Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Saturday, December 5, 2015
13. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke tiga belas...
Pada 7 Julai 1740 (bersamaan 13 Rabiul Akhir 1153 Hijrah), baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pun keluar belayar ke Ungaran (dekat Pulau Kundur), manakala Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak telah pun berangkat lebih awal lagi iaitu tidak lama setelah selesai perkahwinan puteri baginda Sultan Sulaiman yang bernama Raja Bulang dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu, (Tengku Dalam) anak Sultan Zainul Abidin Syah di Riau pada tahun 1739 (1152 Hijrah), untuk memeriksa segala laut laut disebelah barat. Yang DiPertuan Muda kemudiannya telah pergi ke Muar setelah mendapat khabar bahawa Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak serta mertuanya Daeng Matekkuh yang lari dari Siak akibat kalah perang saudara disana, telah pergi ke Muar. Apabila Sultan Sulaiman mendengar bahawa Yang DiPertuan Muda telah pergi ke Muar maka baginda pun berangkat ke Muar.
Apabila Yang DiPertuan Muda tiba di Muar, dilihatnya seolah olah Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak serta mertuanya hendak memerintah Muar, lalu disuruhnya mereka keluar dari Muar. Apabila Sultan Sulaiman tiba, baginda pun berbicaralah menyuruh Sultan Mahmud yang merupakan anakanda saudara baginda itu untuk keluar, tapi belum juga mahu ia bergerak. Maka murkalah Yang DiPertuan Muda dan menyuruh mengisi meriam dan bertitah, “Rapat bedil”, lalu rapatlah panglima panglima angkatan perang Riau dan dibedilnya angkatan perang Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak. Maka Sultan Mahmud pun keluar lah dari Muar dan tertinggallah beberapa pucuk meriam lalu diambil oleh orang orang Riau.
Setelah itu Yang DiPertuan Muda dan Sultan Sulaiman pun baliklah keRiau. Tidak berapa lama setelah itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun membawa isterinya Tengku Puan Mandak melawat Selangor dan telah diberikan sambutan istemewa oleh Yang Dipertuan Selangor. Setelah beberapa hari lamanya di Selangor, Yang DiPertuan Muda dan isterinya pun baliklah ke Riau.
Tidak berapa lama kemudian, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pergi lagi ke Selangor dan telah berkahwin dengan Daeng Ma’asik anak seorang Raja Bugis bernama Arung Pala, dan kemudiannya membawa isterinya itu balik ke Riau.
Pada 7 September 1740 (bersamaan 16 Jumadil Akhir 1153 Hijrah), Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pergi lagi ke Selangor. Apabila sampai di Selangor, terjadilah perselisihan dengan negeri Perak di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13) kerana Sultan Perak berkeras tidak mahu berdamai dengan adinda nya iaitu Yang DiPertuan Muda Perak. Oleh kerana itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun memimpin angkatan perangnya dan orang orang Bugis Selangor untuk pergi membantu Yang DiPertuan Muda Perak yang bersemayam di Pulau Tiga (di tepi Sungai Perak).
Setibanya di Perak, maka berperanglah angkatan perang Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak serta orang orang Bugis Selangor dengan angkatan perang Sultan Perak. Berbedil bedilan dengan meriam dan senapang terakul serta pemburasnya. Lalu dirapati oleh orang orang Bugis akan kubu kubu Sultan Perak itu dan dapatlah dua tiga buah kubu sehari itu. Kemudian nya pergi menyerang pula kubu kubu lain dengan merapatkan segala kelengkapan perangnya lalu membedil kubu kubu itu, sementara sebahagian lagi orang orang Bugis datang menyerang menerusi jalan darat. Tidak lama kemudian dapatlah orang orang Bugis mengambil alih semua kubu kubu itu dan kalah lah angkatan perang Sultan Perak itu.
Apabila telah selesai perang itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak serta orang orang besar Perak pun menabalkan Yang DiPertuan Muda Perak menjadi Sultan Perak bergelar Sultan Muhammad Shah. Kemudian nya di adakan perjanjian setia diantara Sultan Perak yang baru ini dengan Yang DiPertuan Selangor. Menurut riwayatnya, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak tinggal agak lama juga di Perak.
Setelah itu barulah balik semula ke Selangor dan dari Selangor, setelah dijemput oleh anak anak Raja dari Riau barulah Yang DiPertuan Muda balik ke Riau pada tahun 1743. Apabila sampai di Riau, Yang DiPertuan Muda lalulah mengadap Sultan Sulaiman dan menceritakan mengenai hal menang perang nya di Perak. Setelah itu tetaplah Yang DiPertuan Muda di Riau.
Pada masa itu keadaan di Riau telah bertambah ramai dan makmur serta perniagaannya pun bertambah maju. Banyaklah pedagang pedagang yang datang dan ada yang dari negeri yang jauh jauh pun datanglah berniaga di Riau. Kapal kapal dari Bengal datang membawa opium dan lain dagangan, serta kapal kapal dari Tanah Jawa, Siam, Cina dan dari tanah Bugis (Sulawesi) juga datang di Kuala Riau dan didalam Sungai Riau. Pada masa itu jugalah, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak menyuruh Penggawa Tarum dan Penghulu Chedun mengambil benih gambir di Sumatera untuk dibawa ke Riau dan mulai menanam gambir. Setelah itu ramailah orang orang Bugis dan Melayu membuka beratus ratus ladang gambir di Riau. Jadi ramailah kuli kuli dari negeri Cina yang dibawa masuk untuk bekerja di ladang ladang gambir tersebut. Apabila telah menjadi gambir gambir tersebut, makin ramailah orang datang ke Riau membeli dan berniaga gambir. Maka baginda Sultan Sulaiman, Yang DiPertuan Muda serta Raja Indera Bungsu serta orang orang besar Riau sekelian banyaklah beroleh pendapatan hasil cukai cukai perniagaan dan kapal kapal serta perahu perahu dagang yang datang berlabuh. Jadi bertambah ramailah orang orang Riau yang kaya kaya. Orang Orang alim Arab pun ramailah yang datang ke Riau mengajar ajaran Agama Islam di masjid masjid. Kelengkapan perang dan kubu kubu pertahanan di Riau pun di perkuatkan lagi.
Sekitar dua tahun kemudian, dengan takdir Allah, Yang DiPertuan Muda pun jatuh sakit. Ada riwayat mengatakan bahawa enam hari sebelum mangkatnya Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak, Tun Dalam, Yang DiPertuan Terengganu yang merupakan menantu Sultan Sulaiman telah datang ke Riau, waktu itu umurnya sekitar dua puluh tahun. Ada yang mengsyaki bahawa kemangkatan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak disebabkan kena racun, iaitu hasil daripada rancangan Tun Dalam. Tetapi itu Cuma syak wasangka sahaja kerana melihatkan telatah Tun Dalam yang tidak sukakan orang orang Bugis memegang kekuasaan yang berlebihan di Riau itu, tapi tiadalah ditemui sebarang bukti.
Kemangkatan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Syahadan kata sahibul hikayat pada sanat 1158 (tahun 1745), tahun alif, maka geringlah Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak. Maka tiada berapa lamanya gering itu lalulah mangkat, iaitu pada tujuh belas Rabiul Akhir (18 Mei 1745). Maka gemparlah didalam negeri Riau serta dukacitalah isi negeri apa lagi Sultan Sulaiman tersangatlah besar percintaannya. Sementelah nya pula memandangkan paduka anakanda kedua itu, iaitu Tengku Putih dan Tengku Hitam, makin hancurlah hatinya.
Syahadan Sultan Sulaiman pun mengkuburkan lah sebagaimana adat istiadat Raja besar besar mangkat. Maka berkabunglah orang orang Riau empat puluh hari, betapa adat istiadat Raja yang besar besar mangkat.
