Pada tahun 1723, tidak berapa
lama setelah penabalan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah serta Yang
DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah memerintah Kerajaan Johor, Riau dan
Pahang dengan segala takluk daerahnya, Opu Daeng Perani pun bermohonlah
kepada Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda hendak pergi ke Selangor.
Maka di perkenankanlah oleh paduka adinda kedua itu. Lalu berangkatlah
Opu Daeng Perani berserta dengan dua orang saudaranya iatu Opu Daeng
Menambun dan Opu Daeng Kemasi, dengan seorang sebuah perahunya.
Apabila sampai di Selangor, Opu Daeng Perani pun beristerikan Tengku
Puan Berima, puteri Yang DiPertuan Selangor iaitu seorang Raja Bugis
yang berasal Goa ditanah Bugis bernama Arong Pasarai. Semasa di Selangor
inilah, datang utusan daripada Raja Kedah (Sultan Muhammad Jiwa Zainal
Adilin Muadzam Shah II), membawa surat meminta bantuan kepada Opu Daeng
Perani kerana Kerajaannya telah dirampas oleh adindanya (Raja Nambang).
Lalu dibalas oleh Opu Daeng Perani akan surat Raja Kedah itu meminta
tangguh kerana hendak balik dulu ke Riau untuk bermuafakat dulu dengan
saudaranya serta Sultan Sulaiman. Kemudiannya Opu Daeng Perani berserta
Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi pun berangkatlah balik ke Riau.
Apabila tiba di Riau, Opu Daeng Perani pun memaklumkan lah kepada
Sultan Sulaiman serta kedua paduka adindanya iaitu Yang DiPertuan Muda
Opu Daeng Merewah dan Opu Daeng Cellak. Setelah bermesyuarat dan
setelah dipersetujui oleh semua saudara saudaranya dan Sultan Sulaiman,
lalu disiapkanlah angkatan perangnya untuk pergi membantu Raja Kedah
seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka Yang DiPertuan Muda serta Opu Opu itu pun bermohonlah kepada
Sultan Sulaiman lalulah ia berlayarlah ke Kedah. Maka apabila sampai ke
Kedah berjumpalah ia dengan Raja Kedah yang tuanya itu. Maka lalu
berjanji Raja Kedah dengan Opu Opu itu apabila hasil maksudnya maka ia
memberi hadiah kepada Opu Opu itu lima belas bahara (timbangan berat)
ringgit. Maka jawab Opu Opu itu, “Mana mana suka Raja Kedah, kerana saya
semua ini kemari tiada lain hanyalah menolong Raja Kedah jua adanya”.
Syahadan maka Opu Opu itu pun mengumpulkan segala Bugis Bugis yang
sedia ada memang di dalam Kedah lalu diperiksanya, “Sebelah mana dirimu
semua ini jika aku berperang dengan Raja Kedah yang muda itu kelak? Maka
jawab mereka itu, “Adapun yang patik semua ini tiada tuan patik semua
yang lain, melainkan tuanku lah adik beradik”. Maka jawab Opu Opu itu,
“Baiklah nanti aku hendak melantik Raja Kedah yang tua dahulu menjadi
Yang DiPertuan Kedah”. Syahadan apabila keesokkan harinya maka Opu Opu
itu pun melantiklah Raja Kedah yang tuanya jadi Yang DiPertuan Kedah.
Syahadan kata sahibul hikayat apabila Raja Kedah yang muda itu
mendengar saudaranya itu di lantik oleh Yang DiPertuan Muda Riau serta
Opu Opu Raja Bugis, maka ia pun sangatlah marahnya. Maka lalu ia
mengumpulkan hulubalang menterinya serta beberapa rakyat tenteranya.
Maka sudah kumpul, baharulah ia pergi melanggar kota Raja Kedah yang tua
itu. Maka berperang besarlah dengan Yang DiPertuan Muda Riau serta
segala saudaranya. Maka sangatlah ramainya sebelah menyebelah, dengan
gegak gempitanya daripada bunyi meriam dan senapang dan bunyi bahana
sorak tempiknya, maka bermati matilah antara kedua pehak itu. Syahadan
ada kira kira sebulan lamanya ia berperang itu, maka pecahlah perang
pihak Raja Kedah yang muda itu kerana banyak panglimanya mati. Maka lalu
undur ia membawa dirinya kepada tempat yang jauh. Syahadan orang orang
Bugis serta orang orang Riau masuklah ke pendalaman Raja Kecik yang muda
itu, merampaslah ia.
