Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Friday, December 4, 2015
11. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sebelas...
Pada tahun 1735, sewaktu Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak memeriksa teluk rantau sebelah Johor dan Singapura serta Ungar, Buru, Karimun dan Perbatinan Enam Suku, Sultan Sulaiman mendapat khabar daripada orang orang Rantau bahawa Raja Kecik Yang DiPertuan Siak telah mempersiakkan kira kira enam puluh buah penjajab yang tahan meriam besar hendak pergi menyerang Riau. Maka Sultan Sulaiman pun terkejutlah sebab bercanggah dengan cakapnya sewaktu duhulu datang dengan Daeng Matekko di Riau. Sultan Sulaiman pun menyuruh memberitahu Yang DiPertuan Muda untuk segera balik ke Riau.
Apabila Yang DiPertuan Muda telah sampai di Riau, maka diaturnya lah segala penjajabnya itu dari Tanjung Pinang hingga Senggarang. Ada kira kira tiga hari barulah nampak segala kelengkapan perang Raja Kecik menyeberang dari Selat Tiong dan beratur dekat Pulau Penyengat kerana tidak dapat hendak masuk ke dalam Riau sebab sudah di tunggu oleh kelengkapan perang Riau. Ketika itu banyaklah perahu perahu dagang berhimpun didalam Sungai Riau dan ramailah orang orang Riau berkumpul diatas bukit Tanjung Pinang hendak melihat orang berperang, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Syahadan ada kira kira tujuh hari belum juga Raja Kecik melanggar kerana ia lagi musyawarah dengan menteri menterinya kerana masa itu negeri Riau sudah kukuh serta orang pun dengan ramainya serta makmur. Maka didalam hal itu Yang DiPertuan Muda pun menyuruh melanggar ke Penyengat, iaitu pada tujuh haribulan Safar (27haribulan Jun), waktu tengahari. Maka berperanglah antara keduanya berbedil bedilan dengan meriam dan lela rentaka, iaitu pada hari Arbaa. Maka banyaklah binasa kelengkapan Raja Kecik itu, kerana alat kelengkapan Riau banyak besar meriamnya dan pendayungnya orang rakyat dan pertikamannya Bugis. Adapun Raja Kecik, pendayungnya orang orang rantau dan pertikamannya Minangkabau darat. Maka banyaklah ganggunya pada pekerjaan perang dilaut. Sementelahnya pula Bugis Bugis merapati dengan sampan sampan dengan terakul dan pemburasnya. Maka binasalah orang orangnya serta beberapa panglimanya mati sehari perang itu. Maka pada malamnya itu Raja Kecik pun pecahlah perangnya, bertaburan kesana kemari membawa dirinya, sebab hari malam. Maka Raja Kecik pun larilah belayar sebuah sendiri bercerai berai dengan segala perahu perahunya yang banyak, masing masing membawa haluannya, ada yang ke Lobam dan ke Selat Tiong. Maka pada siang harinya hilanglah segala kelengkapan Raja Kecik itu, lepaslah selalu balik ke Siak dengan kerugian dan kerosakannya adanya.
Syahadan maka Sultan Sulaiman serta Yang DiPertuan Muda pun turunlah ke kenaikan masing masing mengikut Raja Kecik itu. Apabila sampai ke Ungaran, maka Raja Kecik pun sudah lepaslah ke dalam Siak. Maka baginda Sultan Sulaiman pun berangkat ke Pahang lalu ke Terengganu, iaitu pada dua puluh haribulan Rabiul Akhir sanat 1148 (7 haribulan September 1735). Apabila sampai di Pahang, lalu membuat dewal (dinding atau tembok keliling) makam Marhum Sultan Abdul Jalil Mangkat di Kuala Pahang. Kemudian baginda pun ke Terengganu. Maka tiada berapa antaranya datanglah Encik Hitam, orang Tembelan, mendapat khabar Raja Kecik akan ke Terengganu. Setelah baginda mendengar khabar itu, maka menyuruhlah ia membuat kubu di Kuala Terenggani itu. Syahadan didalam hal itu maka Raja Indera Bungsu serta Daeng Kembuja putera Opu Daeng Parani pun datanglah dari Riau disuruh Yang DiPertuan Muda itu menyilakan Sultan Sulaiman balik ke Riau, iaitu pada selekur haribulan Jamadul Akhir, sanat 1149 (25 haribulan Oktober 1736). Maka apabila tiba baginda itu ke Riau duduklah baginda itu bersama sama Yang DiPertuan Muda meramaikan negeri Riau serta mengukuhkan dia.
Syahadan kemudian daripada itu maka datanglah Haji Rembau membawa khabar mengatakan Raja Kecik kembali dari Siantan. Kemudian Panglima Bungsu pun datang dari Ungaran, membawa khabar bukannya Raja Kecik hendak melanggar Riau, hanyalah anaknya saja konon. Syahadan titah Yang DiPertuan Muda, “Apalah kita gaduhkan, biarlah dia datang yang dia laki laki yang kita laki laki juga, dan laki laki dia pun sudah kita tahu”. Maka baginda dan Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah pergi bermain main ke Pengujan pergi membayar kaul nazar di Pengujan, iaitu pada dua puluh Muharram, sanat 1150 (20 haribulan Mei 1737).
Kemudian datanglah Encik Asar memaklumkan hal Raja Alam anak Raja Kecik datang ada di Kuala Riau, ada enam puluh dua kelengkapan. Maka baginda serta Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah masuk ke Riau. Maka lalulah Yang DiPertuan Muda menyuruh periksa Raja Alam itu hendak baikkah atau hendak jahat? Maka tiada satu jawabnya. Maka Yang DiPertuan Muda pun sangatlah murkanya, lalu disuruhnya dua orang panglimanya, titahnya,”Pergi langgar si Alam itu, bongkak benar! Mengapa bapanya tidak datang?”. Maka kedua panglima itu pun pergilah serta dengan marah rupanya itu.
Maka apabila sampai ke Tanjung Sebadam lalu berperang dengan segala kelengkapan Siak itu berbedil bedilan dengan meriam. Seketika berperang itu turunlah rebut selatan maka perahu Panglima Bungsu dan perahu Encik Kalang terdamparlah ke darat. Maka dikerumunilah oleh orang Siak perahu itu. Maka kedua panglima itupun berlepas dirinya dengan sampan, mudik ke hulu menghadap Yang DiPertuan Muda. Adapun orang orang Siak merampaslah perahu kedua panglima itu segala senjata senjatanya dan perkakasnya, mana mana orang yang tertinggal itu beramuk amuklah bermati matian. Kemudian Raja Alam pun berdayunglah mudik hendak mengambil Batangan.
Syahadan adapun kedua panglima itupun diberi oleh Yang DiPertuan Muda dua buah gurub yang besar serta beberaja penjajab lalulah hilir. Apabila sampai ke Sungai Payung lalu berperang dengan berbedil bedilan dengan meriam dan lela rentaka serta dirapati oleh Bugis dengan sampan sampannya. Adapun anak Raja Raja Bugis seperti Daeng Kembuja (anak Opu Daeng Parani) dan Raja Said dan Raja La Mampak Unuk (kedua duanya anak Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah) adalah menjaga kubu di Kota Ranting serta dekat kelengkapan Siak. Lalu dibedilnya dengan beberapa meriam dan lela dengan peluru tunggal. Maka banyaklah binasa orang Siak. Maka Raja Alam pun undur ke Kampung Bulang, lalu dirampasnya sebuah wangkang (perahu besar) perdagangan serta sampan kotak dan sebuah selub (kapal bertiang satu) orang Semarang. Maka wangkang itu diperbuatnya kota berjalan dirantainya dilaut Kampung Bulang.
Syahadan Yang DiPertuan Muda menyuruh Datuk Mata Mata menyuruh mudikkan segala perahu perahu itu ke hulu berkumpul. Maka mudiklah segala perahu perahu itu berlapis lapis berpuluh buah. Kemudian maka disuruh Yang DiPertuan Muda segala penjajabnya itu berperang semula melanggar Kampung Bulang itu. Maka Raja Alam pun undurlah ke Sungai Tarum lalu ia mudik membuat kubu. Maka Yang DiPertuan Muda pun murkalah lalu ia sendiri menarik narik jalur jalur dan sampan sampan penjajab dari Simpang Kiri. Maka teruslah penjajab ke Sungai Tarum. Maka lalu Yang DiPertuan Muda serta Punggawa melanggar kubunya dan perahu perahunya yang ada di situ. Maka lalu beramuk amukan, maka jadilah besar perang hari itu. Maka dengan takdir Allah taala menolong orang Riau pada ketika itu, seorang pun tiada mati apa lagi luka.
Syahadan tewaslah Raja Alam lalu lari ke Tanjung Sebadam. Maka dapatlah kota wangkang itu serta selub Semarang itu dan beberapa meriam dan lela lela yang dapat. Syahadan perang itu sampai malam. Kemudian apabila subuh subuh Arbaa pada 17 haribulan Rabiul Akhir, sanat 1150 (13 haribulan Ogos 1737). Maka Yang DiPertuan Muda pun melanggar Tanjung Sebadam itu. Maka Raja Alam serta Daeng Matekko dan Raja Emas berterjunlah ke perahu masing masing lalu undur lari ke Kuala Riau. Maka bersoraklah orang orang Riau sebab menang itu.
Syahadan pada delepan belas bulan tersebut itu, pada malam, maka Raja Alam pun larilah. Maka banyaklah kelengkapannya tertinggal apa lagi sampan sampannya. Maka Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda pun mudiklah ke hulu lalu berjamu jamu segala menteri hulubalangnya sekelian serta diberinya persalinan mana mana yang sepatut baginda. Syahadan kemudian daripada itu Yang DiPertuan Muda pun menggelar Tun Abdullah menjadi Raja Tua. Maka duduklah baginda serta Yang DiPertuan Muda serta Raja Indera Bungsu serta Raja Tua bersuka sukaan.
Kemudian daripada itu maka baginda Sultan Sulaiman serta Yang DiPertuan Muda menikahkan putera baginda yang perempuan bernama Raja Bulang dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu, anak Sultan Zainul Abidin Syah betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin, iaitu pada Hijrah sanat 1152 (tahun 1739). Maka berkasihan lah kedua laki isteri. Syahadan pada empat belas haribulan Muharram hari Khamis, maka matilah Raja Tua Tun Abdullah kembali ke negeri yang kekal adanya.
(bersambung ke bahagian ke dua belas...)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment