Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Friday, December 4, 2015

9. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sembilan...



Pada pertengahan tahun 1728 masihi apabila Riau sudah aman dari peperangan dan serangan daripada Raja Kecik Yang DiPertuan Siak, Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah telah bermuafakat untuk memeriksa kerosakan dan kemusnahan di seluruh daerah takluk kerajaan Johor dan Riau serta seluruh daerah takluknya yang telah dipulangkan oleh Raja Kecik, tatkala ia bersumpah di dalam masjid dahulu. Setelah habis bermesyuarat, maka Yang DiPertuan Muda pun bersiap lah dengan beberapa kelengkapan perang yang akan dibawa berangkat bersama.

Sedang dalam bersiap siap ini, datanglah Indra Guru La Maluk dari Mempawah mempersembahkan surat meminta bantuan daripada Pangeran Emas Seri Negara Opu Daeng Menambun dan Pengeran Mangkubumi Sambas Opu Deang Kemasi yang sedang berperang di Pinang Sekayuk (dekat Mempawah). Setelah Yang DiPertuan Muda dan Opu Daeng Cellak membaca surat itu, lalu bermesyuaratlah kedua nya dan memutuskan bahawa Opu Daeng Cellak lah yang akan pergi membantu perang di Mempawah nanti setelah Yang DiPertuan Muda pulang daripada memeriksa teluk rantau sebelah Pulau Perca (Sumatera), seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-


“Syahadan apabila selesailah musyawarahnya itu maka Yang DiPertuan Muda pun belayarlah ke Tapukan memeriksa segala jajahan itu, serta mengaturkan tempat tempat itu. Maka dengan takdir Allah Taala, Yang DiPertuan Muda pun geringlah sangat, maka lalulah dibawa oleh orang besar besarnya segera ke Riau berlayar dengan dayungnya. Maka apabila sampai ke Pulau Pitung, maka Yang DiPertuan Muda pun mangkatlah kembali ke Rahmat Allah Taala. Maka apabila tiba di Riau gemparlah didalam Riau mengatakan Yang DiPertuan Muda sudah mangkat. Maka Sultan Sulaiman dan Opu Daeng Cellak pun berangkat menyambut jenazah Yang DiPertuan Muda itu dengan dukacitanya. Maka lalulah dikuburkan nya di Sungai Baru (pada 7hb Ogos tahun 1728). Maka berkabunglah orang orang Riau sekeliannya.

Syahadan apabila sudah selesai daripada pekerjaan kematian itu maka baginda Sultan Sulaiman pun melantik Opu Daeng Cellak menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Johor dan Pahang, dengan segala takluk daerahnya sekelian, bergelar Sultan Alauddin Syah. Syahadan apabila selesailah serta tetap Opu Daeng Cellak menjadi Yang DiPertuan Muda, maka bermohonlah ia kepada Sultan Sulaiman hendak pergi ke Mempawah. Maka dibenarkan oleh Sultan Sulaiman serta disuruhnya bawa penjajab dua puluh buah. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Tak usahlah membawa kelengkapan banyak banyak, kerana negeri kita sunyi patik khawatir barangkali datang pergaduhan didalam negeri ini. Seperkara lagi, yang patik ini pergi membantu saja sampai ke sana saudara saudara patik yang disana sudah cukup, sebab dua buah negeri sudah diperintahnya, iaitu Mempawah dengan Sambas”. Maka pada ketika saat yang baik maka Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah ke Mempawah, dengan tujuh buah penjajab, delapan buah dengan perahu Indra Guru La Maluk. Maka tiada beberapa hari Yang DiPertuan Muda pun sampailah ke sebelah tanah Pulau Kalimantan adanya.


Alkisah tersebutlah perkataan Raja Landak, bermula adalah Raja landak itu bernama Ratu Bagus. Maka apabila ia mendengar Raja Pinang Sekayuk berperang dengan Raja Sebukit didalam Mempawah, maka ia pun bersegeralah pergi dengan Raden Othman berjalan darat serta dibawanya segala orang Islam Landak, dengan Dayak Cugi mengiring dia. Maka sampailah ia ke Pinang Sekayuk, lalu berjumpa dengan Pangeran DiPati Pinang Sekayuk. Maka berkhabarlah ia kepada Pangeran DiPati kedatangan ia berdua ini kerana hendak mendamaikan Pangeran DiPati dengan Pengeran Emas Seri Negara itu kerana apalah faedah berkelahi berbantah, kerana sudah seperti anak buah sanak saudara. Maka jawab Pangeran DiPati, “Yang saya tiada apa apa mana mana sahaja yang baik kepada Ratu Bagus, kerana pekerjaan saya ini sekali sekali bukan perbuatan saya, tetapi adalah pekerjaan anak saya, dengan tiada usul periksanya dan tiada sabar. Beberapa kali sudah saya larang tiada juga diindahkan nya sampai masanya inilah jadinya, tidak pada dengan dia seorang, isi negeri dan orang ramai yang menanggung susahnya”.


Setelah Ratu Bagus mendengar khabar Pangeran DiPati itu maka jawabnya, “Jika begitu, biarlah saya pergi kepada Pengeran Emas Seri Negara itu”. Maka pergilah Ratu Bagus mendapatkan Pengeran Emas Seri Negara. Apabila berjumpa maka bertanyalah ia, “Apalah mulanya jadi berbantah dengan sanak saudara dan anak buah ini?” Maka diceritakan oleh Pengeran Emas Seri Negara itu dari awalnya hingga akhirnya. Maka Ratu Bagus pun berkhabar pula, “Ada pun anakanda datang berdua dengan Raden Othman ini jika boleh dipohonkan jangan berkelahi biar berdamai kerana bukan orang lain”. Maka jawab Pengeran Emas Seri Negara, “Kehendak anakanda itu sebenar benarnya, akan tetapi ayahanda sudah terlalu member surat ke Riau kepada Yang DiPertuan Muda Riau memanggil ia kemari, kerana perang inilah. Fikiran ayahanda apa apa pun hendak berbuat biarlah nanti dia datang dahulu”.

Syahadan didalam hal itu suruhan dari Sebukit pun datang mengatakan Yang DiPertuan Muda Riau sudah datang dengan tujuh buah penjajab. Setelah Pengeran Emas Seri Negara mendengar khabar suruhan itu, maka ia pun berkata kepada Ratu Bagus, “Ayahanda hendak hilirlah sebentar dan apa apa keputusannya adalah saya memberitahu”. Maka jawab Ratu Bagus, “Jikalau begitu anakanda mengiringlah juga kerana hendak berkenal kenalan dengan Yang DiPertuan Muda Riau”. Maka jawab Pengeran Emas Seri Negara, “Baiklah”. Maka keduanya pun hilirlah diwakilkan perang itu kepada Pengeran Mangkubumi.

Maka keduanya pun berkayuhlah menyambut Yang DiPertuan Muda Riau di Sebukit serta tiba lalulah naik ke perahu Yang DiPertuan Muda Riau serta berjumpa keduanya, lalu bertangis tangisan. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertanya, “Ini Raja mana?”. Maka jawab Pengeran Emas, “Inilah Raja Landak”. Maka Ratu Bagus pun segeralah datang mencium lutut Yang DiPertuan Muda. Maka disambut Yang DiPertuan Muda dengan hormatnya. Maka berkhabarlah ia akan Yang DiPertuan Muda Kelana Jaya Putera mangkat dan Opu Daeng Parani mangkat juga berperang di Kedah. Setelah Pengeran Emas mendengar khabar itu menangislah yang amat sangat seperti hancurlah hatinya, kerana kehilangan kedua saudaranya itu, akan tetapi apa boleh buat, dengan takdir Allah Taala. Maka Ratu Bagus pun turut juga menangis kerana kasihan melihat kedua dua Raja itu.

Syahadan apabila selesailah daripada bertangis tangisan itu, maka Pengeran Emas Seri Negara pun membawa Yang DiPertuan Muda naik kedarat, masuk kedalam kota berjamu jamu makan minum. Didalam hal itu berkatalah Pengeran Emas kepada Yang DiPertuan Muda akan kehendak Ratu Bagus hendak mendamaikan dia itu. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Dari pihak berdamai adinda mohonlah tangguh dahulu, sebab kita telah berperang didaluluinya. Jikalau belum berperang sekalipun apabila adinda datang ini, patut juga dibunyikan meriam walau sepucuk sekalipun, supaya jangan takabbur amat ia atas kekanda, seperti kekanda tiada menaruh saudara yang jauh diperbuatnya”. Setelah Pengeran Emas mendengar cakap adinda baginda itu maka katanya, “Benarlah seperti kata adikku itu”. Maka Ratu Bagus pun membenarkan juga. Setelah itu baliklah masing masing ke rumah nya. Adapun Yang DiPertuan Muda dibawa oleh Pengeran Emas berjumpa dengan isterinya Ratu Agung Sinuhun. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun turun ke perahunya.

Syahadan adapun Ratu Bagus setelah ia sampai ketempatnya, iaitu di rumah Tuan Imam Sebukit, maka ia pun menyuruh Tuan Imam itu memaklumkan kepada Pengeran Emas Seri Negara hendak minta perhamba baginda, memohonkan puteri baginda yang tuanya yang bernama Utin Dewaman. Apabila hasil maksudnya relalah ia menjadi hamba kebawah duli baginda Pengeran Emas Seri Negara. Maka Tuan Imam pun mengadaplah Pengeran Emas memaklumkan hal itu.

Kemudian maka Pengeran Emas Seri Negara pun berkhabarlah akan maksud Ratu Bagus itu, diserahkan nya kepada Yang DiPertuan Muda mana mana saja yang baiknya. Maka Yang DiPertuan Muda pun naiklah ke istana mendapatkan Ratu Agung Sinuhun mengkhabarkan maksud Ratu Bagus itu. Maka Ratu Agung Sinuhun pun berkata, “Mana mana sajalah baik kepada adinda kekanda menurutlah”. Setelah Yang DiPertuan Muda mendengar perkataan Ratu Agung Sinuhun itu maka ia pun berkata pula, “Baik kita terima juga, kerana sudah patut dengan kupunya, lagipun ia menyerahkan dirinya kepada kita seperti benang putih”. Maka Yang DiPertuan Muda menyuruh Tuan Imam balik mengkhabarkan maksud Ratu Bagus itu telah diterima. Maka Ratu Bagus pun terlalulah sukanya.

Syahadan apabila telah putuslah bicaranya itu, pada ketika saat yang baik maka nikahlah Ratu Bagus itu dengan Utin Dewaman betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin. Syahadan setelah selesai pekerjaan kahwin itu maka Ratu Bagus pun digelar oleh Yang DiPertuan Muda, Panglima Perang dan Yang DiPertuan Muda menjadi Panglima Besar pada perang ini.

Syahadan mudiklah segala Raja Raja itu pergi melanggar Pinang Sekayuk. Maka apabila tiba di Kuala Melansam, maka berjumpalah Yang DiPertuan Muda dengan adinda baginda Pengeran Mangkubumi. Maka berpeluk berciumlah bertangis tangisan dua saudara itu sebab terkenangkan saudaranya yang dua orang itu, iaitu Opu Daeng Parani dan Opu Kelana Jaya Putera sudah mangkat itu. Maka datanglah anak anak Pengeran Eman Seri Negara itu menyembah lututnya paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Riau. Maka ia pun bertanya, “Anak muda ini, anak siapa?”. Maka jawab Pengeran Eman Seri Negara pun berkata, “Semuanya anakku”. Maka Yang DiPertuan Muda pun terlalu sukanya melihat anak muda muda itu baik belaka sikapnya serta boleh diharap di dalam peperangan. Syahadan apabila selesailah daripada berjumpa jumpaan itu, maka segala Raja Raja itu pun muafakatlah akan memulai semula perang.

Syahadan adapun Pengeran Dipati serta anaknya Raden Jaga itu apabila ia dapat khabar Yang DiPertuan Muda Riau telah datang datang itu dan Ratu Bagus pun telah menjadi menantu Pengeran Emas, maka ia pun meminta musyawarah kepada segala menteri menterinya. Maka jawab mereka itu, “Adapun yang patik apa titah saja, akan tetapi pada perasaan patik tentulah kita alah, kerana empat buah negeri yang kita lawan. Ini pekerjaan paduka anakanda dengan buta tuli, tiada dengan musyawarah dengan orang tua tua, inilah jadinya”.

Setelah Pengeran Dipati mendengar sembah segala menteri menterinya itu, ia pun terdiam sejurus sebab sesak ia memikirkan nya, pulang pulangnya disesalkan pada Pak Senti itu juga. Maka duduklah Pengeran Dipati itu mencari jalan kelepasan lari adanya. Maka Raden Jaga pun berkerahlah menyuruh orang orangnya sedia menahan langgar orang orang Sebukit itu dan Dayak pun dikumpulkan beribu beribu serta mengeluarkan beberapa belanja belanja kepada Dayak itu, siang malam dengan berjaga hingga susahlah didalam negeri Pinang Sekayuk itu. Maka mana mana orang yang menaruh anak bini dan harta benda berkemaslah ia, kerana negeri akan rosak pada sangkanya adanya.

Sebermula adapun Pengeran Emas Seri Negara, apabila putuslah muafakatnya maka lalu ia menyuruh Indera Gurunya dan Panglimanya melanggar kubu yang bertentangan dengan dia itu. Maka dilanggarlah oleh Bugis Bugis lalu berperang dirapati oleh Bugis kubu kubu itu dibedilnya dengan senapang dan pemburasnya. Maka orang yang didalam kubu kubu itu pun larilah. Maka didatangi oleh Bugis Bugis pada kubu Raden Jaga itu. Maka berperang sebentar serta mati orangnya dua tiga orang maka yang lain pun larilah pula.

Kemudian didatangkan nya pula pada satu kubu lagi, berkancing pintunya. Maka ditumbukkan oleh Bugis. Maka pintu itu pun roboh. Maka orang orangnya pun berterjunlah maka larilah ia ke Pinang Sekayuk. Maka diikuti oleh Bugis Bugis serta orang orang Sebukit serta Raja Rajanya hingga sampai ke perdalaman Pengeran Dipati itu, lalulah masuk dilihatnya sudah kosong tiada orangnyalagi tinggal, barang barangnya saja. Maka baginda baginda itupun berhentilah di Pinang Sekayuk itu muafakat.

Adapun orang orang Pinang Sekayuk yang lari lari itu ada yang berjalan darat, ada yang bersampan dan Pengeran Dipati serta Raja Raja pun mudiklah di hilir ke Kuala Sumpak Tambaong Bangsal. Kira kira dua hari Bugis Bugis pun datang pula melanggar disitu, lalu berperang ramai pula dengan orang orang Melayu, maka bertahanlah disitu. Kemudian lari pula dengan anak isterinya berjalan ke Pihar dan dari Pihar ke Sirai dan dari Sirai ke Mateloa lalu ke Sengat turun ke Tayan, lalu ke Meliau membuat tempat disitu. Maka tiada diikut oleh Bugis lagi. Maka segala orang orang Pinang Sekayuk pun bertaburanlah, ada yang tinggal di Pinang Sekayuk dan ada yang tinggal di Tambaong. Maka alahlah Pengeran Dipati itu adanya.

Adapun Pengeran Emas Seri Negara serta segala Raja Raja itu bermusyawarah lah ia hendak membetulkan segala Dayak Dayak yang takluk Pinang Sekayuk yang tiada dipulangkan oleh Pengeran Dipati kepada anak Panembahan Sanggau yang bernama Emas Indera Wati, ibu Puteri Kesumba kerana waktu Panembahan Sanggau mangkat, segala pekakas Kerajaan dan lain lainnya semuanya dipulangkan oleh Pengeran Dipati kepada Emas Indera Wati itu. Hanyalah segala pemerintahan Dayak juga yang tiada hendak dipulangkannya. Syahadan pada masa perang inilah baharu Dayak Dayak itu pulang kepada pemerintahan Mempawah, sebab Dayak Dayak itu baharu tahu akan Emas Indera Wati itu anak Panembahan Sanggau. Adalah banyak negeri negeri Dayak itu tiga puluh buah negeri itulah yang dibicarakan oleh Raja Raja itu. Syahadan berhimpunlah segala kepala kepala Dayak itu mengadap Pengeran Emas Seri Negara lalu bersumpah setia yang ia tiada ingkar sekali daripada perintah Mempawah.


Maka apabila sudah selesailah daripada membetulkan Dayak itu, maka segala Raja Raja itu pun hilirlah ke Sebukit. Maka apabila sampai ke Sebukit duduklah bersuka sukaan. Maka ada kira kira tujuh hari, maka Yang DiPertuan Muda pun mohonlah hendak balik ke Riau dan Pengeran Mangkubumi pun demikian juga. Maka belayarlah Yang DiPertuan Muda balik ke Riau dan Pengeran Mangkubumi pun belayarlah juga balik ke Sambas. Maka Pengeran Emas Seri Negara pun menghantarlah laki isteri hingga sampai ke kuala. Adapun Yang DiPertuan Muda pun belayarlah menuju negeri Riau dan Pengeran Mangkubumi pun belayarlah menuju negeri Sambas semula”.

(bersambung ke bahagian ke sepuluh...)







No comments:

Post a Comment