Syahadan apabila sudah selesai daripada
perangnya itu, maka Yang DiPertuan Muda serta Opu Opu itu pun
berjumpalah dengan Yang DiPertuan Kedah, hendak minta balik kerana
pekerjaan sudah selamat. Maka dibayarlah oleh Yang DiPertuan Kedah itu
tiga bahara ringgit, yang selaginya itu ia bertangguh. Maka apabila
selesai, Yang DiPertuan Muda serta saudara saudaranya pun belayarlah ke
Riau. Maka apabila tiba di Riau mengadaplah sekelian Opu Opu itu akan
baginda Sultan Sulaiman menceritakan pekerjaan menang perang Kedah itu.
Kata setengah kaul beristeri pula Opu Daeng Parani akan saudara Yang
DiPertuan Kedah (yang bernama Tunku Aisyah), mendapat seorang anak
perempuan.
Syahadan maka tiada berapa lama maka Opu Daeng
Menambun serta Opu Daeng Kemasi bermohonlah kepada saudaranya Yang
DiPertuan Muda serta Sultan Sulaiman hendak balik ke Matan. Maka
diizinkanlah oleh Yang DiPertuan Muda serta Sultan Sulaiman, maka
belayarlah Opu Daeng Menambun serta Opu Daeng Kemasi balik ke Matan
adanya, kerana Raja Sambas yang bernama Sultan Adil berkirim surat
kepada Yang DiPertuan Muda serta saudaranya menyilakan ke Sambas. Adalah
maksudnya itu hendak didudukkannya dengan saudaranya salah seorang
daripada Opu yang lima beradik. Syahadan adapun Opu Opu yang lima
beradik itu masing masing sudah ada ketetapannya halnya, hanyalah Opu
Daeng Kemasi sahaja yang belum tentu ketetapannya. Maka sebab itulah
Opu Daeng Menambun dibawanya juga, demikianlah kisahnya.
Syahadan
tiada berapa lamanya tibalah ia di negeri Sambas, lalu masuklah ke
Kuala Sambas. Maka turunlah segala orang besar besar menyambut disuruh
oleh Raja Sambas itu. Maka berjumpalah Opu Daeng Menambun berdua saudara
dengan Sultan Adil itu, dipermuliakannya betapa adat Raja Raja
berdatang datangan. Syahadan tiada berapa antaranya maka Sultan Adil pun
menikahkan Opu Daeng Kemasi dengan saudaranya yang bernama Raden
Tengah, betapa adat istiadat Raja yang besar besar nikah kahwin
demikianlah halnya. Kemudian maka Sultan Adil pun menggelar Opu Daeng
Kemasi itu Pengeran Mangkubumi, memerintahkan Kerajaan Sambas dibawah
Sultan itu demikianlah halnya.
Syahadan adapun Opu Daeng Menambun
apabila sudah selesai paduka adinda nikah kahwin dan bergelar itu, maka
ia pun bermohonlah kepada Raja Sambas hendak balik ke Matan. Setelah
itu maka lalulah ia berlayar ke Matan. Apabila sampai ia ke Matan maka
Sultan Muhammad Zainul Din pun menyuruh menyambut menantunya itu. Maka
apabila Opu Daeng Menambun berjumpa dengan mertuanya maka digelarnya Opu
Daeng Menambun itu Pengeran Emas Seri Negara, isterinya digelarnya Ratu
Agung Sinuhun, iaitu Puteri Kesumba. Kemudian jadilah Pengeran Emas
Seri Negara itu Raja memerintahkan negeri Mempawah. Maka tetaplah Opu
Daeng Menambun jadi Raja didalam negeri Mempawah adanya”.
(bersambung ke bahagian ke lapan...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment