Pada masa Raja Raja Bugis lima
bersaudara berada di Selangor untuk menambah kelengkapan perang serta
tentera bugisnya, telah berlaku peristiwa penganiayaan Penghulu Linggi
terhadap nelayan nelayan Bugis yang memasang belat untuk menangkap ikan
di Kuala Linggi (di dearah Negeri Sembilan) apabila ia mengarahkan orang
orang suruhannya pergi kesana untuk memungut hasilnya. Tetapi tidak
diberinya oleh nelayan nelayan Bugis sebab katanya kerja nya menangkap
itu bukan di dalam Linggi tetapi di laut, jadi kalau ada rezekinya
dapatlah ikan dan kalau tidak ada, tidaklah dapat. Lalu baliklah orang
orang suruhan itu memberitahu kepada Penghulunya dan marahlah Penghulu
Linggi serta memerintahkan beberapa lagi orang orangnya untuk pergi
menangkap nelayan nelayan Bugis itu. Maka terjadilah perkelahian serta
bertikam tikaman dan cedera luka lah beberapa orang, lalu berundurlah
orang orang Linggi itu pergi meminta bantuan lagi kepada Penghulunya.
Apabila nelayan nelayan Bugis melihat orang orang Linggi itu telah
balik,maka mereka pun balik ke Selangor.
Tidak lama kemudian
ramai lagilah orang orang Penghulu Linggi itu datang dan apabila
dilihatnya nelayan nelayan Bugis itu sudah tiada, dan yang tinggal
hanyalah belat menangkap ikan, lalu diambilnya lah belat itu dibawa
kepada Penghulu Linggi. Lalu ia pun menyuruh orang orang mencencang
cencang belat nelayan nelayan Bugis itu dan di suruhnya menghantar ke
Selangor kepada Opu Daeng Merewah dan saudara saudaranya. Apabila sampai
orang orang suruhan Penghulu Linggi serta dengan belat yang telah
dicencang cencang itu, maka marahlah Raja Raja Bugis lima bersaudara
kerana bongkaknya Penghulu Linggi itu. Apabila telah balik orang orang
suruhannya itu, Penghulu Linggi pun berkerahlah anak anak buahnya untuk
membuat kubu, kerana pada masa itu Linggi adalah dibawah jajahan Raja
Kecik.
Adapun Opu Daeng Merewah serta saudara saudaranya dan
menteri menterinya apabila telah siap segala kelengkapan perangnya, maka
berangkatlah ke Linggi, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al
Nafis seperti berikut:-
“Apabila sampai ke Linggi lalulah masuk
ke dalam Sungai Linggi sambil disuruhnya amuk kubu kubu itu, dengan
sebentar itu juga kubu kubu itu didapatnya. Setelah Penghulu itu melihat
hal yang demikian itu, maka lalu ia berkata kepada segala anak buahnya,
“Ini pekerjaan bukanlah lawan kita, baiklah kita minta aman dahulu
kepada Raja Bugis itu, kita memberitahu Raja kita dahulu, iaitu Raja
Kecik. Jikalau kita lawan begini hari baik masa kita menang, jikalau
kita kalah bukankah menjadi ketanggungan kepada kita semuanya”. Syahadan
setelah anak buahnya mendengar kata Penghulu itu, maka membenarkanlah
sekeliannya. Maka lalu ia menyuruh minta aman kepada Opu Opu itu
menantikan hendak memberitahu Raja Kecik ke Riau. Setelah Opu Opu itu
mendengar permintaan Penghulu itu maka ia pun tertawa titahnya,
“Pergilah panggil lekas lekas tuan mu Raja Kecik itu”.
Syahadan
menyuruhlah Penghulu Linggi itu membawa surat kepada Raja Kecik
memohonkan ampun dan perbantuan. “Jikalau tidak segera datang bantuan
bertuankan Bugislah patik semua ini”. Syahadan apabila Raja Kecik
mendengar surat Penghulu Linggi itu, maka ia pun segera menyiapkan alat
kelengkapannya akan pergi melanggar Linggi itu. Maka apabila sampai ke
Linggi lalulah berperang dengan Opu Kelana Jaya Putera. Adalah pekerjaan
perangnya itu Raja Kecik menyuruhkan orangnya sediakan sampan memang
memang takut dipintas oleh Bugis dari pemingganganya, akan tetapi perahu
Raja Kecik semuanya berpendarat menghadapkan haluannya kepada perahu
Bugis, dan perahu perahu Bugis dan sampan sampannya tiada bertambat
tatkala sampan sampan Raja Kecik dilawan Bugis dengan sampannya.
Kemudian sampan Bugis pun undur pelahan lahan diikuti oleh Minangkabau
disangkanya Bugis tewas. Apabila sampan sampan Bugis dekat perahu
Besarnya, maka ia pun berselindung dibelakang perahu besarnya. Maka
perahu besar yang melawan sampan itu sebab ia tiada berpendarat lalu
dibedilnya dengan meriam dan lela, serta peluru penaburnya. Syahadan
apabila perahu besar Raja Kecik melihat sampan sampannya berlawan dengan
perahu besar Bugis itu, lalu dibedilnya dengan meriam. Maka kenalah
kawannya sendiri, sebab ia tengah tengah habislah binasa sampan sampan
Raja Kecik itu, serta beberapa banyak mati panglima panglimanya dan
orang orangnya. Maka tewaslah Raja Kecik perang hari ini.
Syahadan bermula adalah pada sekali perangnya Kelana Jaya Putera
mengaturkan perangnya berbahagi dua, yang dua puluh gurab itu berperang
sambil undur ke kuala rupa rupa tewas, dikerjakan oleh Bugis Bugis itu
waktu hampir malam. Yang sepuluh buah dibahagi dua, enam buah melanggar
dan mengamuk kubu Linggi, dan yang empat buah itu menanti hari malam.
Adapun Opu Opu itu setengah didalam gurab yang dua puluh buah itu,
setengah tinggal menantikan Raja Kecik mengikut ke kuala. Adapun Raja
Kecik berperang dengan gurab yang dua puluh itu berperang sambil undur
hingga malam. Maka apabila malam, maka gurab itupun selalu belayar
keluar kuala lalu ke Riau dan perahu Bugis yang tinggal tinggal itu
pun, mengamuklah kubu Linggi, lalulah dapat kerana Raja Kecik sudah
turun ke perahunya.
Apabila malam hari, gurab yang sepuluh buah
itupun hilir ke kuala hendak melanggar Raja Kecik dari belakang. Adapun
Raja Kecik apabila mendengar bedil, maka segeralah hendak mudik, belum
sempat memalingkan perahunya sudah dibedil oleh gurab yang sepuluh buah
itu. Maka tiadalah sempat berpaling lagi dibedil Bugis dari belakang.
Maka banyaklah rosak kelengkapan Raja Kecik, maka mengapitlah ia kepada
kubunya. Maka kubu itupun membedil pula, sebab kubu Linggi itu sudah
didapat oleh Bugis. Maka Raja Kecik pun terkejut, lalu disangkanya
Penghulu Linggi sudah belot sebelah Bugis. Maka ia pun berdayung ke
kuala sambil dibedil Bugis dari belakang, dengan sorak tempiknya seraya
katanya, “Tuan kami Opu sudah ke Riau mengambil Riau”.
Setelah
Raja Kecik mendengar Bugis sudah ke Riau itu, maka ia pun keluarlah dari
Linggi belayar kelaut. Maka apabila sampai ke laut maka musyawarahlah
ia dengan datuk datuknya demikian katanya, “Baik mengikut ke Riau akan
Opu Opu itu, atau balik ke Siak menambah nambah kuasa lagi?’. Maka
menjawablah menterinya, “Jikalau Tuanku ke Riau, Opu Opu itu tentu tiba
dahulu masuk ke dalam Riau, apabila Tuanku melanggar dia, jika ia sesak,
tentu diamuknya anak isteri Tuanku. Apa gunanya lagi, meskipun kita
menang sekalipun anak isteri kita sudah habis? Seperkara lagi tentu Opu
Opu itu sudah muafakat dengan paduka adinda Raja Sulaiman, mangkin
bertambahlah kuatnya dan banyak kelengkapannya. Dan angkatan yang kita
lawan selangkan satu pasukan angkatan Bugis sahaja, beberapa kali kita
yang terpesa, apa lagi dua pasukannya itu?’.
Syahadan kata
sahibul hikayat, setelah Raja Kecik mendengar ikhtiar sembah datuk datuk
itu maka benarlah pada hatinya, maka lalu ia belayar ke Siak. Maka
apabila sampai ke Bukit Batu maka Bandar Bukit Batu pun larilah ke
Ketapung Kanan sebab ia takut akan Raja Kecik membalas perbuatannya,
tatkala ia menjadi nakhoda belayar ke Melaka, iaitu dihukumkannya dua
puluh rial. Syahadan adapun Raja Kecik masuklah kedalam Siak, lalu ia
membuat negeri dan membuat kubu di Buantan serta mengatur penjajab,
takutkan kalau Opu Opu itu datang melanggar. Syahadan kata setengah
kaul, Raja Kecik menyuruh beberapa kelengkapan menyobok ke Riau.
Maka pada ketika itu Opu Opu itu sudah mengaturkan juak juak empat puluh
orang, iaitu orang baik, diberinya sebuah sampan seorang disuruhnya
berjaga sepanjang laut itu malam malam, disuruhnya hidupkan api tiap
tiap sampan itu ada dengan gendang serunainya dari Lobam sampai
Terkulai, dari Terkulai sampai Penyengat. Maka apabila suruhan Raja
Kecik melihat hal yang demikian itu, maka ia pun baliklah ke Siak
menyembahkan kepada Raja Kecik didalam Riau terlalu banyak penjajab
sampai berkeliaran sepanjang laut itu ada kira kira empat puluh buah.
Apabila Raja Kecik mendengar khabar yang demikian itu, diamlah ia.
Syahadan kata kaul orang tua tua, adalah Bugis empat puluh juak juak
Opu Opu itu, iaitu bangsa Daeng semuanya daripada anak orang baik baik
di Bugis konon. Syahadan kebanyakkan segala orang orang berbangsa
peranakan Bugis Riau dan Selangor daripada bangsa Bugis yang empat puluh
itulah. Syahadan adapun Opu Opu itu apabila tiba ke Riau maka
berjumpalah ia dengan Raja Sulaiman di laut Riau serta beberapa
kelengkapan, maka lalulah ia masuk keRiau bersama sama. Maka dapatlah
Riau itu yang kedua kalinya kepada tangan Raja Bugis.
Sebermula
apabila telah dilihat Penghulu Linggi kelengkapan Raja Kecik telah lari
ke Siak, maka ia pun tunduklah kepada Bugis, maka dapatlah Linggi itu
kepada tangan Opu Opu itu. Maka lalu bersetia dan berjanji Penghulu
Linggi dengan Raja Bugis tiada hendak menderhaka kepada Raja Bugis dan
tiada khianat selama lamanya kepada Opu Opu itu hingga hari yang di
belakang, demikianlah cerita orang tua tua.
Syahadan pada perang inilah konon diperbuat orang orang Riau pantun:
Utik utik ikan bambangan
Minyak ketiau di hujung galah
Raja Kecik silakan pulang
Linggi di serang Riau yang alah
Syahadan kata setengah pantun:
Terketai ketai anak sembilang
Budak merayau dengan galah
Raja Kecik silakan pulang
Linggi diserang Riau yang alah.”
(bersambung ke bahagian ke enam...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment