Setelah habis perang di
Siantan pada tahun 1750, Sultan Sulaiman serta paduka anakanda Yang
DiPertuan Muda dan anakanda anakanda sekelian berhimpun lah bersama
didalam Riau. Adalah harapan baginda Sultan Sulaiman yang bakal
menggantikan baginda adalah putera gahara baginda iaitu Raja Abdul
Jalil, yang sudah pun beristerikan sepupunya iaitu Tengku Putih anakanda
almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak dengan Tengku Mandak.
Hubungan Raja Abdul Jalil dengan iparnya iaitu Raja Haji Engku Kelana
dan saudara saudaranya yang lain sangatlah rapat. Demikian juga hubungan
rapat diantara Sultan Sulaiman dengan anak anak Raja Bugis setelah
pulang daripada perang di Siantan, makin nampaklah kasih sayangnya serta
tulus ikhlas dan mesra dengan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja serta
adik beradiknya. Apabila di lihat oleh sesetengah suku suku sebelah
Melayu akan hal yang demikian ini, maka makin terbakarlah hatinya kerana
perasaan hasad dengki.
Kemudian timbul lah fitnah yang di buat
oleh Raja Kecik Terengganu yang mengatakan bahawa orang orang Bugis
hendak mengamuk dan membakar rumah. Jadi kecoh lah orang orang Raja
Kecik Terengganu gaduhkan dan sebarkan berita ini tiap tiap malam. Dalam
sebulan dua tiga kali datang lah fitnah sedemikian. Maka di periksalah
oleh Yang DiPertuan Muda bersama sama dengan Bendahara tapi tidak pula
jumpa apa apa bukti seperti yang difitnahkan itu.
Kemudian selang
empat lima hari datang pula fitnah mengatakan bahawa orang orang Bugis
hendak membakar kota, apabila dikejarnya ia lari. Maka jadi gemparlah
pada tengah malam itu gaduhkan perkara ini. Apabila siang hari, Yang
DiPertuan Muda pun segera mengumpulkan segala orang orang Bugis dan
segala orang orang Melayu dihadapannya. Lalu di periksa oleh Yang
DiPertuan Muda di tengah orang ramai itu dan bertanya, “Siapa yang
melihat, dan siapa pergi mengejar, dan siapa yang dikejar, dan siapa
yang berkhabar semalam?”. Tapi tiada seorang pun yang mengaku.
Sultan Sulaiman pun sangatlah dukacita melihatkan hal perbuatan suku
suku Melayu dan orang orang besar Melayu serta menantunya Raja Kecik
Terengganu membuat fitnah terhadap suku suku Bugis itu. Dukacitalah hati
baginda memikirkannya dan begitu juga dengan anakanda baginda Raja
Abdul Jalil makin hari semakin panaslah hati memikirkan fitnah fitnah
yang ditimbulkan ini, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al
Nafis seperti berikut:-
“Syahadan ada kira kira sepuluh hari
renggangnya datang pula fitnah yang besar mengatakan orang Bugis meradak
rumah Tun Wangsa. Maka gembarlah malam itu dan orang Terengganu pun
berlari larianlah dengan lembing bercabut beberkas berkas pergi ke rumah
Tun Wangsa itu, riuh rendah, mengatakan, “Kepung! Kepung! Itu dia! Itu
dia!”. Maka berkejar kejarlah berhambat hambatanlah orang Terengganu.
Maka Raja Abdul Jalil pun terkejutlah daripada beradu maka ia pun pergi
ke tempat gaduh gaduh itu seraya bertanya, “Apa digaduhkan ini?. Maka
sembah orang orang itu, “Bugis meradak istana paduka bonda Tun Wangsa,
tuanku”. Maka kata Raja Abdul Jalil, “Berapa orang yang sudah mati
diradaknya?”. Maka jawab mereka itu, “Tiada yang mati, tersangkut
kerisnya”. Maka kata Raja Abdul Jalil, “Engkau kenalkan orang yang
meradak itu? Bugiskah, atau orang mana? Adakah engkau suluh mukanya?”.
Maka jawab mereka itu, “Tidak, tuanku”. Maka titahnya, “Jikalau tidak
engkau suluh dimana engkau tahu orang Bugis dengan sebegini gelapnya
malam ini?. Maka jawab mereka itu, “Periksalah tuanku, pacal yang ramai
itu mengatakan orang Bugis konon, maka patik pun mengikutlah”. Maka
titah Raja Abdul Jalil, “Jikalau begini kelakuan engkau semua ini,
sengaja engkau semua hendak mengadu tuan engkau dengan aku, atau dengan
Bugis”.
Maka Raja Abdul Jalil pun berangkat ke istananya, lalu
dipersembahkannya kepada paduka ayahanda bagindanya segala hal ehwal
itu. Maka apabila siang hari Yang DiPertuan Muda pun pergi lah ke
balairung seri mengadap baginda. Maka baginda pun menyuruh panggil Raja
Kecik dan Bendahara, Temenggung serta puteranya Raja Abdul jalil, serta
Raja haji serta anak Raja Raja sekelian. Maka diperhadapkan pula
diperiksa sebelah menyebelah. Maka tiada juga terkatakan oleh suku suku
Melayu itu serta tiada juga tertunjukkan. Maka berkata Raja Abdul jalil,
“Sengaja dia semua hendak membuat pangkal perkelahian dan jikalau
sungguh terjumpa Bugis meradak itu, atau Melayu, maka tikam sajalah.
Apalah yang terjerit jerit, terpikau pikau tengah malam dinihari berlari
lari berhambat hambat kesana kemari?”. Maka ia pun lalu turun balik dan
sekeliannya pun baliklah masing masing kerumah nya.
Syahadan
adapun Yang DiPertuan Muda maka tahulah akan suku suku Melayu itu
sengaja hendak mendatangkan fitnah atasnya jua. Adapun bahagian Sultan
Sulaiman putera berputera mangkin mesra hatinya dengan Bugis. Maka
didalam hal yang demikian itu mangkin bertambah tambahlah pedih hati
Raja Kecik Terengganu itu memanjangkan fitnahnya sehari hari.
Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun berfikir, “Jika duduk begini,
akhir akhirnya jadi berbantah juga dengan suku suku Melayu, baik tak
baik jikalau tidak daripadanya mendatangkan kejahatan atau daripada aku.
Apalah jadinya sumpah setia itu?”. Maka ia pun memanggil Raja Haji
mengkhabarkan hal ehwalnya serta ia berkata, “Yang kekanda ini hendak
bermohon keluar daripada Riau ini dan Raja Haji tinggallah dahulu, tiada
tahan kekanda ini akhir akhirnya merosakkan sumpah setia saja”. Maka
jawab Raja Haji, “Apabila Raja Kecik itu memperbuat haru biru di atas
adinda maka tiadalah adinda panjangkan lagi, melainkan adinda ajak
keluar saja dari Riau ini, dimana mana tempat dia suka berperang atau
bertikam boleh segera habis ketentuan maksud kedua pihak”.
Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun mengadaplah Sultan Sulaiman
bermohon hendak keluar dari Riau itu. Maka tiadalah dilepaskan oleh
baginda. Maka berhenti pula ia. Maka apabila Raja kecik mendengar hal
yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya maka membuatlah ia akan
beberapa macam fitnah. Maka tiadalah tertahan oleh Yang DiPertuan Muda
maka bermohonlah ia kepada Sultan Sulaiman tiada juga dilepaskan oleh
baginda sehingga berpuluh kali bermohon tiada juga dilepaskan oleh
baginda.
Syahadan didalam hal itu maka Yang DiPertuan Muda pun
menyiapkan perahunya serta diturunkan nya segala harta bendanya dan anak
isterinya. Maka apabila sudah mustaid sekeliannya baharulah ia pergi
bermohon pula kepada Sultan Sulaiman, sambil berdatang sembah dengan
tangisnya, “Ampun, tuanku! Yang patik ini keluarlah, diberi tidak
diberi, patik keluar. Derhaka celaka patik tiada. Bukannya perbuatan
patik dan bukannya perbuatan tuanku, tiada dapat patik bertahan lagi,
seumpama karung sudah penuh tiada muat lagi. Jikalau patik bertahan
sehari dua lagi, tentulah jadi rugi atas diri tuanku. Apalah nama patik?
Selama lama ini, paduka kekanda kekanda membaikkan Riau ini, tiba tiba
masa patik ini merosakkan pula. Adapun patik semua anak Bugis dimana
mana diam, apabila ada titah perintah ke bawah duli memanggil patik
menyuruh bekerja, Insya Allah taala patik kerjakan. Akan tetapi pada
waktu ini bercerai dahulu antara tuanku dengan patik semua anak Bugis,
sebab jangan rosak hati sanak saudara tuanku, kerana patik ini selagi
orang suka patik tunggu, pada ketika orang benci patik keluar dahulu,
kerana yang patik tiada mahu menjadi derhaka celaka merosakkan nama dan
sumpah setia. Tiadalah harus patik menghilangkan nama orang tua tua
patik!”.
Syahadan kata sahibul hikayat maka apabila Sultan
Sulaiman mendengar sembah Raja Muda itu, maka baginda pun menangislah
sambil katanya, “Hai Raja Muda! Sampainya hati Raja Muda! Harapnya hati
saya akan Raja Muda, perasaan hati saya jikalau saya mati saya minta
jemaahlah kepada Raja Muda. Maka tiadalah sampai hajat saya. Apalah
jadinya?”. Maka sembah Raja Muda, “Apa boleh buat? Sudah nasib patik
pada ketika ini kerana patik memeliharakan kerugian tuanku jua”. Maka
lalulah ia bermohan turun ke perahunya lalu ia belayar ke Linggi.
Maka baginda pun tiada terkata kata lagi, hilanglah kiranya tiada dapat
jalan lagi menahannya. Maka air matanya jua berhamburan saja dengan
dukacitanya sehari hari serta dengan sebalnya akan perbuatan sebelah
sanak saudaranya sebelah Melayu, serta bertambah tambah pula khuwatirnya
akan sanak saudaranya kalau kalau membinasakan dia pula, akan tetapi
tiada ditampakkan nya kerana ia takut kalau kalau datang pula fitnah
yang terlebih besar atasnya, melainkan mencari fikiran jugalah ia berdua
puteranya dengan Raja Abdul Jalil pada hendak menetapkan Bugis itu
adanya.
Syahadan kata sahibul hikayat tinggallah Raja Haji
didalam Riau adik beradik. Didalam hal itu maka datang pula kacau
daripada Raja Kecik Terengganu serta Bendahara, iaitu datang sebuah
kapal Holanda masuk ke Riau. Entahkan bagaimana hikmatnya Raja Kecik
Terengganu itu dengan Bendahara berbicara dengan Holanda itu, tiba tiba
dimaklumkan nya kepada baginda hendak dimohonkan nya Raja Haji tiga
beradik, iaitu Raja Aminah dan Raja Halimah, boleh diserahkan kepada
Holanda biar keluar dari Raiau ini, kerana banyak kebajikan atas baginda
dibelakangnya konon. Maka dua tiga kali sehari dimohonkan kepada Sultan
Sulaiman. Maka didalam hal itu tahulah Tengku Putih dan Tengku Hitam,
maka menghempaskan dirilah ia menangis. Maka gempar didalam Riau serta
masyhur khabar itu didalam negeri Riau. Maka Holanda pun memeratikan
saja hal tingkah kelakuan Raja Kecik itu, kemudian Holanda pun
belayarlah ia.
Syahadan sampailah khabar itu kepada Raja Haji,
maka ia pun sangatlah marahnya. Maka lalu menyiapkan alat senjatanya dan
segala penjajabnya, kira kira dua puluh buah. Maka apabila siap, maka
lalu dihadapkan haluannya kepada kelengkapan Terengganu itu. Maka
gemparlah pula orang orang Terengganu menggatakan segala kelengkapan
Raja Haji sudah menghadapkan haluannya kepada kelengkapan Terengganu.
Maka Raja Kecik pun menyuruh orangnya turun kepada penjajabnya.
Kemudian Raja Haji menyuruhlah kepada Raja Kecik mengajak keluar
berperang, dimana mana tempat yang disukainya supaya lekas habis
perkaranya. Maka gemparlah didalam Riau mengatakan Raja Haji hendak
berperang dengan Raja Kecik Terengganu. Maka Sultan Sulaiman pun tiada
terkata kata lagi. Maka Raja Abdul Jalil pun sangatlah marahnya akan
Raja Terengganu itu. Maka baginda pun memanggil Raja kecik itu serta
Bendahara semua, mana suku suku Melayu. Maka datanglah segala mereka
itu, maka baginda pun bertitah kepada Raja Kecik, “Adapun saya ini
berkhabar benar sekali ini jikalau abang abang kaya semua serta Raja
Kecik tiada mau muafakat dengan anak anak Raja Bugis, saya hendak keluar
dari Riau ini. Barangsiapa hendak jadi Raja disini jadilah, yang saya
seorang tiada saya mau dimakan sumpah dan jikalau abang abang kaya semua
serta Raja Kecik hendak mengikut ikhtiar saya, ambilkan saya Raja Muda
ke Linggi, supaya sumpah setia kita baharukan semula”.
Syahadan
setelah Tun Dalam, iaitu Raja Kecik, mendengar titah duli baginda itu,
maka ia terdiam sejurus. Kemudian baharu ia berdatang sembah seraya
katanya. “Yang patik ini mana mana sahaja titah perintah. Tiada patik
berniat salah kepada duli tuanku, akan tetapi bilakan Raja Muda
percayakan patik, melainkan patik mohonkan Raja Haji bersama sama”. Lalu
baginda memanggil Raja haji. Maka Raja Haji pun datang. Maka baginda
pun bertitahlah, “Hai anakku Raja haji, yang keruh aku minta jernihkan,
yang kusut aku minta selesaikan. Maka muafakatlah Raja Haji dengan Tun
Dalam, aku minta ambilkan Raja Muda balik ke Riau ini”. Maka sembah Raja
Haji, “Mana mana titah saja”. Maka Tun Dalam pun berlayarlah ke Linggi
bersama sama Raja Haji. Maka Raja Kecik pun mengajak Raja Haji singgah
ke Melaka dahulu. Maka keduanya pun singgahlah ke Melaka.
Syahadan kata sahibul hikayat apabila tiba ia ke Melaka, maka naiklah
Raja Kecik berjumpa Gebernur Melaka. Maka mengakulah Raja Kecik kepada
Gebernur yang ia utusan lagi wakil Sultan Sulaiman, membawa bicara
kepada Gebenur daripada fasal Sultan Sulaiman hendak membuang Bugis dari
Riau, “Kerana Bugis sedah mengambil kerajaan Johor. Sebab itulah Raja
Muda dikeluarkan dari Riau ini, sekarang ada di Linggi, lama lama
barangkali dapat kekuatan disitu. Maka inilah Sultan Sulaiman minta
langgarkan Raja Muda di Linggi itu. Barang berapa belanja Kompeni habis,
nanti baginda boleh ganti. Dan lagi ini ada satu saudaranya jadi kaki
tangannya, Raja Haji, ada saya bawa ini, baginda minta belokkan disini”.
Syahadan setelah Gebenur Melaka mendengar khabar Raja Kecik itu, maka
jawabnya, “Baiklah. Nanti pada hari Jumaat kita panggil makan makan di
kebun supaya boleh kita tangkap sama dia. Adapun Raja Muda di Linggi
baik Raja Kecik sama sama kita pergi pukul”. Maka jawab Raja Kecik,
“Baiklah”. Syahadan ada satu orang bernama Encik Awal demi mendengar
rahasia itu, maka ia pergi ke Linggi memaklumkan kepada Yang DiPertuan
Muda. Maka Yang DiPertuan Muda pun menyuruh Raja Selangor mengambil Raja
Haji ke Melaka malam itu juga, kerana khabarnya hendak ditangkap di
Melaka.
Setelah Yang DiPertuan Selangor mendengar khabar itu,
maka ia segera turun ke sampan, berkayuh. Maka didapatkan Raja Haji di
Pulau Jawa lalulah dibawanya Raja Haji itu ke Linggi. Kemudian Raja
Selangor pun baliklah ke Selangor.
Syahadan ada kira kira dua
hari maka kapal kapal langgaran dari Melaka pun datanglah. Ada kira kira
dua belas buah dengan selubnya sekali dan dengan perahu Terengganu,
menjadi ada kira kira empat puluh buah. Maka datanglah ia dengan
terserkap. Maka tiada sempat Yang DiPertuan Muda berbuat kubu lagi dan
segala senjata pun tiada habis disiapkan. Maka naiklah baris (tentera
Holanda) lalu ditempuhnya kampong Yang DiPertuan Muda itu, beramuklah
Bugis Bugis dengan Holanda. Adapun orang Terengganu seorang pun tiada
masuk perang, beberapa kali disuruh oleh Raja Haji teriak naik ke darat
dengan perkataan yang keji keji, tiada juga ia naik ke darat bertikam.
Maka Bugis Bugis pun tiada dapat melawan betul sebab gaduh dengan
bimbang, hendak melepaskan segala perempuan pada hal baris sudah masuk
kampong. Maka Raja Haji itu pun mengamuklah berlawan dengan baris, maka
lukalah Raja Haji kena sangkur (bayonet)senapang pada pehanya. Maka ia
pun tiada boleh berdiri, maka lalulah didukang orang dilarikan keluar
dari peperangan itu. Maka di dalam hal itu Linggi pun alah. Maka Raja
Muda larilah ke Rembau, tetaplah didalam Rembau muafakat dengan Penghulu
Rembau itu pada pekerjaan hendak melanggar Melaka pula.
(bersambung ke bahagian ke enam belas...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Monday, December 21, 2015
Subscribe to:
Posts (Atom)