Sebermula kata sahibul hikayat, adapun Sultan Sulaiman apabila sudah hilang paduka adinda baginda itu, maka kesusahanlah hendak mencari ganti seperti yang didalam sumpah setia antara Bugis dengan Melayu. Maka tiada lain yang patut gantinya melainkan Daeng Kembuja dan sungguh pun ada putera adinda itu Raja Haji belum juga patut kerana mudanya. Dan ada seorang putera paduka adinda baginda itu Raja Lumu, maka iaitu puteranya pada pihak negeri Selangor, melainkan Daeng Kembuja juga kerana ia lebih tua, serta kesukaan muafakat segala Bugis Bugis. Maka tetaplah kepada Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda. Maka bermohonlah Daeng Kembuja hendak ke Selangor dahulu kerana hendak muafakat dengan paduka adinda Yang DiPertuan Selangor (Raja Lumu) putera Marhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak. (Raja Lumu telah pun diangkat oleh orang orang besar Selangor menjadi Yang DiPertuan Selangor). Maka dilepaskan lah oleh Sultan Sulaiman, maka Daeng Kembuja berlayarlah ke Selangor bersama sama paduka adindanya Raja Sa’id, putera Opu Daeng Merewah Kelana jaya Putera. Maka apabila tiba di Selangor, muafakatlah ia dengan paduka adinda sekelian serta segala Bugis Bugis yang di Selangor hingga setahun lamanya. (Menurut setengah riwayat: dimasa Daeng Kembuja di Selangor, ia telah diangkat oleh orang orang Bugis di Selangor menjadi Yang DiPertuan Muda Riau).
Syahadan kemudian daripada itu maka Sultan Sulaiman pun berangkat ke Muar, sanat 1159 (tahun 1746). Adalah yang mengiringnya Raja Kecik Terengganu. Kemudian balik ke Riau.
Syahadan berangkat baginda itu ke Siak (pergi menziarahi adinda baginda yang mangkat di Siak iaitu Tengku Kamariah, Raja Perempuan Siak). Masa baginda itu balik dari Siak inilah, Raja Buang Sultan Mahmud Siak minta ampun pada baginda (kerana berlaku nya perang di Muar dahulu) serta menyerahkan dirinya. Maka di ampuni oleh baginda serta bermaaf maafan dengan Raja Raja peranakan Bugis”. Pada waktu Daeng Kembuja pun telah balik ke Riau apabila telah selesai bermuafakat di Selangor.
Pada bulan Mei tahun 1746 itu juga, Sultan Sulaiman bersama sama putera baginda Raja Abdul Jalil (Raja di Baroh) telah pergi ke Melaka lalu membuat perjanjian dan memperbaharui persahabatan dan perniagaan antara Kerajaan Johor- Pahang- Riau- Lingga dengan orang orang Belanda. Berkenaan dengan negeri Siak, baginda menyerahkan kepada pertimbangan Gabenor-Jenderal Kompeni Belanda di Betawi menentukannya.
Pada 17 Januari tahun 1748 barulah Sultan Sulaiman melantik Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Raja Haji dilantik menjadi penolong kepada Yang DiPertuan Muda bergelar Engku Kelana. Tidak lama setelah itu, pada 31 Januari, isteri almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak yang bernama Tengku Mandak pun mangkat dan di makamkan di sebelah makam suami nya.
Tidak lama kemudian, Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja pun berangkatlah ke Selangor dan membawa paduka adinda Raja Haji bersamanya. Apabila tiba di Selangor, lalu di kahwinkan lah Raja Haji dengan Raja Aisyah puteri almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah Kelana Jaya Putera, menurut adat Raja Raja bernikah kahwin. Maka tetaplah Raja Haji suami isteri itu di Selangor. Tidak berapa lama setelah itu, Raja Aisyah pun mangkat. Raja Haji kemudiannya beristeri pula dengan anak Raja Amran yang bernama Engku Sejuk. Setelah itu Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja dan Raja Haji pun baliklah dan bersemayam di Riau.
(bersambung ke bahagian ke empat belas...)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment