Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, November 15, 2015

6. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke enam...

Pada tahun 1722 itu juga, tidak berapa lama setelah habis perang kedua untuk mengambil Riau, Opu Daeng Perani berserta saudara saudaranya pun bermesyuarat lah dengan Raja Sulaiman, Tun Abbas, Temenggung dan Raja Indera Bungsu sekelian. Adapun maksud Opu Daeng Perani berserta saudara saudaranya ialah untuk menabalkan Raja Sulaiman menjadi Sultan Kerajaan Johor dengan seluruh takluk daerahnya menggantikan almarhum ayahandanya, Sultan Abdul jalil yang mangkat di Kuala Pahang. Bagaimanapun tersangkut pula aral kerana semua alat alat kebesaran Kerajaan Johor seperti cogan sireh besar, semberab (kelengkapan sirih DiRaja), pedang kerajaan dan lainnya seperti Lela Majnun dan keris panjang serta lain nya berada didalam simpanan Raja Kecik tatkala ia bernobat didalam Riau dahulu. Raja Sulaiman pun memintalah bantuan kepada Opu Daeng Perani berserta saudara saudaranya untuk membantu mengambil kembali alat alat kebesaran Kerajaan Johor daripada Raja Kecik di Siak. Lalu dibuat lah perjanjian seperti yang di sebut didalam kitab Salasilah Melayu dan Bugis tulisan Raja Ali Haji seperti berikut:-

Opu Daeng Perani pun berkata, “Adapun yang seperti permintaan Raja Sulaiman kepada sahaya semua itu sahaya terimalah. Akan tetapi, hendaklah kita semua ini berjanji dahulu betul betul”. Maka jawab Raja Sulaiman, “Baiklah dan khabarkanlah oleh Opu Opu boleh sahaya dengar”. Syahadan berkata pula Opu Daeng Parani, “Adapun jika jaya pekerjaan sahaya semua ini sekali lagi pergi melanggar Siak itu maka sebelah Raja Sulaiman menjadi Yamtuan Besar sampailah kepada turun temurunnya dan sebelah sahaya semua menjadi Yamtuan Muda sampailah kepada turun temurunnya juga, tiada boleh yang lain. Maka boleh dipileh sahaja sahaya yang lima beradek ini mana mana jua yang disukai orang banyak maka dianya itulah yang jadi Yamtuan Muda, tiada boleh tiada. Dan lagi pula Yamtuan Besar jadi seperti perempuan sahaja, jika diberinya makan baharu makan ia. Dan Yamtuan Muda jadi seperti laki laki, dan jika ada satu satu hal atau apa apa juga bicara melainkan apa kata Yamtuan Muda. Syahadan sekelian perjanjian kita mana mana yang tersebut itu tiada boleh diubah lagi, maka boleh kita semua pakai sampai kepada anak cucu cicit turun temurun kita kekal selama lamanya”. Maka jawab Raja Sulaiman, “Baiklah”.

Apabila telah selesai daripada mesyuarat itu, Opu Daeng Perani berserta saudara saudaranya pun menyiapkan kelengkapan perangnya untuk pergi mengambil alat alat kebesaran Kerajaan Johor daripada Raja Kecik di Siak, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-


“Maka Kelana Jaya Putera serta saudaranya pun berangkatlah dengan beberapa kelengkapan pergi ke Siak. Maka apabila sampai ke Siak, lalu mudik ke Buantan. Maka apabila sampai ke Buantan itu lalu Opu Opu itu menyuruh kepada Raja Kecik minta alat kebesaran itu. Maka tiadalah Raja Kecik mau memulangkan. Maka marahlah Kelana Jaya Putera, maka lalu disuruhnya langgar negeri Siak itu. Maka berperang besarlah Minangkabau dengan Bugis.

Adapun Bugis berniaga didalam Siak itu masuklah ia menyebelah Kelana Jaya Putera, mangkin ramailah perangnya sebelah menyebelah. Maka tiada beberapa lamanya perang itu, maka Buantan pun alahlah. Maka Raja Kecik lari ke hulu dengan orang orangnya. Maka diikuti oleh Bugis hingga pada suatu tempat yang bernama Sinapalan. Maka naiklah Raja Kecik kedarat dan Bugis pun naik pula. Maka berperanglah pula disitu beramuk amukan. Maka terkepunglah Raja Kecik hampir hampir tewas. Maka tatkala itu minta amanlah ia serta memulangkan segala semberab Kerajaan Raja Sulaiman itu.

Syahadan kata sahibul hikayat apabila sudah dipulangkan oleh Raja Kecik akan segala semberab alat Kerajaan Johor itu, maka Kelana Jaya Putera dengan segala saudaranya itu pun berangkatlah balik ke Riau. Apabila sampai ke Riau, disambutlah oleh Raja Sulaiman dengan Tun Abbas, Temenggung dan orang orang besarnya akan Opu Opu itu, dengan beberapa kemuliaan, dan peti kerajaan itupun diarak orang oranglah dibawa naik kebalairung seri, lalu disimpan didalam istana Raja Sulaiman.

