(Surat wasiat ini ditulis tangan dengan huruf Melayu/ Jawi atas kertas lebar dengan khat indah sebagai yang berikut):-
Tarikh as-Sanah 1276 dan kepada 26 hari bulan Zulhijjah, hari Sabtu, bahawasanya kita Raja Haji Abdullah Yang Di Pertuan Muda membuat suatu surat wasiat ini bagi anak-anaknya. Dan pada ketika tarikh ini juga yang aku telah memberikan kepada anakku Maimunah, dan Puteri, dan Muhammad bin Abdullah dan Muhammad Thahir, daripada segala harta bendaku, yang tiada ia mempunyai sesuatu jua, tetapi selagi aku hidup ini seperti hukum orang meminjam jua kepada anakku yang empat orang itu. Dan tiadalah boleh seorang saudaranya mendakwa akan dia adanya. Fasal Yang Pertama: Adapun rumah dengan sampah sarapnya hak bagi Maimunah dengan si Puteri. Adapun segala senjata besar-kecil hak bagi Muhammad Tahir. Syahdan daripada kebun-kebun seperti Pulau Basing dan Pulau Soreh hak kepada Muhammad bin Abdullah. Adapun kantor dengan segala barang yang ada didalamnya hak Muhammad bin Abdullah. Dan perahu, sampan, jongkong mana-mana yang ada itu pulang kepada Muhammad bin Abdullah juga. Sebermula jika aku pulang ke rahmatullah Ta'ala, Muhammad bin Abdullah itulah jadi kuasa, dan memerintah, dan memeliharakan segala saudaranya tiada boleh anak-anakku yang lainnya, melainkan dia yang terlebih kuasa daripadanya. Fasal Yang Kedua: Apabila sudah sampai ajalku, segala hutang aku Muhammad bin Abdullah membayarnya serta mufakat ia dengan ibunya Raja Hawi. Maka jika sudah sampai akil baligh Muhammad Thahir, jika tiada ibunya hendaklah ia mufakat dengan dia pada menyelesaikan hutang-hutang aku itu. Jikalau tiada terikhtiarkan yang demikian itu pada engkau kepada siapa yang menggantikan aku adanya. Fasal Yang Ketiga: Mana hutangku yang terkena pada jalan pekerjaan kerajaan, maka iaitu Raja Mudalah yang membayarnya, seperti hutang kerana perang atau kerana sesuatu yang lain yang hendak membaiki negeri dan belanja, mashalihul muslimin. Jika dengan sebab itu lazimlah Raja Muda itu membayarnya. Demikianlah adat selama-lamanya pusaka kita Upu Bugis. Fasal Yang Keempat: Jangan aku ditanam seperti adat raja-raja, tanamlah aku seperti menanam seorang fakir. Dan jangan aku dimandikan ramai-ramai. Taruh aku di dalam satu sathar dengan dua tiga orang yang saleh. Hawilah memandikan aku, dan janganlah aku diriba. Letakkan sahaja aku di atas suatu tempat yang suci atau di atas sarir yang terus airnya. Mandikanlah aku seperti barang yang telah disebutkan kaifiatnya di dalam kitab fikah. Dan lagi jangan engkau semua yang hidup sepeninggalan aku bersusah-susah belanja tajhiz aku. Jikalau hendak juga engkau semua mentahlilkan aku suruhlah tahlilkan dengan segala khalifah syeikh kita. Dan boleh engkau beri sedekah ala kadar kifayahnya. Dan jangan sekali-kali menyakit diri yang di luar syariat Rasulullah s.a.w. Hendak engkau semua turut akan jalan yang sebenarnya. Dan haji dan umrah ku sudah selesai tiada lagi menyusahkan adanya. Fasal Yang Kelima: Barang siapa yang menggantikan aku hendaklah engkau semua turut perintahnya. Dan jangan engkau dengki hasad kepadanya, tiada selamat. Dan engkau semua kerjakanlah dia dengan cuci putih hati kepadanya, inilah jalan orang yang baik-baik. Apa yang ada sampah sarap yang aku tinggalkan kepada kamu, jikalau Raja Muda itu berkehendak jangan sekali-kali ditahan. Fasal Yang Keenam: Engkau semua adik beradik jangan sekali menaruh hasad dan dengki sesama sendiri. Dan jangan bercerai engkau semua dari jalan mufakat dengan saudara-saudaramu yang lain iaitu anak Marhum Abdur Rahman, dan anak marhum Raja Ali kerana adalah Marhum kedua itu saudara syaqiqah, yakni saudaraku seibu sebapa. Fasal Yang Ketujuh: Jangan engkau semua tiada mendengar nasihat ajaran ulama dan shulaha' jika engkau tiada kuasa menuntut kepadanya. Maka jika engkau kuasa menuntut, maka inilah yang sangat gemar dan tuntutanku. Kerana tersebut di dalam hadis Nabi s.a.w. Ertinya: ``Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap Islam laki-laki dan Islam perempuan''. Tiada aku panjangkan pada fadilat menuntut ilmu itu melainkan jikalau Allah bukakan hatimu pada menuntut ilmu ini ialah yang sebaik-baik jalan dan nikmat yang tiada dapat dibagaikan fid dun-ya wal akhirah. Fasal Yang Kelapan: Sekalian engkau merendahkan diri kepada pangkat saudara tua atau pangkat bapa kepadamu. Dan jika engkau berkata-kata dengan pangkat bapa jikalau serupa kera sekalipun umpamanya. Hendaklah engkau berbaik baik padanya. Engkau dengar juga akan nasihatnya ajarannya yang patut pada syarak dan adat. Fasal Yang Kesembilan: Pesanku kepada kamu sekalian, hendaklah kamu memuliakan anak cucu Nabi s.a.w. apa lagi yang sudah jadi kaum kerabat kita, jangan sekali-kali engkau menaruh hasad dengki akan dia, apalagi abang Embong dan abang Syeikh Engku hendaklah engkau jadikan dia seperti saudaramu yang betul adanya. Fasal yang kesepuluh: Jangan membangsat dan menyerah ripi pinta pinta kepada segala rakyat raja, inilah pesan datuk nenek moyangku, pantang yang tiada boleh dilalui. Maka jikalau juga tiadalah selamat fit dunia dan akhirat kerana banyak daripada beberapa kebinasaan mendatangkan murka Allah Taala Yang Maha Besar. Ini wasiat aku yang aku tahshishkan kepada Muhammad Abdullah al-Khalidi. Bermula hendaklah kiranya engkau ingatkan baik-baik akan pesan pesan ku yang telah tersebut daripada beberapa pasal. Kiranya jangan sekali dilalui mugah mudahan selamat engkau dunia akhirat.
Fasal yang pertama: Sepeninggalan aku mati hendaklah pelihara akan saudara saudara mu yang perempuan dan pelihara daripada sikap dan murah hati kepadanya. Tegur ajar sentiasa tiap tiap hari engkau bertemu dengan dia kerana menyukakan hatinya dan melapangkan dadanya.
Fasal yang kedua: Jangan sekali kali engkau derhaka akan ibumu Raja Hawa kerana sesungguh pun ia ibu tiri tetapi hukumnya ibu benar jua. Dan peliharakan dia carikan ubat jika ada ia sakit pening dan jangan disakati hatinya, diumpat kesana kemari kerana orang yang makan daging ibu bapanya itu ialah orang yang celaka kafir na'uzubillah minzalik Jikalau ada saudara saudara mu itu membuat perangai yang keji yang demikian jangan sekali engkau masiki. Fasal yang ketiga: Hendaklah engkau lazimkan akan tawakallah pada tiap tiap masa. Jangan lupa engkau akan Allah Ta'ala. Mintakan doa sekali ahli mu dan ibu bapamu. mana mana yang disuruh sheikh kita dengan bersungguh sungguh engkau kerjakan. Fasal yang keempat: Daripada hal kawan kawan jangan engkau zalimkan tiada beri makannya. Lepaskanlah ia pergi mencari barang kemananya seperti hamba hamba tua atau hamba hamba pusaka datuk nenek mu. Jika ada sesuatu hajatnya jangan dihampakan. Jangan dihinakan fakir miskin dan jangan bersifat dengan sifat yang kecelaan dan hendaklah lazimkan pada mutalaah atau mengaji kitab tasauf, ilmu memberi menafaat supaya dapat engkau membezakan antara baik dan jahat dan benar dan salah dan antara sah dan batil. Sebab inilah maka dengan bersungguh sungguh aku menyuruh engkau semuanya pada menuntut ilmu supaya engkau ketahui akan kadar ilmu yang mulia adanya. Pasal yang kelima: Jangan engkau membuang buangkan harta dengan tiada berfaedah. Jangan dijual harta dengan jalan yang tiada patut. Dan jangan memakai akan pakaian berlebih lebihan dan membanyakkan gundik. Dan berlazat lazat yang amat sangat. Jadi semuanya itu membuang akan harta. Barang suatu yang hendak dibuat hendaklah dengan lemah lembut. Kira kira akan belanja yang patut, jangan jadi membazir kerana firman Allah Ta'ala, (maksudnya: sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan). Ingat ingat Muhammad Yusuf Ibni Almarhum Raja Ali. Hai ingatlah jangan engkau terpedaya oleh hawa nafsu dan syaitan kerana itulah merosakkan manusia dan seteru anak adam adanya.
No comments:
Post a Comment