuanku juga”. Maka titah baginda, “Adat yang mana hendak dipakai oleh Raja Haji, kerana adat ini ada dua. Satu adat Marhum di Sungai Baharu, dan satu adat Marhum Mangkat Di Kota. Yang mana yang hendak dipakai oleh Raja Haji?”. Maka sembah Raja Haji, “Adat Marhum di Sungai Baharu, itulah adat didalam sumpah setia”.

Syahadan apabila baginda mendengar sembah paduka anakanda Raja Haji itu, maka baginda pun menyuruh satu orang baik baik menjemput paduka anakanda Raja Di Baruh menyuruh segera balik ke Riau. Maka orang yang dititahkan itupun belayarlah dengan sebuah kakap berdayung dengan layar layarnya menuju jalan Ungar-Buru.

Syahadan sebermula adapun Raja Raja Selangor serta orang orang besarnya itupun belayarlah ia sampai ke Ungaran. Maka berjumpalah dengan angkatan Raja DiBaruh, Maka berhadapanlah penjajab orang orang Selangor dengan penjajab orang orang Riau. Maka didalam hal itu, suruhan dari baginda itupun tiba. Maka lalu memaklumkan kepada Raja DiBaruh, “Paduka ayahanda menyilakan masuk dahulu ke Riau berkampung kerana paduka adinda Raja Haji pun sudah ada di dalam Riau”. Setelah Raja DiBaruh mendengar sembah suruhan itu, maka titah Raja DiBaruh,”Pergilah memaklumkan kepada saudaraku Raja Selangor itu, katakan bersamalah kita masuk ke Riau”. Maka suruhan itupun pergilah ke pihak angkatan Raja Selangor lalu memaklumkan seperti titah Raja DiBaruh itu. Maka apabila Raja Selangor serta orang besar besarnya mendengar khabar suruhan itu maka lalulah ia memapas kajang lalulah belayar ke Riau beriring iring dengan kelengkapan Raja DiBaruh.

Maka apabila tiba didalam Riau, maka naiklah semuanya Raja Raja itu mengadap baginda itu. Maka Datuk Bendahara pun serta Temenggung dan Raja Indera Bungsu serta orang tua tua sekelian hadirlah semuanya antara kedua pehak itu. Kemudian maka Sultan Sulaiman pun bertitah demikian bunyinya:

“Barang tahu kiranya antara kedua pihak, sebelah suku suku Melayu dan sebelah suku suku Bugis, adalah kita menetapkan sumpah setia antara Bugis dengan Melayu, seperti setia Marhum Sungai Baharu, yang diperpegang hingga sampai anak cucu cicitnya. Barangsiapa mungkar seperti yang telah tersebut itu, dibinasakan Allah dan dikutukNya tiada selamat dunia akhirat”.

Setelah itu maka titah baginda, “Hari inilah kita serahkan perintah bicara, panjang pendeknya, kecil besarnya kepada Raja Muda”. Maka Bugis Bugis pun menerimalah. Maka titah baginda, “Baca doa”. Maka lalulah membaca doa. Maka habislah segala perkara Bugis dengan Melayu pulang sediakala. Setelah selesai daripada itu sekelian orang besar besar pun pulanglah kerumahnya.

Apapun Sultan Sulaiman pada esoknya itu, maka bertitahlah ia kepada Raja Selangor dan Raja Haji dan Raja DiBaruh, “Pergilah anakanda anakanda sekelian mengambil Raja Muda di Linggi”. Syahadan Raja yang bertiga itu pun belayarlah ke Pedas. Maka berjumpalah Raja Raja itu dengan Yang DiPertuan Muda lalu memaklumkan titah baginda menyuruh Raja Muda balik ke Riau. Maka jawabnya, “Baiklah”. Maka Raja DiBaruh pun minta ke Selangor dahulu bersama sama Raja Selangor. Maka apabila tiba di Selangor, tiada berapa harinya maka Raja DiBaruh pun geringlah demam. Maka Raja Selangor pun sangatlah susahnya melihat paduka adinda itu gering. Maka dipanggil segala dukun mengubatkannya dan segala orang besar besar Selangor pun berkumpullah siang malam didalam istana Yang DiPertuan Selangor itu demikianlah halnya selama lama Raja DiBaruh gering itu”.

(bersambung ke bahagian ke lapan belas...)


No comments:

Post a Comment