Maka tiada berapa lamanya, maka Kelana Jaya Putera serta segala saudaranya serta segala menteri hulubalangnya berkehendaklah menggantikan Raja Sulaiman itu akan kerajaan paduka ayahanda baginda Sultan Abdul Jalil, yang mangkat di Kuala Pahang itu. Maka dilantiknya Raja Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Maka berhimpunlah segala Bugis dan Melayu pada masa Opu Opu melantik Raja Sulaiman itu, betapa adat Raja besar berlantik. Ada yang berteriak mentauliahkan Kerajaan itu, iaitu Kelana Jaya Putera, padahal ialah berteriak sambil berdiri serta menghunus halamangnya katanya, “Barang tahu kiranya segala anak Bugis dan Melayu, maka adalah hari ini Raja Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah menjadi Raja Yang DiPertuan Besar memerintahkan negeri Johor dan Riau dan Pahang dengan segala takluk daerahnya!”. Maka menjawablah segala khayalak daripada orang besar besar dan kecil kecil katanya, “Daulat, bertambah daulat”. Kemudian baharulah disuruh bentara memanggil segala Raja Raja dan orang besar besar menjunjung duli seperti adat istiadat Raja Raja dan orang besar besar menjunjung duli pada hari bertabal adanya. Setelah selesailah maka baharulah berjamu sekelian orang yang didalam negeri Riau.

Maka apabila selesai Opu Opu itu daripada melantik Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah itu, maka bermuafakatlah pula Sultan Sulaiman dengan Tun Abbas akan membalas jasa Opu Opu Raja Bugis itu. Maka minta Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah akan Opu Opu itu, “Janganlah balik ke Bugis dahulu mintanyalah salah seorang daripada Opu Opu yang lima beradik itu menjadi Yang DIpertuan Muda memerintahkan Kerajaan Riau dan Johor dan Pahang dengan segala takluk daerahnya”.

Maka menjawablah Opu Daeng Parani, “Seperti saya semua adik beradik sama saja siapa siapa saja yang patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan tetapi yang saya seorang, tiada saya mau menjadi Raja kerana saya ini yang tua sekali, tiada lain hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat ini”. Maka menjawab pula Opu Daeng Menambun, “Saya ini tiada sanggup menjadi Yang DiPertuan Muda di tanah barat ini, kerana saya sudah berjanji dengan Sultan Matan akan memeliharakan negeri Mempawah, tiadalah saya mau mengecilkan hati mertua saya itu”. Maka menjawablah Opu Daeng Cellak, “Saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera, tiada saya mau menjadi Yang DiPertuan Muda”. Maka menjawab Opu Daeng Kemasi, “Adapun saya ini tiada berhajat menjadi Yang DiPertuan Muda di tanah barat kerana jauh amat dengan Bugis, bersalahan jikalau seperti di Matan dan Sambas itu mana mana kemuafakatan abang abang saya lah”. Menjawab pula Kelana Jaya Putera, “Adapun saya jikalau bercerai dengan saudara saudara saya, tiada saya mau menjadi Yang DiPertuan Muda ditanah barat ini”. Demikianlah kata sekelian Opu Opu itu.

Syahadan kata sahibul hikayat apabila Sultan Sulaiman mendengar perkataan segala Opu Opu itu, maka diamlah ia sejurus dan segala orang besar besar pun diamlah semuanya senyap sepi, tiada berkata kata dan berpandang pandangan sama sendirinya serta susah memikirkannya seolah oleh tiada berjalan maksud Sultan Sulaiman itu.

Syahadan berkata pula Daeng Menampuk dengan bahasa Bugis, “Janganlah kiranya paduka anakanda sekelian hampakan maksud Sultan Sulaiman itu, tiadalah sedap dihampakan, kerana yang kita pun mengangkat serta membesarkan akan dia, adapun titahnya atas paduka anakanda sekelian pastilah berlaku”. Maka berkata pula Opu Daeng Parani, “Seperti maksud paduka adinda itu tiada mau bercerai dengan kekanda dan adinda sekelian, maka iaitu pekerjaan mudah juga. Apabila paduka adinda memegang pekerjaan ditanah barat ini, tiadalah kekanda semua tinggalkan sebelum lagi ketetapan dan keteguhan jabatan paduka adinda, istimewa pula masa ini kita di dalam pergaduhan sehari hari. Di manakan dapat kekanda sekelian dapat bercerai dengan adinda?” Maka bertitah pula Sultan Sulaiman, “Adapun seperti adinda ini jikalau ditinggalkan sewaktu ini, adinda pun tiada sanggup menjadi Raja. Adapun kekanda sekelian sebagaimana kedudukan kekanda dan adinda semua di Bugis, begitu jugalah kedudukan disini”. Maka Daeng Menampuk pun berkata, “Anakanda Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi ini, kemudian kelak apabila selesai daripada pekerjaan kita, bolehlah balik ke Matan dan ke Sambas, kerana ketetapan disana ada dan seperti Opu Daeng Cellak janganlah bercerai cerai dengan anakanda Kelana Jaya Putera”. Maka bertitah pula Sultan Sulaiman, “Adapun seperti anakanda Opu Daeng Cellak ini, adalah niat anakanda hendak sudahkan saudara anakanda hendak dijadikan dengan saudara anakanda yang bernama Tengku Mandak”.

Syahadan kata sahibul hikayat apabila sudahlah selesai bermusyawarah Sultan Sulaiman dengan Kelana Jaya Putera serta Opu Opu sekelian, maka putuslah Kelana Jaya Putera menjadi Yang DiPertuan Muda dan Opu Daeng Cellak pun telah tentulah didudukkan dengan Tengku Mandak. Syahadan apabila sudah bersatulah faham segala Raja Raja itu, maka Sultan Sulaiman pun memulai pekerjaan melantik Yang DiPertuan Muda serta menikahkan Opu Daeng Cellak.

Syahadan apabila sampai waktu yang baik maka Sultan Sulaiman pun melantiklah Kelana Jaya Putera menjadi Yang DiPertuan Muda, memerintahkan Kerajaan Johor dan Pahang dan Riau dengan segala takluk daerahnya atas perintahan yang mutlak. Maka kelakuan melantik itu betapa adat istiadat melantik Yang DiPertuan Muda iaitu dipakaikan pakaian Kerajaan, diarak berkeliling negeri.

Kemudian baharulah naik keatas balai. Maka mengaruklah Yang DiPertuan Muda dihadapan, Yang DiPertuan Besar, demikian bunyi aruk itu jika diMelayukan daripada bahasa Bugis, “Yakinlah Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah, akulah Yang DiPertuan Muda yang memerintahkan Kerajaan mu. Barang yang tiada suka engkau membujur dihadapan mu aku lintangkan, dan barang yang tiada suka melintang dihadapan mu aku bujurkan. Barang yang semak berduri dihadapan mu, aku cucikan”. Demikianlah bunyi aruk itu. Maka apabila selesai daripada mengaruk itu, maka baharulah orang orang ramai mengaruk kepada Yang DiPertuan Muda. Kemudian baharulah naik ke istana santap nasi hadap hadapan. Setelah selesai daripada itu maka habislah pekerjaan Yang DiPertuan Muda itu.

Kemudian baharulah menikahkan Opu Daeng Cellak itu dengan saudara Sultan Sulaiman yang bernama Tengku Mandak betapa adat istiadat Raja besar besar bernikah kahwin, daripada pekerjaan berletak hinainya dan beraraknya dan bersanding sandingnya dan mandi mandinya. Kemudian baharulah berdamai ia laki isteri berkasih kasihan adanya.

Syahadan kata sahibul hikayat Opu Daeng Cellak inilah Raja Bugis yang baik parasnya dengan sikapnya dan pahlawan rupanya. Syahadan apabila selesai nikah Tengku Mandak itu, maka Daeng Menampuk pula dinikahkan oleh Sultan Sulaiman dengan bonda saudaranya bernama Tun Tipah. Adapun Daeng Massuro dinikahkan dengan Tun Kecik sepupu baginda Sultan Sulaiman. Adapun Daeng Mangngatuk dinikahkan dengan Tun Inah sepupu baginda Sultan Sulaiman itu juga, iaitu puteri Marhum Muda yang mangkat di Kayu Anak.

Sebermula adapun Yang DiPertuan Muda Kelana Jaya Putera pergilah ia ke Perapat Seratus dengan suruh Sultan Sulaiman mengambil Tun Encik Ayu janda Mahrum Mangkat DiJulang yang belum setiduran dengan dia, kerana Tun Encik Ayu lagi kecil dibuatnya isteri, jadi tiadalah sempat diperisterinya. Syahadan apabila sampailah Yang DiPertuan Muda itu ke Perapat Seratus lalulah dibuatnya isteri Tun Encik Ayu itu, maka dibawanya balik keRiau". Jadilah ia isteri yang khas kepada Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah, yang bergelar Sultan Alauddin Syah Ibni Upu, seperti yang tertulis pada cap mohornya itu.
Tidak berapa lama kemudian Sultan Sulaiman pun melantik kekanda baginda Tun Abbas menjadi Bendahara Johor - Riau dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja. Manakala Daeng Menampuk pula di gelar oleh Yang DiPertuan Muda dan Sultan Sulaiman dengan gelaran Raja Tua iaitu jawatan dibawah Yang DiPertuan Muda.

Pada masa bulan Oktober tahun 1722 ini jugalah, satu perjanjian sumpah setia diantara pehak orang orang Bugis di Riau yang diketuai oleh Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah dengan pehak orang orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Sulaiman telah dibuat, dengan bersumpah bersaksikan Al Quran, mengakui bersaudara dan bertolong tolongan antara kedua belah pehak serta syarat syarat dalam persetiaan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua belah pehak sebelum ini untuk mematuhinya.

(bersambung ke bahagian ke tujuh...)

No comments:

Post a Comment